'SAYAP' UMAIRAH

Pada usia semuda 14 tahun, Umairah melangkah ke pentas seni dengan keberanian luar biasa. Single terbaharunya Sayap, terbitan SN Legacy Sdn Bhd dan edaran Universal Music Malaysia, hadir sebagai bukti bahawa bakat remaja ini bukan sekadar janji, tetapi sebuah kuasa baharu yang bakal mencorak wajah muzik tanah air. 

Selepas mencuri perhatian dengan lagu raya sulung Tak Balik Raya, Umairah kini mengorak langkah lebih jauh melalui Sayap; sebuah balada cinta ciptaan duo komposer berpengalaman, Resa Husin dan Farouk Roman. Melodi indah yang sarat emosi, berpadu dengan lirik penuh pengharapan, menjadikan Sayap begitu dekat di hati mereka yang pernah merasai manisnya jatuh cinta dan pahitnya kehilangan.

Di usia 14 tahun, Umairah membuktikan kematangan luar biasa apabila mampu membahagikan masa antara dunia persekolahan dan dunia seni. Tatkala rakan sebaya menikmati cuti, Umairah memilih untuk menumpukan sepenuh jiwa raga pada pelancaran Sayap yang menjadi simbol untuk beliau terus melangkah jauh. 

“Saya sangat teruja kerana diberi peluang menyanyikan Sayap. Lagu ini begitu menyentuh jiwa saya kerana menceritakan keindahan jatuh cinta tetapi juga peritnya kehilangan. Saya berharap pendengar turut merasai emosi yang saya sampaikan,” kata Umairah penuh harapan.

Sayap bukan sahaja menandai kemunculan Umairah sebagai bintang baharu, malah mencerminkan usaha SN Legacy dan Universal Music Malaysia dalam mengetengahkan bakat muda. Aura remajanya yang segar, berpadu dengan melodi indah dan jiwa yang tulus, menjadikan lagu ini mudah melekat di hati pendengar.

Bagi Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang juga Pengarah Urusan SN Legacy Sdn Bhd, Sayap merupakan medium terbaik untuk menguji kematangan vokal anak saudaranya itu. Dengan kekuatan melodi dan lirik yang sarat emosi, beliau percaya penyanyi cilik, puteri kepada Siti Saerah ini, bakal menyerlah sebagai bintang muda yang menyinari industri muzik tempatan.

Single Sayap kini sudah boleh didengari di semua platform digital mulai 16 September 2025, sementara muzik video rasmi arahan Rifaiee Omar dari Rio Films Production bakal menemui peminat pada 17 September 2025, jam 3 petang menerusi saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Menerusi Sayap, Umairah mengibarkan panji keyakinan. Dia tidak hanya mengepakkan sayapnya dalam dunia seni, tetapi juga membawa impian untuk berdiri sebagai suara muda yang akan mewarnai, malah mungkin mengubah wajah muzik tanah air.

Catat Ulasan

0 Ulasan