Bunga Citra Lestari, atau BCL, bukan sekadar seorang penyanyi. Beliau adalah sosok seni yang mewakili kisah cinta, kehilangan dan kebangkitan. Bermula daripada dunia lakonan di Indonesia sebelum menapak sebagai penyanyi pop, namanya mekar dengan lagu-lagu malar segar seperti Cinta Sejati, Aku Tak Mau Sendiri dan Harta Berharga. Lebih daripada itu, BCL dekat di hati peminat Malaysia kerana ikatan istimewa dengan arwah Ashraf Sinclair, menjadikan setiap kemunculannya di Kuala Lumpur penuh makna peribadi.
Konsert Eternal Love, Timeless Romance yang berlangsung di Plenary Hall, KLCC baru-baru ini menjadi pentas untuk beliau meluahkan naratif hidupnya. Dari kehilangan yang pernah meruntuhkan, hingga keberanian membuka hati kepada cinta baharu, setiap lagu yang didendangkan seperti helaian diari yang dibacakan kepada khalayak. Vokalnya kekal jernih dan stabil, penuh tenaga dan keikhlasan, sehinggakan penonton bukan sekadar mendengar, tetapi turut merasai denyut perasaan yang dibawakan. Malam itu, BCL tidak hanya berdiri sebagai seorang artis, tetapi juga sebagai seorang wanita yang merangkul luka dan cinta dalam satu nafas.
Menghiburkan penonton dengan lebih 20 buah lagu, BCL turut tampil bersama penyanyi lelaki dari Indonesia, Fajar Noor, menerusi segmen duet Tetaplah di Hatiku dan Puteri Iklan. Walaupun sekadar artis jemputan, kemunculan Fajar menimbulkan rasa janggal namun dalam masa sama mengujakan, kerana alunan suaranya yang menggetarkan memberi warna tambahan kepada malam itu. Namun, persoalan yang berlegar di benak penonton, apakah konsert seorang diva sekelas BCL masih memerlukan “pelaris” sebegitu untuk menambah seri, sedang auranya sendiri sudah cukup memukau?
Namun begitu, kemunculan Jaclyn Victor sebelum kelahiran BCL di pentas sedikit menimbulkan tanda tanya; apakah konsert ini sebuah persembahan solo, atau sebenarnya sebuah reunion terancang? Meskipun vokalnya tidak pernah mengecewakan dan tetap bertenaga seperti selalu, kehadiran penyanyi sehebat Jaclyn di tengah sebuah konsert yang dipromosikan sebagai milik BCL semata-mata seakan mencairkan eksklusiviti malam tersebut. Benar, sebahagian penonton terhibur, tetapi sebahagian yang lain merasakan diri mereka sedang menyaksikan sebuah acara hiburan berkumpulan, bukan sebuah persembahan tunggal yang sepatutnya menobatkan BCL sebagai pusat graviti pentas.
Namun, di sebalik pesona tersebut, terdapat beberapa perkara yang menimbulkan tanda tanya. Kehadiran terlalu ramai artis jemputan, meskipun memberi variasi, menjadikan persembahan seakan terbahagi-bahagi. Penonton hadir untuk menyelami dunia muzik seorang diva, tetapi momentum itu sesekali teralih kerana pentas seolah-olah dikongsi terlalu murah hati. Begitu juga dengan segmen seakan talk show di pertengahan persembahan. Walaupun tujuannya mungkin murni untuk mendekatkan diri dengan penonton, ia akhirnya lebih menyerupai jeda panjang yang merencatkan aliran emosi. Dalam sebuah konsert, muzik seharusnya menjadi bahasa utama, dan setiap gangguan panjang hanya meninggalkan ruang kosong di antara rasa.
Ironinya, BCL tidak memerlukan semua elemen tambahan itu untuk bersinar. Karismanya, kisah peribadinya, dan suaranya yang tulus sudah cukup untuk mengikat perhatian ribuan mata dan telinga. Jika konsert ini disusun dengan lebih ringkas, mengekalkan fokus kepada dirinya tanpa sisipan yang berlebihan, ia berpotensi menjadi persembahan yang bukan sekadar indah tetapi juga ikonik sebagai konsert yang dikenang kerana kekuatan seorang artis, bukan kerana hiasan sampingannya.
Meski demikian, malam itu tetap berakhir dengan tepukan gemuruh dan penonton pulang dengan hati yang penuh rasa. Kerana akhirnya, Bunga Citra Lestari adalah cahaya itu sendiri. Beliau tidak memerlukan pantulan lain untuk menyerlah; suaranya, kisahnya, dan keberaniannya sudah cukup untuk membuktikan bahawa cinta, walau diuji, tetap kekal abadi.







0 Ulasan