Tahun 2026 dimulakan dengan naskhah baharu daripada Viu menerusi drama Original terbitannya, Kelas Belakang, sebuah karya berteras inspirasi yang menyelami perjuangan pelajar menentang stigma dalam dunia pendidikan.
Mengandungi 12 episod, drama ini membawa penonton menelusuri kehidupan sekumpulan pelajar daripada kelas yang sering dianggap paling tercorot di sekolah. Mereka bukan sahaja dipandang rendah, malah sering dipinggirkan dan dinilai berdasarkan gelaran semata-mata, tanpa diberi ruang untuk membuktikan potensi sebenar diri.
Dalam sistem pendidikan yang terlalu menekankan pencapaian akademik, pelajar Kelas 5 Fikir dilabel sebagai golongan bermasalah, malas dan kononnya tidak mempunyai masa depan yang cerah. Persepsi itu mula berubah apabila munculnya Iman Kirana, watak yang dibawakan oleh Amylia Aidura, pelajar cemerlang sekolah berkenaan yang tampil menawarkan diri sebagai tutor kepada kelas tersebut.
Niat awal Iman hanyalah untuk memenuhi syarat mendapatkan biasiswa universiti berprestij. Namun, perjalanan itu membawa perubahan besar apabila dia mula memahami latar belakang, cabaran dan sisi sebenar setiap pelajar yang selama ini diselindungi oleh label negatif. Dari situlah tercetus sebuah kisah tentang empati, kepercayaan dan harapan.
Kelas Belakang turut diserikan dengan kehadiran barisan pelakon muda berbakat seperti Zairi Aziz, Farihin Arnia, Areef Amran, Faha Azhar, Ryliana Azizan, Arfie Shah dan Myra Afrina yang berjaya menghidupkan watak masing-masing dengan lakonan penuh penghayatan dan kejujuran emosi.
Menurut Pengurus Viu Malaysia, Eric Siew, drama ini mencerminkan identiti Viu sebagai platform yang berani mengetengahkan kisah relevan serta dekat dengan realiti penonton.
“Karya ini bukan sekadar drama berlatar belakangkan alam persekolahan, tetapi sebuah naratif tentang keberanian mempercayai diri sendiri walaupun dunia sudah menentukan label terhadap anda.
“Kami mahu menyampaikan cerita yang mencerminkan cabaran sebenar generasi muda hari ini, sekali gus mengingatkan bahawa kejayaan bukan diukur dari titik permulaan, tetapi sejauh mana seseorang berani melangkah ke hadapan,” katanya.
Namun, benarkah drama ini benar-benar menyelami sisi gelap kehidupan anak muda? Jawapannya terletak pada tafsiran penonton sendiri.
Drama arahan Nurhanisham Muhammad yang lebih dikenali sebagai Labu ini diterbitkan oleh Independent Pictures dan mula menemui penonton sejak 8 Januari lalu, dengan episod baharu ditayangkan setiap Khamis dan Jumaat.
.png)
.png)
.png)

0 Ulasan