INDUSTRI MUZIK MALAYSIA CATAT REKOD TERTINGGI 2025

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menilai tahun 2025 sebagai satu tempoh pertumbuhan berterusan bagi industri muzik tempatan, dipacu oleh penggunaan muzik digital yang kukuh serta peningkatan kutipan royalti persembahan awam. Tahun ini turut ditandai oleh kejayaan kerjasama rentas sempadan antara artis Malaysia dan serantau, sokongan kewangan kerajaan yang semakin meningkat, serta kebimbangan yang kian ketara terhadap kesan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI) ke atas muzik berhak cipta.

Pendapatan Tahunan Industri Mencatat Rekod Tertinggi

Berdasarkan data industri yang dikumpulkan oleh RIM, jumlah keseluruhan pendapatan industri muzik Malaysia bagi tempoh Januari 2025 hingga Disember 2025 mencecah RM428.3 juta, berbanding RM352.4 juta bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Peningkatan sebanyak 17.7% tahun ke tahun ini merupakan paras pendapatan tertinggi yang pernah direkodkan oleh industri muzik Malaysia.

Pendapatan daripada perkhidmatan penstriman muzik digital kekal sebagai penyumbang utama, diikuti oleh pertumbuhan kukuh kutipan oleh Pertubuhan Pengurusan Kolektif (Collective Management Organisations, CMO). Prestasi ini mencerminkan pelaburan berterusan syarikat rakaman serta tahap penggunaan muzik yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia merentas pelbagai genre dan bahasa.

Lagu dan Artis Paling Distrim Sepanjang Tahun

Perkhidmatan penstriman muzik serta platform media sosial terus memainkan peranan signifikan dalam memperkukuh penemuan dan penggunaan muzik sepanjang tahun 2025. Berdasarkan data yang dikumpulkan menerusi Carta RIM, beberapa lagu dan artis telah mencatat jumlah penstriman tertinggi di Malaysia merentas kategori bahasa. Bagi kategori domestik, lagu Menjaga Jodoh Orang Lain nyanyian Ara Johari muncul sebagai lagu paling tinggi distrim, manakala Die With A Smile oleh Lady Gaga dan Bruno Mars mendominasi kategori lagu antarabangsa. Dalam kategori bahasa Cina, lagu 跳楼机 (Jumping Machine) nyanyian LBI利比 mencatat prestasi penstriman tertinggi sepanjang tahun.

Dari segi pencapaian artis pula, kumpulan Insomniacks diiktiraf sebagai artis domestik paling tinggi distrim di Malaysia, manakala Taylor Swift menduduki tempat teratas bagi kategori artis antarabangsa. Bagi kategori artis Cina, LBI利比 sekali lagi mencatat pencapaian membanggakan sebagai artis paling tinggi distrim sepanjang tahun 2025.

Kejayaan Artis Malaysia di Peringkat Serantau dan Antarabangsa

Sepanjang tahun 2025, beberapa artis Malaysia mencatat kejayaan membanggakan di peringkat serantau dan global menerusi kerjasama strategik rentas sempadan. Penyanyi popular Ernie Zakri meraih pencapaian signifikan di peringkat serantau menerusi lagu Masing-Masing, hasil kolaborasi bersama penulis lagu dan pemain gitar Indonesia, Ade Govinda. Lagu tersebut turut memenangi anugerah Lagu Paling Tinggi Distrim di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).

Kumpulan gadis terkemuka Malaysia, Dolla, pula bekerjasama dengan bintang hip-hop Thailand, Tobii, menerusi lagu Bad Girls Like You yang menerima sambutan positif di peringkat serantau. Selain itu, kerjasama lain yang turut mencuri perhatian termasuk duet Aina Abdul bersama Fabio Asher, serta Insomniacks bersama Nabila Taqiyyah dari Indonesia.

Penyanyi Malaysia, JessC (Jessie Chung), turut mengharumkan nama negara apabila memenangi anugerah Best Asian Pop di InterContinental Music Awards (CMA) 2025 di Los Angeles menerusi lagu Mandarin My Style. Pengiktirafan ini menandakan satu pencapaian penting bagi artis Malaysia di peringkat antarabangsa.

Sokongan Kerajaan Memperkukuh Industri Muzik Tempatan

Sokongan pembiayaan yang dipertingkatkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi program Dana Kandungan Digital (DKD) telah memberi impak positif yang signifikan terhadap pembangunan industri muzik tempatan. Beberapa artis penerima dana ini, termasuk Dayang Nurfaizah, Aina Abdul dan Hazama, berjaya menghasilkan rakaman berkualiti tinggi yang mendominasi senarai lima pencalonan akhir AIM24.

Sebanyak RM700,000 dana DKD yang disumbangkan oleh Kementerian Komunikasi dan disalurkan melalui MyCreative Ventures telah dianugerahkan kepada pemenang AIM24 dalam 11 kategori anugerah utama. Sokongan ini membolehkan pemegang hak menghasilkan kandungan muzik berkualiti tinggi dengan potensi untuk menembusi pasaran antarabangsa yang lebih luas.

Di samping itu, RIM melalui kerjasama dengan Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap pelanggaran hak cipta melibatkan premis hiburan, penjual di platform e-dagang serta laman web haram. Usaha anti-cetak rompak yang konsisten ini telah menyumbang kepada peningkatan pendapatan industri muzik tempatan.

Keperluan Mendesak Perlindungan Hak Cipta dalam Era AI

Perkembangan pesat teknologi AI serta penggunaan tanpa kebenaran muzik berhak cipta dalam latihan model AI, khususnya muzik jana-AI, menuntut perlindungan perundangan yang lebih menyeluruh kepada pemegang hak. Antara pembaharuan undang-undang yang diperlukan termasuk keperluan mendapatkan kebenaran pemegang hak bagi penggunaan muzik berhak cipta dalam latihan model AI, penyimpanan rekod data latihan yang telus, pelabelan jelas bagi kandungan muzik jana-AI, serta ketidaklayakan muzik yang dijana sepenuhnya oleh AI untuk menerima perlindungan hak cipta dan pengewangan.

Pelaksanaan pembaharuan ini penting bagi memastikan perlindungan yang mencukupi kepada pemegang hak serta menjamin imbuhan yang adil atas penggunaan karya mereka dalam latihan model AI.

Selain itu, terdapat keperluan mendesak untuk meminda undang-undang sedia ada bagi memanjangkan tempoh perlindungan hak cipta rakaman bunyi dan karya muzik daripada 50 tahun kepada 70 tahun, selaras dengan piawaian antarabangsa terkini. Langkah ini penting bagi memastikan kandungan terbitan Malaysia dapat bersaing secara adil dengan kandungan antarabangsa.

Sorotan Acara Utama Industri

Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) kekal sebagai platform utama industri dalam mengiktiraf serta meraikan kecemerlangan merentas kategori artistik, teknikal dan komersial. AIM24 turut mencerminkan landskap muzik yang semakin berkembang melalui pengenalan kategori baharu yang menekankan perpaduan, warisan budaya serta peningkatan kerjasama antara artis tempatan dan antarabangsa.

Carta RIM terus berfungsi sebagai penanda aras rasmi prestasi lagu di Malaysia menerusi pengiktirafan berasaskan data penggunaan muzik rakaman. RIM juga meneruskan Program Pensijilan Jualan bagi mengiktiraf pencapaian komersial rakaman dan artis Malaysia berdasarkan data jualan digital dan penstriman yang disahkan.

Tinjauan Industri

Melangkah ke fasa seterusnya, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) kekal berpandangan positif terhadap prospek jangka panjang industri muzik negara.

Menurut Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, peningkatan berterusan dalam penggunaan muzik menerusi pelbagai perkhidmatan penstriman, disokong oleh kerjasama awam dan swasta yang semakin kukuh serta rangka kerja kawal selia yang lebih jelas khususnya berkaitan penggunaan muzik berhak cipta dalam latihan pelbagai model Kecerdasan Buatan (AI), meletakkan industri muzik Malaysia pada kedudukan yang kukuh untuk terus mempertingkat sumbangannya kepada ekonomi negara dan memperluaskan kehadirannya di peringkat antarabangsa.

Catat Ulasan

0 Ulasan