'MADU TIGA' BERGEMA DI DFP

Saat kaki melangkah masuk ke Dewan Filharmonik Petronas untuk menyaksikan filem Madu Tiga, perasaan terharu dan keterujaan hadir serentak. Karya legenda arahan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee yang telah berusia hampir enam dekad itu kini bergema kembali di sebuah ruang seni berprestij, menandakan pertemuan antara warisan sinema klasik Melayu dengan tradisi muzik simfoni bertaraf antarabangsa. Tayangan ini tidak sekadar menghidupkan semula sebuah filem ikonik era 1960-an, tetapi mempersembahkannya dalam medium berbeza iaitu simfoni orkestra, di mana keseluruhan filem dipersembahkan dengan iringan Orkestra Filharmonik Malaysia secara langsung.

Pendekatan ini menjadikan pengalaman tontonan Madu Tiga lebih imersif dan bermakna. Orkestra tidak berfungsi sekadar sebagai muzik latar, sebaliknya bertindak sebagai medium penceritaan yang hidup. Setiap babak, emosi dan peralihan adegan diterjemahkan melalui susunan muzik yang teliti dan berlapis, seolah-olah orkestra itu sendiri turut “bercerita” bersama visual dan dialog. Pengalaman sebegini bukan sahaja jarang ditemui, malah boleh dianggap sebagai satu bentuk apresiasi seni yang bernilai tinggi dan mahal untuk dihayati.

Bayangkan sekiranya Tan Sri P. Ramlee masih hidup pada hari ini, pencapaian sebegini pastinya menjadi satu kebanggaan besar terhadap perkembangan dunia hiburan dan muzik tempatan. Keseluruhan dialog serta perjalanan naratif Madu Tiga yang diiringi muzik simfoni mencipta ilusi seolah-olah P. Ramlee dan Saloma kembali hadir di pentas Dewan Filharmonik Petronas, berdiri megah bersama barisan pemuzik, mendendangkan lagu-lagu ikonik filem ini dalam balutan muzik orkestra yang penuh jiwa dan kehalusan artistik.

Inisiatif tayangan filem tempatan dalam bentuk simfoni orkestra ini bukanlah kali pertama dianjurkan oleh Orkestra Filharmonik Malaysia. Sebelum ini, MPO pernah mementaskan filem Ola Bola pada tahun 2017, sekali gus membuktikan keupayaan institusi ini dalam mengangkat karya sinema tempatan ke dimensi persembahan yang lebih tinggi. Usaha sebegini wajar diteruskan dan diperkasakan kerana ia membuka ruang kolaborasi yang signifikan antara pembikin filem tempatan dan institusi muzik profesional, khususnya dalam aspek penataan bunyi dan muzik latar. Penggunaan simfoni orkestra terbukti memberikan nilai tambah yang besar, menjadikan janaan muzik terasa hidup, dekat dan berkesan dalam menyampaikan emosi kepada penonton.

Merujuk kepada tayangan Madu Tiga yang berlangsung pada 23 dan 24 Januari 2026, penulis melihat pementasan ini sebagai satu pencapaian penting dalam usaha mengangkat martabat sinema tempatan ke tahap yang lebih tinggi. Filem ini dipersembahkan dengan penuh disiplin muzik oleh MPO di bawah pimpinan konduktor terkemuka, Ahmad Muriz Che Rose. Persembahan orkestra yang cermat dan dinamik berjaya mengekalkan roh asal karya P. Ramlee sambil memberikan nafas baharu yang segar dan kontemporari.

Walau bagaimanapun, bagi memperkukuh lagi pengalaman sinematik, penulis berpandangan bahawa pihak Orkestra Filharmonik Malaysia dan Dewan Filharmonik Petronas wajar mempertimbangkan penggunaan skrin bersaiz penuh pada pementasan akan datang. Langkah ini berpotensi mewujudkan ruang tontonan yang lebih hampir kepada pengalaman sinema sebenar, memandangkan skrin yang digunakan dalam tayangan ini dilihat agak sederhana kecil bagi sebuah karya visual berskala besar.

Akhir kata, setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah wajar diberikan kepada Orkestra Filharmonik Malaysia atas kejayaan membawa Madu Tiga ke pentas Dewan Filharmonik Petronas dalam bentuk yang berkelas dan bermakna. Diharapkan lebih banyak filem tempatan, khususnya karya-karya ikonik era 1960-an, dapat dipersembahkan semula melalui pendekatan simfoni orkestra. Usaha ini bukan sahaja memelihara warisan seni negara, malah membuka ruang baharu untuk generasi masa kini menghayati sinema klasik Melayu dalam konteks yang segar, relevan dan bermutu tinggi.

Kredit gambar: The Malaysian Philharmonic Orchestra

Catat Ulasan

0 Ulasan