KIMBAB TAMPIL DENGAN DRAMA RAYA, ANGKAT KISAH REALITI PAGI SYAWAL

Trio komedi popular Kimbab yang dianggotai oleh Zulin Aziz, Nasz Sally dan Maryam DurianKimchi kembali memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini menerusi lagu raya terbaharu berjudul “Drama Raya”.

Lagu tersebut mengetengahkan kisah realiti yang sering berlaku dalam kehidupan masyarakat setiap kali menjelang pagi Syawal. Daripada persiapan raya yang kelam-kabut hinggalah pelbagai situasi lucu yang hampir pasti dialami setiap keluarga, semuanya diterjemahkan dalam lagu yang sarat dengan unsur jenaka dan hiburan.

Menurut Zulin Aziz yang juga pencipta lagu dan lirik, idea menghasilkan Drama Raya tercetus daripada pengalaman harian masyarakat yang begitu dekat dengan suasana sambutan Aidilfitri masa kini.

“Lagu Drama Raya ini terinspirasi daripada perkara yang selalu berlaku terutama pada pagi raya. Dari kuih raya yang tidak menjadi, baju yang tiba-tiba tidak muat sehinggalah pelbagai situasi yang berlaku setiap tahun. Saya yakin ramai yang pernah melalui ‘Drama Raya’ masing-masing, sebab itu muzik video lagu ini turut memaparkan banyak situasi yang dekat dengan kehidupan masyarakat,” katanya.

Lagu ini tampil dengan konsep santai serta melodi yang mudah didengar, sekali gus menjadikannya mudah diterima oleh pelbagai lapisan pendengar. Keunikan lagu ini turut terserlah apabila Maryam DurianKimchi membawakan bahagian rap dalam Bahasa Melayu, sekali gus menjadi kelainan menarik dalam lagu raya tersebut.

“Kelainan lagu ini ialah apabila kami menampilkan orang Korea yang menyampaikan bahagian rap dalam Bahasa Melayu. Maryam memang bersungguh-sungguh menghafal lirik rap tersebut. Walaupun penguasaan Bahasa Melayunya sudah sangat baik, cabaran sebenar adalah dari segi sebutan rap. Dia berlatih berkali-kali dan akhirnya berjaya membawakannya dengan sangat baik,” tambah Zulin.

Keserasian trio ini juga bukan lagi sesuatu yang asing buat peminat. Hubungan mereka yang terjalin sejak menyertai program Muzikal Lawak Superstar terus kukuh sehingga kini.

“Keserasian kami memang sudah seperti isi dengan kuku. Sejak tamat Muzikal Lawak Superstar, kami sentiasa bekerjasama dan keserasian itu banyak membantu sepanjang proses menghasilkan lagu ini,” katanya lagi.

Selain menampilkan unsur jenaka, Drama Raya turut menyelitkan isu perbezaan generasi antara golongan milenial dan Gen-Z secara santai. Ia menggambarkan perubahan suasana sambutan raya masa kini tanpa meninggalkan nilai tradisi yang masih dikekalkan.

Zulin turut berharap lagu ini mampu menceriakan sambutan Aidilfitri para peminat setia mereka yang dikenali sebagai Kimbabers.

“Harapan saya semoga Drama Raya mendapat sambutan dan menjadi lagu yang menceriakan raya para peminat kami. Jika mendapat sambutan yang baik, mungkin tahun depan akan ada sambungannya. Insya-Allah lagu ini juga bakal menjadi lagu tema untuk telefilem raya Kimbab berjudul Andartu Cancel Raya yang akan ditayangkan di Astro,” ujarnya berseloroh.

Dengan gabungan unsur jenaka, kisah kehidupan sebenar serta rentak moden, Drama Raya dijangka menjadi antara lagu raya baharu yang bakal menceriakan sambutan Aidilfitri tahun ini.

Catat Ulasan

0 Ulasan