Nama komposer legenda negara, Allahyarham Tan Sri Dato' Seri Dr. Ahmad Nawab, terus terpahat dalam sejarah industri hiburan tanah air apabila beliau menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Penerbitan Muzik Sinematik Terbanyak.
Sepanjang lebih enam dekad berkarya sejak era 1950-an, Allahyarham menghasilkan lebih 200 lagu untuk 42 filem tempatan, sekali gus meletakkan namanya sebagai antara tokoh paling berpengaruh dalam perkembangan muzik filem di Malaysia. Sijil pengiktirafan tersebut disampaikan Pegawai Rasmi MBOR, Siti Hajar Johor kepada anak keempat Seniman Negara ketujuh itu, Nasir Khan, dalam satu majlis yang diadakan baru-baru ini.
Menurut wakil MBOR, pengiktirafan itu menjadikan Ahmad Nawab sebagai komposer yang paling banyak menghasilkan lagu untuk filem tempatan setakat ini. Ini juga merupakan rekod kedua yang dipegang oleh beliau selepas pernah menerima pengiktirafan sebagai komposer dengan jumlah lagu paling banyak dirakamkan iaitu sekitar 2,000 lagu pada tahun 2006.
Nasir berkata, usaha mengemukakan pencalonan kepada MBOR mengambil masa hampir dua bulan kerana memerlukan penelitian serta pengumpulan bukti yang lengkap berkaitan karya Allahyarham. Katanya, sebahagian besar maklumat diperoleh daripada koleksi peribadi arwah bapanya yang merangkumi skor muzik asal serta rekod lama yang masih disimpan rapi oleh keluarga.
“Arwah sebenarnya sudah menyimpan semua hasil kerjanya dengan sangat teratur. Dari situ saya meneliti semula judul filem, pengarah serta lagu yang pernah dihasilkan. Semua bukti itu perlu dikemukakan kepada MBOR sebelum mereka membuat penelitian dan mengesahkan rekod ini,” katanya.
Menurut Nasir, inisiatif tersebut dilakukan bagi memastikan warisan seni Allahyarham tidak hilang ditelan zaman dan terus dihargai oleh generasi akan datang.
Pengumpulan karya yang dilakukan merangkumi filem pertama yang menggunakan sentuhan muzik Ahmad Nawab iaitu Bintang Malam (1961) sehingga filem Mawar Putih (2013) yang menjadi antara karya terakhirnya dalam dunia perfileman. Antara filem lain yang pernah menerima sentuhan muzik beliau termasuk Masam Masam Manis, Ragam P. Ramlee, Hapuslah Airmatamu dan Menanti Hari Esok.
Allahyarham Ahmad Nawab atau nama sebenarnya Ahmad Khan Nawab Khan dikenali sebagai antara komposer paling prolifik dalam sejarah muzik Malaysia. Sepanjang kerjayanya, beliau bukan sahaja menghasilkan ribuan lagu popular malah memainkan peranan besar dalam membentuk perjalanan seni ramai penyanyi terkenal tanah air.
Antara artis yang pernah menerima sentuhan muziknya termasuk Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Dato' Sudirman Arshad, Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah, Dato' Khadijah Ibrahim, Allahyarham Datuk Hail Amir, Uji Rashid, Ramlah Ram, Dato' Siti Fairuz dan Allahyarham Dato' Nassier Wahab.
Allahyarham meninggal dunia pada 24 November 2024 di kediamannya di Taman Melewar pada jam 3.15 petang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Batu Caves pada keesokan harinya. Pemergian maestro muzik itu meninggalkan legasi seni yang besar kepada industri muzik dan perfileman negara.
%202026%20WAJIB%20TONTON%20POSTING.png)




0 Ulasan