"DI AIDILFITRI NAN MULIA" HIDUPKAN NOSTALGIA RAYA ERA 50-AN

 

Bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini, penyanyi digital Sofia Khalisa tampil dengan single raya berjudul “Di Aidilfitri Nan Mulia”, sebuah lagu yang mengetengahkan keindahan suasana raya dengan sentuhan irama klasik Melayu yang nostalgik.

Lagu ini membawa pendengar mengimbau suasana Aidilfitri pada era lampau, khususnya sekitar tahun 1950-an yang sering dikaitkan dengan kemeriahan beraya di kampung. Ia menggambarkan suasana tradisional yang penuh kehangatan dengan aktiviti kunjung-mengunjung serta semangat kemaafan sesama keluarga dan sahabat.

Menurut penerbit dan penulis lirik lagu ini, Amy Ikram, karya “Di Aidilfitri Nan Mulia” diinspirasikan daripada suasana klasik era tersebut dengan menjadikan penyanyi legenda Saloma sebagai antara sumber rujukan utama.

Beliau tidak menafikan bahawa minatnya terhadap irama klasik Melayu banyak mempengaruhi penghasilan karya ini. Malah, beberapa ikon seni klasik turut menjadi inspirasi termasuk Sanisah HuriMarilyn MonroeNona Asiah serta Maria Menado, yang terkenal dengan gaya seni dan aura klasik yang tersendiri.

Tambah beliau, lagu ini bukan sekadar mengetengahkan kemeriahan beraya di kampung, tetapi juga bertujuan menambah variasi dalam koleksi lagu raya berunsur klasik Melayu.

“Dalam kebanjiran lagu raya berunsur pop dan moden yang banyak menguasai platform penstriman digital hari ini, saya merasakan masih ada ruang untuk karya yang membawa sentuhan klasik Melayu. Lagu ini dihasilkan sebagai satu naskhah kecil yang diharapkan dapat menghidupkan kembali rasa nostalgia Aidilfitri seperti zaman dahulu,” katanya.

Beliau juga berharap karya tersebut dapat diterima baik oleh peminat muzik klasik Melayu serta menjadi antara lagu yang boleh menemani suasana Aidilfitri bersama keluarga.

“Di Aidilfitri Nan Mulia” dinyanyikan oleh Sofia Khalisa, seorang artis digital di bawah pengurusan Wajib Tonton Studio.

Single ini kini boleh didengarkan di semua platform muzik digital termasuk SpotifyApple Music dan YouTube Music bermula 6 Mac 2026, jam 12.00 tengah malam.

Dengan melodi yang mudah diingati serta elemen muzik klasik yang jarang diketengahkan dalam lagu raya moden masa kini, “Di Aidilfitri Nan Mulia” diharapkan dapat memberikan warna berbeza dalam senarai lagu raya tahun ini.

Catat Ulasan

0 Ulasan