RAYA PERTAMA ALPHA


TAHUN INI TAHUN ALPHA! Kumpulan Alpha (atau sering ditulis A7PHA) menjadi sebuah fenomena baharu dalam industri muzik M-Pop Malaysia. Mana tidaknya, bila sebut sahaja nama Alpha, pasti peminat mereka Alphanites akan teruja dan memberi sokongan apa jua aktiviti kumpulan boyband yang lahir dari rancangan Big Stage Alpha itu. 

Alpha dianggotai oleh 7 pemuda berbakat dari pelbagai latar belakang (Malaysia, Singapura, dan Brunei). Mereka dikenali dengan imej yang menggabungkan estetika K-pop dengan citarasa tempatan. Alpha yang terdiri daripada Daniel, Ariel, RayD, Rizal, Izat, Araff, dan Afiq Sky dan tahun ini merupakan tahun yang amat bermakna buat mereka bertujuh kerana ia adalah tahun pertama mereka menyambut Aidilfitri sebagai sebuah kumpulan dan juga selebriti. 

Alpha yang terkenal dengan lagu Mona lisa (Bang Bang) ini dilantik sebagai Duta Ramadan Raya Astro bersama Zizan Razak, Sharifah Shahiera dan juga Odah. Sekaligus mengangkat tema "Bila Bersama, Lagi Jadi".

Menurut Ariel Fesol, berkenaan menjadi pelakon iklan raya Astro tahun ini, mereka teruja dan sangat gembira."Sebagai pendatang baharu dalam Industri, kami berasa 'Happy' bila diberi peluang untuk berdiri dan berkongsi lensa bersama dengan bintang-bintang A-list yang hebat, Alhamdulillah, saya rasa kami Alpha sudah memberikan yang terbaik dan hasilnya yang memuaskan. Semuanya atas bimbingan pengarah Abang Hairul dan pelakon-pelakon senior yang banyak memberi tunjuk ajar". 

"Kami dapat merasakan eratnya seakan keluarga. Bila Bersama, lagi jadi" sambung Araff. Mereka membuat penggambaran sebulan sebelum bulan puasa dan agak terkejar -kejar kerana perlu ke penggambaran telemovie mereka yang turut diadakan pada masa yang sama namun Rizal bersyukur pihak Rocketfuel dan yang lain memudahkan urusan penggambaran mereka dan semuanya berjalan dengan lancar. 

Alpha juga turut merakamkan dua buah lagu raya untuk tahun ini. Rindu Raya adalah lagu raya pertama nyanyian mereka. Lagu ini dicipta sepenuhnya oleh Adam Armin dan Yusuff Khan. Ia menceritakan tentang kerinduan mendalam terhadap keluarga dan suasana kampung halaman, sangat sesuai bagi mereka yang berjauhan atau ingin mengimbau kenangan raya lama. Liriknya yang berbunyi "Kirimkan kasih sayangku pada yang jauh, rindu berlagu di jalan pulang ke kampung" kini sedang tular di TikTok.

Tidak hanya mempertaruhkan sebuah sahaja lagu raya, Alpha juga turut berkolaborasi bersama Power House Malaysia iaitu Hael Husaini yang juga mentor mereka dalam rancangan Big Stage. Lagu Raya bertajuk Raya Macam Raya yang lain daripada lagu Rindu Raya dari segi vibe-nya yang lebih kepada Pop Rancak dan bertenaga. Lagu Raya macam Raya ini membawa semangat kemeriahan raya yang sebenar. Kedua-dua lagu raya ini mendapat kritikan positif dan rata-rata peminat muzik tempatan menyukai kedua-dua lagu mereka ini. 

Selain daripada berlakon di dalam iklan raya Astro, mereka juga akan muncul buat pertama kalinya di dalam sebuah telemovie sempena Aidilfitri ini bertajuk 'Seven Untuk Suci'. Alphanites dan peminat semua jangan lupa tengok tau.



Catat Ulasan

0 Ulasan