Kuala Lumpur pada malam Sabtu lalu menjadi detik bermakna apabila Healing Nite 2026 membuka tirainya. Stadium Merdeka Kuala Lumpur menjadi saksi segalanya apabila kehadiran 20,000 penonton daripada pelbagai lapisan usia dan latar belakang, tanpa mengira status serta kedudukan, membanjiri stadium ikonik itu dengan satu tujuan bersama iaitu mencari ketenangan dan menyembuhkan emosi melalui muzik.
Bukan sekadar sebuah konsert, Healing Nite 2026 tampil sebagai pengalaman terapeutik menyeluruh yang menghubungkan muzik, emosi dan kesejahteraan dalam satu naratif yang halus serta berlapis. Membariskan penghibur berkaliber dari Malaysia dan Indonesia seperti Anuar Zain, Ella, Dayang Nurfaizah, Lyodra serta Kangen Band, konsert ini berjaya menterjemahkan konsep ‘healing’ dalam erti kata sebenar.
Dianjurkan oleh Yumeca Sdn Bhd bersama Kembara Nusantara Sdn Bhd dan Creative Page Sdn Bhd, acara yang berlangsung malam tadi itu turut memperlihatkan bagaimana hiburan boleh diraikan secara berhemah dan bermakna, jauh daripada stigma bingit dan keterlaluan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yumeca Sdn Bhd, Herman Aziz, Healing Nite 2026 bukan sekadar sebuah konsert biasa, sebaliknya sebuah keraian gaya hidup yang mengangkat muzik sebagai medium terapeutik.
“Kami bersyukur kerana tema Healing Nite yang dibawakan melalui konsert ini mencapai objektif kepada para penonton. Mereka bukan sahaja berpuas hati dengan persembahan artis-artis yang dipilih, malah benar-benar menghayati konsep healing yang diterjemahkan melalui Healing Tent, Teratak Spa serta keseluruhan elemen kesejahteraan,” katanya.
Tambah beliau, konsert ini menonjolkan bahawa muzik dan hiburan mampu menjadi pengalaman yang positif serta menenangkan jiwa sekiranya dianjurkan dengan penuh pertimbangan.
Momen Sarat Emosi
Antara detik paling menyentuh perasaan malam itu ialah kehadiran seorang peminat warga emas, Rokiah Hamzah, 81, yang sanggup hadir dari Terengganu demi bertemu penyanyi kesayangannya, Anuar Zain. Rokiah merupakan peminat setia Anuar sejak penyanyi itu masih bergelar penyanyi kanak-kanak pada awal 1980-an dan popular dengan lagu Kain Pelekat.
Walaupun sudah mula menunjukkan tanda-tanda dementia, ingatan Rokiah terhadap Anuar kekal utuh, satu hakikat yang menyentuh hati ramai penonton. Keikhlasan Anuar, 55, yang turun dari pentas semata-mata untuk menyantuni Rokiah, bertanya khabar serta bergambar bersama, mencetuskan suasana penuh emosi. Detik singkat itu menjadi kenangan terindah buat Rokiah yang hadir ditemani anak-anak serta cucu-cucunya, sekali gus melambangkan ikatan tulus antara artis dan peminat.
Sebagai tanda penghargaan kepada penonton, Anuar turut menghadiahkan patung beruang comel dengan cara bersahaja dengan melemparkannya ke arah penonton tanpa menghiraukan statusnya sebagai penyanyi tersohor. Tindakan spontan itu menceriakan suasana dan menutup persembahannya dengan senyuman.
Tampil sebagai penyanyi terakhir, Anuar menghiburkan penonton dengan lagu Kau Bunga Cintaku, Keabadian Cinta, Sesucinya Cintaku dan Sedetik Lebih. Dalam ucapannya, beliau menyatakan rasa terharu dan berterima kasih kepada peminat yang terus setia menyokongnya.
“Terima kasih kerana sudi hadir untuk berjumpa saya malam ini,” tuturnya penuh ikhlas.
Persembahan Berlapis Jiwa
Konsert dimulakan dengan vokal gemersik Dayang Nurfaizah menerusi lagu Umpan Jinak Di Air Tenang, Lemah, Aku dan Lelaki Teragung yang membuka tirai dengan suasana mendamaikan, selari dengan konsep konsert.
Pentas kemudiannya diambil alih oleh Lyodra, juara Indonesian Idol musim ke-10, yang memukau dengan enam buah lagu termasuk Malu-Malu Tapi Nyaman, Tak Selalu Memiliki, Pesan Terakhir dan Sang Dewi. Keindahan vokalnya yang mendamaikan turut diperkukuh dengan momen istimewa apabila beliau mengajak seorang peminat bertuah untuk berduet bersama.
Kemunculan Ella sekitar jam 11 malam berjaya menghidupkan suasana walaupun malam kian larut. Dengan persalinan rona biru pirus, Ratu Rock Negara itu membuktikan kredibilitinya menerusi lagu Layar Impian, Retak & Pedih dalam bentuk medley, Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Sembilu.
Kangen Band pula membangkitkan nostalgia peminat menerusi lagu Terbang Bersamaku, Doy, Pujaan Hati, Wanita Cadangan, Kehilanganmu Berat Bagiku dan Yolanda. Namun begitu, persembahan vokal utama dilihat sedikit terkesan, dipercayai akibat faktor jadual padat serta stamina.
Lebih Daripada Hiburan
Keistimewaan Healing Nite 2026 bukan hanya terserlah di atas pentas, malah turut diterjemahkan melalui pengalaman menyeluruh di luar ruang persembahan. Seawal jam 1 petang, pengunjung disambut dengan Healing Tent yang berfungsi sebagai ruang transisi menenangkan, lengkap dengan kolaborasi gaya hidup dan kulinari yang menyokong konsep kesejahteraan.
Pengalaman tersebut diteruskan di dalam stadium menerusi Teratak Spa serta pelbagai elemen kesejahteraan yang disepadukan sepanjang konsert berlangsung, sekali gus melengkapkan perjalanan emosi penonton dari awal hingga akhir acara.
Secara keseluruhan, Healing Nite 2026 berjaya mengangkat konsep konsert ke tahap yang lebih halus dan bermakna, bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi sebagai sebuah pengalaman kurasi gaya hidup yang menyatukan muzik, emosi dan ketenangan dalam satu malam penuh pesona.
.png)
.png)
.png)
.png)
.png)
.png)
.png)
.png)

0 Ulasan