FAUZIAH LATIFF RAIKAN 4 DEKAD DIPENTAS

Selepas hampir empat dekad menjadi sebahagian penting dalam sejarah muzik Malaysia, nama Fauziah Latiff akhirnya diraikan menerusi sebuah konsert solo berskala besar yang julung kali diadakan sepanjang kerjaya seninya. Penyanyi yang sinonim dengan deretan lagu balada ikonik ini bakal mengubati kerinduan peminat menerusi 4 Decades Fauziah Latiff Live In Concert, yang dijadualkan berlangsung pada 9 Mei 2026 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Dianjurkan oleh Ideatelier, konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan, sebaliknya dirangka sebagai penghormatan terhadap perjalanan seni Fauziah yang bermula sejak era 1980-an, satu tempoh yang menyaksikan beliau muncul sebagai antara figura wanita paling berpengaruh dalam industri muzik tempatan.

Untuk rekod, Fauziah Latiff bukan nama asing dalam dunia seni tanah air. Beliau merupakan seorang penyanyi, pelakon dan personaliti televisyen yang telah menghasilkan sebelas album studio, selain melahirkan deretan lagu hit yang kekal relevan merentas generasi, antaranya Teratai Layu Di Tasik Madu, Dia, Takdir dan Setia Ku Korbankan. Dalam masa yang sama, Fauziah terus aktif dalam bidang lakonan menerusi drama dan filem, sekali gus membuktikan kelangsungan kerjaya seninya meskipun jarang tampil dengan persembahan nyanyian berskala besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Berkongsi mengenai keputusannya menerima tawaran menjayakan konsert berkenaan, Fauziah, 56, mengakui beliau mengambil masa hampir sebulan sebelum bersetuju, terutamanya selepas menilai kesungguhan serta pendekatan profesional yang ditampilkan oleh pihak penganjur.

“Cara mereka bekerja sangat terperinci dan bersungguh-sungguh. Jika dilihat dari sudut seni dan produksi yang dimiliki, setiap perancangan dilaksanakan dengan pantas serta berfokus. Kami berbincang secara terbuka, saling bertukar idea dan pendekatan itulah yang meyakinkan saya,” katanya ketika ditemui selepas sidang media konsert berkenaan.

Dikenali sebagai seorang yang teliti serta mementingkan kualiti, Fauziah turut mengakui rasa tanggungjawab yang besar sering menjadi antara faktor utama beliau menolak banyak tawaran konsert sebelum ini.

“Konsert bukan sekadar menyanyi. Ia melibatkan penghargaan terhadap keseluruhan ekosistem pentas bukan sahaja penonton malah pemuzik, pencipta lagu dan kru yang terlibat. Semua pihak perlu diraikan dengan seadilnya,” jelasnya.

Menariknya, konsert ini turut dirancang bersemppena sambutan Hari Ibu, sekali gus menjadikan tema kasih sayang, pengorbanan dan kekuatan wanita sebagai teras emosi persembahan. Fauziah menjanjikan pemilihan lagu yang akan membawa penonton mengimbau memori lama, diserikan pula dengan susunan muzik baharu tanpa menghilangkan roh asal karya.

“Lagu lagu lama ini mempunyai hubungan emosi yang kuat. Apabila dinyanyikan, memori itu hadir dengan sendirinya dan kita raikan bersama,” katanya.

Persoalan yang timbul kini ialah sama ada Fauziah Latiff, yang lebih aktif sebagai pelakon sejak beberapa tahun kebelakangan ini, masih mampu memikat pendengar muzik dalam landskap industri yang semakin berubah. Namun, melihat kepada kekuatan katalog lagunya, aura persembahan serta nilai nostalgia yang dibawa, konsert ini dijangka membuktikan bahawa kehadiran Fauziah bukan sekadar bersandar pada kenangan, sebaliknya masih relevan dari segi emosi dan kualiti seni.

Sementara itu, penganjur Ezuwan Ismail menyifatkan konsert berkenaan sebagai sebuah projek yang dibangunkan dengan standard tinggi sebagai tanda penghormatan terhadap status Fauziah sebagai legenda seni tanah air.

“Ini merupakan konsert solo pertamanya selepas 40 tahun. Kami mahu penonton pulang dengan rasa puas setelah menyaksikan sesuatu yang bermakna serta bernilai dari segi emosi,” katanya.

Tiket konsert akan mula dijual pada 26 Januari menerusi laman web rasmi Ticket2U, dengan harga bermula RM299 hingga RM6,999, bergantung kepada kategori tempat duduk.



Lebih daripada sekadar sebuah persembahan pentas, 4 Decades Fauziah Latiff Live In Concert berdiri sebagai rakaman hidup perjalanan seni seorang legenda yang telah membentuk emosi dan memori muzik merentas generasi. Dalam arus industri yang terus berubah, Fauziah Latiff membuktikan bahawa kejujuran berkarya, suara yang berjiwa dan seni yang lahir dari keikhlasan tetap kekal relevan. Konsert ini bukan hanya mengubat rindu peminat setia, malah mengangkat kembali nama Fauziah Latiff sebagai simbol keanggunan dan keunggulan seni muzik Malaysia.

Catat Ulasan

0 Ulasan