ALQINA CUISINE SANTUNI 54 ANAK YATIM SEMPENA RAMADAN

Alqina Cuisine Sdn Bhd terus mengimarahkan Ramadan tahun ini menerusi penganjuran bufet ‘Selera Senja’ buat tahun kedua berturut-turut di Temu Jelatek Event Space, di sini, selain menganjurkan 1st Day Iftar Buffet yang menghimpunkan kira-kira 120 tetamu termasuk 54 wakil Rumah Anak Yatim dan Asnaf Al Barakh.

Wakil rumah kebajikan itu terdiri daripada 47 anak-anak, iaitu 19 dewasa dan 28 kanak-kanak, selain tujuh penyelia.

Majlis iftar hari pertama dimulakan pada jam 6.30 petang dengan bacaan doa selamat sebelum wakil Rumah Anak Yatim dan Asnaf Al Barakh melaungkan azan Maghrib tepat jam 7.30 malam sebagai simbolik pembukaan puasa secara berjemaah.

Kemuncak program pada jam 9 malam menyaksikan sesi penyampaian duit raya dan hadiah kepada anak-anak oleh Pengarah Alqina Cuisine Sdn Bhd, Chef Firdaus Haji Omar, yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri makanan dan minuman (F&B).

Chef Firdaus berkata, penganjuran majlis itu bukan sekadar acara berbuka puasa, sebaliknya sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat dalam menyantuni golongan memerlukan.

“Ramadan adalah bulan yang menuntut kita berkongsi rezeki dan menyantuni mereka yang kurang bernasib baik. Kami melihat inisiatif ini sebagai satu amanah untuk memastikan anak-anak ini turut merasai kemeriahan Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya komited untuk meneruskan program kebajikan seumpama itu sebagai usaha berterusan memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat.

Sementara itu, Pengurusnya, Puan Sherina, berkata penganjuran bufet ‘Selera Senja’ tahun ini membuktikan komitmen syarikat dalam menyediakan pengalaman kulinari berkualiti tinggi dengan mengekalkan elemen nostalgia klasik yang menjadi tarikan pengunjung.

“Bagi edisi tahun ini, kami melanjutkan tempoh operasi kepada empat hari seminggu iaitu dari Khamis hingga Ahad, berbanding tiga hari pada tahun lalu berikutan sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelanggan tetap dan baharu,” katanya.

Menurut beliau, antara tarikan utama termasuk hidangan kambing golek dan daging salai yang disediakan secara tradisional menggunakan salai arang, dihidangkan bersama pulut dan ubi rebus bagi membangkitkan cita rasa klasik.

Menyentuh mengenai harga, kadar bagi dewasa ditetapkan pada RM77 manakala kanak-kanak serta warga emas RM55.

Tambahnya, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial, pihaknya turut menawarkan hidangan secara percuma kepada anak-anak istimewa yang menghidap autisme dan Down Syndrome.

Temu Jelatek Event Space yang dikendalikan oleh Alqina Cuisine sejak awal 2025 mampu memuatkan sehingga 700 tetamu pada satu-satu masa. Bagaimanapun, bagi memastikan keselesaan pengunjung serta ruang solat yang mencukupi, kapasiti bufet Ramadan dihadkan kepada 500 orang pada satu-satu masa.

Orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan dengan menghubungi talian 013-682 9159 (Sherina), 018-910 4963 (Farhana) atau 010-421 4054 (Naim), selain mendapatkan maklumat lanjut menerusi platform media sosial rasmi ‘Temu Jelatek’.

Catat Ulasan

0 Ulasan