KONTROVERSI LAGU RAYA AWAL RAMADAN, SYAMEL ERNIE BUKA MULUT

Menjelang Aidilfitri tahun ini, industri muzik tempatan kembali rancak dengan kemunculan pelbagai lagu raya baharu. Bagi penyanyi terkenal, Syamel, perkembangan tersebut wajar dilihat sebagai petanda positif terhadap pertumbuhan industri, bukannya sesuatu yang perlu dipolemikkan.

Menurutnya, pelancaran lagu raya seawal Ramadan tidak seharusnya dianggap kurang sensitif, selagi artis memahami batas dan menghormati kesucian bulan mulia itu.

“Tidak dinafikan Ramadan kali ini ramai artis melancarkan lagu raya. Ada yang berpendapat tindakan itu kurang sensitif kerana lagu raya sudah berkumandang di sana sini. Bagi saya, semua orang bebas buat apa sahaja asalkan menghormati perkara yang sepatutnya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu, Suasana Raya.

Tambah Syamel, pelancaran secara berperingkat memberi ruang kepada setiap karya untuk menonjol dan tidak tenggelam dalam lambakan lagu yang diterbitkan serentak.

“Jika semua lagu dilancarkan pada waktu sama, mungkin sukar untuk setiap satu mendapat perhatian. Yang penting, hormat Ramadan ketika mempromosikan lagu,” jelasnya.

Single Suasana Raya menyatukan Syamel bersama isterinya, Ernie Zakri. Lebih istimewa, lagu ini merupakan kolaborasi rasmi bersama Hong Kong Tourism Board dengan penggambaran video muzik dijalankan di sekitar Hong Kong.

Menggabungkan melodi klasik raya dengan susunan muzik moden serta lirik yang menyentuh perasaan, lagu ini membawa pendengar menyelami keindahan pagi Syawal yang sarat dengan elemen kesyukuran dan kebersamaan keluarga. Sentuhan visual yang segar dan dinamik turut memperkukuh mesej lagu, menjadikannya lebih dekat dengan citarasa generasi masa kini.

Menurut Ernie, pemilihan Hong Kong sebagai lokasi penggambaran bukan sahaja selari dengan konsep lagu, malah memudahkan urusan sepanjang berada di sana.

“Kami mudah mendapatkan makanan halal seperti di Islamic Centre Canteen dan berpeluang melawat Kowloon Mosque. Selain itu terdapat tarikan mesra keluarga seperti Ocean Park. Ia pengalaman yang sangat bermakna kerana kami dapat menjalani penggambaran sambil meluangkan masa bersama keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Ernie menegaskan mereka tidak pernah berasa gusar dengan kehadiran banyak lagu raya baharu setiap tahun. Apa yang lebih penting, katanya, adalah memastikan emosi dan mesej dalam lagu benar benar sampai kepada pendengar.

“Lagu raya perlu ada elemen yang apabila orang dengar, terus terasa suasana Hari Raya. Soal malar segar itu bergantung kepada generasi pendengar. Yang penting, cerita dalam lagu itu sampai,” ujarnya.

Dikenali dengan rangkaian lagu balada yang sarat emosi, Ernie mengakui Suasana Raya memberi pengalaman berbeza kerana nadanya lebih santai dan ceria. Syamel pula menyifatkan kekuatan utama lagu tersebut terletak pada melodinya yang mudah melekat dan sesuai dimainkan ketika berkumpul bersama keluarga.

“Kami mahu pendengar benar benar merasai kegembiraan itu. Sepanjang rakaman, kami menyanyi dalam keadaan tersenyum supaya emosi tersebut dapat disampaikan dengan lebih ikhlas,” katanya.

Penggambaran video muzik itu juga menjadi kenangan manis buat pasangan ini apabila mereka berpeluang membawa anak menikmati pengalaman tersebut bersama di Hong Kong.

Sebagai tanda penghargaan terhadap peminat, pasangan ini turut mengadakan sesi tontonan awal video muzik di Aurum Theatre pada 17 Februari lalu. Hampir 100 peminat terpilih diberi peluang menonton terlebih dahulu selain mempelajari koreografi yang dipaparkan dalam video tersebut.

Dengan gabungan elemen tradisi dan moden serta mesej kekeluargaan yang kuat, Syamel dan Ernie berharap Suasana Raya bukan sekadar lagu bermusim, sebaliknya menjadi runut bunyi yang terus dimainkan saban tahun setiap kali Syawal menjelma.

“Harapan kami, lagu ini akan menemani detik indah Aidilfitri dan kekal dalam hati peminat untuk jangka masa panjang,” kata mereka.

Suasana Raya kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.

Catat Ulasan

0 Ulasan