Pondan Ini, hasil karya Erma Fatima yang diarahkan Amor Rizan, hadir sebagai sebuah drama yang sarat dengan emosi, kontroversi dan keinsafan. Naskhah ini tampil berani menyentuh topik yang sering dipinggirkan — tentang identiti, cinta, dosa dan penebusan diri, namun digarap dengan pendekatan kemanusiaan yang mendalam, realistik dan sarat nilai empati.
Dalam suasana masyarakat yang masih sensitif terhadap isu jantina dan seksualiti, karya ini bukan dicipta untuk mengangkat atau mengagungkan mana-mana golongan. Sebaliknya, ia hadir untuk memanusiakan mereka, mengajak khalayak menilai dari kaca mata empati dan kefahaman, bukan sekadar dari sudut hukum dan prejudis sosial.
Namun begitu, jika sebelum ini penonton pernah diperkenalkan dengan karya-karya berani seperti Bukak Api, Comolot, Chukang dan Khunsa — naskhah yang membuka wacana tentang dunia transgender dan homoseksual dalam konteks sosial serta identiti kini muncul pula Pondan Ini, sebuah karya yang mencabar norma masyarakat melalui kekuatan naratif serta kejujuran penceritaannya terhadap realiti penerimaan khalayak.
Di bawah sentuhan pengarahan Amor Rizan, berteraskan idea asal Erma Fatima, Pondan Ini berdiri sebagai sebuah drama yang jujur, berani dan sarat nilai insani. Ia mengangkat isu jantina, cinta terlarang dan perjalanan spiritual menuju keinsafan dengan kepekaan seni yang mendalam. Keberanian naskhah ini memaparkan realiti golongan transgender dalam kerangka masyarakat Islam di Malaysia bukan sahaja mencetuskan pelbagai reaksi dan perdebatan, malah menjadikannya antara karya paling signifikan, berani dan bernyawa dalam wacana seni tempatan masa kini.
Antara Nafsu, Fitrah dan Dosa
Watak utama lakonan Hariz Hamdan menjadi nadi utama yang menggerakkan keseluruhan naratif Pondan Ini. Membawa watak seorang lelaki beristeri yang terperangkap dalam cinta terhadap seorang pondan, Hariz menzahirkan lakonan yang jujur, berlapis dan penuh konflik dalaman. Pertentangan antara cinta dan dosa, dengan keinginan dan iman, diterjemahkan melalui ekspresi yang tulus dan sarat jiwa. Wataknya menjadi cerminan manusia moden yang mudah terpesong oleh rasa dan nafsu, namun di sudut hatinya masih mencari cahaya keinsafan dan jalan pulang kepada fitrah.
Sementara itu, watak Roza, dilakonkan oleh Hany Manja, seorang pelakon transgender sebenar memberikan nilai keaslian dan kedalaman emosi yang sukar dicapai oleh pelakon lain. Keputusan Erma Fatima untuk menampilkan pelakon sebenar bagi watak pondan bukan sahaja mencerminkan keberanian pengarahan, tetapi juga satu bentuk empati artistik yang jarang diterokai dalam karya tempatan. Hany membawa Roza bukan sebagai karikatur atau bahan jenaka, tetapi sebagai manusia yang bergelut antara naluri, penerimaan dan fitrah. Setiap gerak, tutur dan tatapan Roza sarat dengan pergulatan batin menjadikan watak ini antara simbol paling menyayat dalam keseluruhan drama.
Keberanian Erma Fatima dan Sentuhan Amor Rizan
Sebagai penerbit dan penulis asal, Erma Fatima sekali lagi membuktikan ketajaman fikirannya dalam menulis karya yang menggugat pemikiran dan menyentuh sisi kemanusiaan. Dalam wawancara terdahulu, beliau menegaskan bahawa Pondan Ini bukanlah naskhah untuk menghalalkan gaya hidup songsang, sebaliknya merupakan panggilan hati untuk membuka mata masyarakat bahawa setiap manusia, walau sejauh mana tersasar, tetap berhak diberi peluang untuk kembali kepada Tuhan.
Walaupun menerima pelbagai kecaman, khususnya daripada mereka yang menuduhnya cuba menormalisasi isu jantina, Erma tetap teguh dengan prinsipnya bahawa seni tidak seharusnya tunduk kepada ketakutan sosial. Baginya, seni adalah cermin realiti bukan sekadar medium moral yang disuap, tetapi wadah dakwah yang lembut, jujur dan menggugah jiwa. Keberanian Erma dalam menulis naskhah seperti ini membuktikan bahawa beliau bukan sekadar seniman, tetapi pemikir yang melihat seni sebagai perjalanan rohani.
Sementara itu, arahan Amor Rizan memberikan naskhah ini roh yang hidup dan jujur. Sebagai pengarah, beliau menggunakan pendekatan visual yang sederhana namun bermakna melalui pencahayaan suram, ruang sempit dan tona warna neutral bagi menzahirkan pergelutan batin dan sunyi jiwa watak-wataknya. Amor sendiri turut berlakon dalam drama ini, dan wataknya menjadi cermin kepada kesedaran spiritual yang akhirnya membawa beliau kembali kepada fitrah asalnya.
Detik ketika dirinya tersedar dan memilih untuk kembali menjadi lelaki menjadi kemuncak dramatik yang penuh simbolisme. Pencahayaan lembut yang memancar di wajahnya menggambarkan sinar hidayah dan pengampunan, seolah-olah Tuhan menyapa dengan penuh kasih. Ia bukan sekadar babak penutup, tetapi sebuah doa visual tentang penemuan diri dan keinsafan mengingatkan penonton bahawa setiap jiwa yang tersesat masih punya peluang untuk pulang.
Kasih Seorang Ibu dan Dilema Keinsafan
Tidak kurang hebatnya, Fauziah Ahmad Daud menampilkan lakonan luar biasa sebagai seorang ibu yang kehilangan anak setelah menukar jantina. Wataknya menjadi lambang kasih seorang ibu yang diuji antara cinta dan kecewa, antara doa dan redha. Dengan penghayatan yang halus dan penuh jiwa, Fauziah menghidupkan setiap babak air mata dengan ketulusan yang meresap ke dalam hati penonton. Beliau bukan sekadar berlakon tetapi menjadi nadi emosi kepada keseluruhan drama ini.
Dalam konteks sosial, watak sang ibu mencerminkan dilema ramai ibu bapa hari ini tentang bagaimana berdepan dengan anak yang menyimpang daripada fitrah, tanpa menolak mereka, tetapi menuntun mereka pulang dengan kasih dan hikmah. Erma Fatima melalui skripnya mengangkat satu mesej besar: bahawa kasih seorang ibu adalah doa yang tidak pernah putus, dan di sebalik kecewa yang dalam, masih ada ruang untuk harapan dan keinsafan.
Pondan Ini dengan lembut menyampaikan bahawa cinta ibu bukan penghakiman, tetapi jambatan menuju pengampunan dan fitrah sebenar manusia.
Akidah, Empati dan Kesedaran
Pondan Ini dengan jelas berpaksikan kepada nilai tauhid dan kemanusiaan Islam. Walaupun Erma Fatima tidak memilih pendekatan didaktik atau berbentuk ceramah, mesejnya tetap menyentuh — disampaikan dengan emosi yang halus dan perjalanan watak yang menginsafkan.
Setiap dialog, khususnya antara Roza dan Amor, sarat dengan renungan tentang takdir, dosa dan kebebasan. Erma seolah-olah berbisik kepada penonton bahawa pondan juga manusia — mereka mempunyai hati, rasa dan kerinduan untuk dicintai serta diterima. Namun dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa kebebasan sebenar hanya wujud apabila manusia menerima ciptaan Tuhan dan kembali kepada fitrah asalnya.
Di sinilah terletaknya kekuatan Pondan Ini di mana ia tidak hadir untuk menagih simpati, tetapi untuk menyeru kepada kesedaran dan keinsafan. Ia bukan kisah tentang penentangan terhadap hukum, tetapi pencarian terhadap makna cinta yang benar dalam ruang spiritual yang paling dalam.
Seni Sebagai Cermin Realiti
Dalam dunia hiburan yang sering mengejar populariti kosong dan formula selamat, Pondan Ini hadir sebagai suara kecil yang lantang — menyeru kepada empati, penerimaan dan kesedaran. Kerana seni, apabila lahir dari kejujuran dan nur hati, mampu menjadi jambatan antara dosa dan keinsafan, antara manusia dan Tuhannya.
Pondan Ini bukan sekadar kisah tentang seorang pondan, tetapi ianya adalah kisah tentang manusia yang tersalah langkah, mencari cinta dan akhirnya menemui Tuhan. Keberanian Erma Fatima dalam mengangkat isu yang tabu, digandingkan dengan pengarahan jujur Amor Rizan, menjadikan drama ini antara karya paling penting dan berani dalam landskap drama Malaysia moden.
Lakonan mantap Hariz Hamdan, Hany Manja, Fauziah Ahmad Daud, Dato' Ahmad Tamimi Siregar dan Amor Rizan menyatukan kekuatan emosi dan kejujuran, membentuk sebuah naskhah yang bukan sekadar menyentuh hati, tetapi turut menggugah jiwa dan mencabar persepsi masyarakat.
Menariknya, Pondan Ini kini ditayangkan secara eksklusif di platform Karya Reels sebuah aplikasi tempatan yang menghimpunkan pelbagai karya asli tanpa sekatan kreativiti. Anda boleh muat turun dan melanggan Karya Reels melalui Apple App Store dan Google Play untuk menonton naskhah penuh yang sedang menjadi perbualan ramai ini.






0 Ulasan