Filem arahan pengarah tersohor Tunisia, Kouther Ben Hania, The Voice of Hind Rajab mencipta sejarah tersendiri apabila tersenarai dalam lima pencalonan akhir kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik sempena Anugerah Akademi (Oscar) ke-98.
Menurut laporan portal antarabangsa The New Arab, karya berani itu akan bersaing dengan empat judul lain iaitu The Secret Agent, It Was Just an Accident, Sentimental Value dan Sirât. Senarai pencalonan tersebut diumumkan oleh Academy of Motion Picture Arts and Sciences semalam, sekali gus meletakkan The Voice of Hind Rajab sebagai antara filem paling diperkatakan tahun ini.
Majlis Anugerah Akademi dijadual berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat pada Mac depan. Lebih signifikan, pencalonan ini turut mengukuhkan nama Kouther Ben Hania sebagai wanita Arab pertama dalam sejarah yang menerima tiga pencalonan Oscar, selepas kejayaannya menerusi The Man Who Sold His Skin (2021) dan dokumentari Four Daughters (2024).
Sebelum ini, The Voice of Hind Rajab telah mencuri perhatian dunia apabila merangkul Anugerah Silver Lion – Grand Jury Prize di Festival Filem Venice, selain menerima tepukan gemuruh berpanjangan (standing ovation). Filem ini juga pernah dicalonkan dalam kategori Filem Bahasa Asing Terbaik di Anugerah Golden Globe. Ketika menerima anugerah di Venice, Ben Hania menyifatkan suara Hind sebagai simbol jeritan seluruh Gaza yang didengari dunia, namun gagal mendapat tindak balas yang adil.
Filem ini mengangkat kisah detik terakhir Hind Rajab, seorang kanak-kanak Palestin berusia enam tahun yang terbunuh akibat serangan tentera Israel di Gaza pada Januari 2024. Naratifnya dibina berasaskan rakaman audio sebenar panggilan telefon Hind kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, ketika petugas kecemasan berusaha menyelamatkannya di tengah-tengah situasi tembakan berterusan.
Hind merupakan satu-satunya mangsa yang terselamat daripada serangan terhadap kenderaan keluarganya ketika cuba melarikan diri dari Bandar Gaza. Dalam keadaan penuh ketakutan, kanak-kanak itu kekal berhubung melalui telefon selama beberapa jam, merayu agar diselamatkan, sebelum talian akhirnya terputus.
Tragisnya, Hind, dua petugas paramedik yang dihantar untuk membantunya serta enam ahli keluarganya dilaporkan terbunuh dalam serangan berkenaan. Kes pembunuhan Hind mencetuskan kemarahan antarabangsa dan menggerakkan pelbagai reaksi budaya, termasuk lagu protes Hind’s Hall oleh penyanyi Amerika, Macklemore. Malah, Hind Rajab Foundation turut ditubuhkan sebagai usaha memperingati mangsa dan memperjuangkan keadilan.
Majlis Anugerah Akademi (Oscar) ke-98 dijadualkan berlangsung pada Ahad, 15 Mac 2026 di Dolby Theatre, Ovation Hollywood.
.png)
.png)

0 Ulasan