Gabungan tiga nama besar dari dunia muzik alternatif dan pop moden serantau bakal mencipta sebuah malam yang sarat emosi menerusi konsert “Malam Simfoni Luka” yang dijadualkan berlangsung pada 24 Januari 2026 jam 8 malam.
Menghimpunkan For Revenge, Insomniacks dan Midnight Fusic di bawah satu pentas, konsert ini kini secara rasmi berpindah lokasi ke ZEPP Kuala Lumpur susulan beberapa kekangan teknikal yang tidak dapat dielakkan. Perubahan ini dilakukan demi memastikan setiap elemen persembahan disampaikan pada kualiti terbaik sekali gus mewujudkan suasana yang lebih peribadi, akrab dan menyentuh jiwa antara artis dan peminat.
Buat pemegang tiket, tiada kebimbangan yang perlu disimpan. Tiket sedia ada kekal sah dan boleh digunakan seperti biasa untuk memasuki lokasi baharu tanpa sebarang proses pertukaran.
Lebih daripada sekadar sebuah konsert “Malam Simfoni Luka” hadir sebagai sebuah pengembaraan sonik yang merangkum duka cinta dan harapan emosi yang begitu dekat dengan perjalanan jiwa generasi muda hari ini. Setiap alunan muzik dan bait lirik menjadi medium untuk menyingkap kisah-kisah yang pernah dirasai, dilalui dan disimpan dalam diam.
Dengan kekuatan For Revenge yang dikenali menerusi persembahan post hardcore bertenaga serta lirik yang jujur dan sarat makna digandingkan dengan sentuhan pop moden Insomniacks yang lembut menusuk perasaan serta nuansa alternatif Midnight Fusic yang dreamy dan mendamaikan, konsert ini dijangka menjadi antara momen muzik paling menggetarkan emosi pada awal tahun 2026.
Pengalaman malam tersebut turut diperkaya dengan pencahayaan sinematik dengan susunan muzik live yang diolah secara eksklusif serta visual khas yang direka untuk menghidupkan setiap emosi yang terkandung dalam lagu-lagu yang dipersembahkan menjadikan setiap detik bukan sekadar ditonton tetapi dirasai sepenuh jiwa.
Tiket konsert telah mula dijual sejak 14 November 2025 dan boleh didapati menerusi laman rasmi www.ticket2u.com.my.
Buat pencinta muzik alternatif dan pop moden, “Malam Simfoni Luka” di ZEPP Kuala Lumpur menjanjikan sebuah malam yang tidak sekadar didengar, tetapi dihayati, dirasai dan diingati. Pastikan malam Sabtu ini dimanfaatkan sepenuhnya menerusi sebuah konsert istimewa yang menjanjikan pengalaman emosi luar biasa.
.png)



0 Ulasan