KISAH BAWAH TANAH KEMBALI DENGAN LAPAN EPISOD BAHARU

Selepas meraih perhatian penonton menerusi gabungan elemen seram, komedi dan cerita rakyat Asia Tenggara, siri animasi Kisah Bawah Tanah (KBT) bakal kembali dengan lapan episod baharu yang menjanjikan lebih banyak misteri dan pengembaraan dari dunia bawah tanah.

Sejak diperkenalkan, siri animasi terbitan Astro itu menerima sambutan positif daripada penonton pelbagai peringkat usia hasil gabungan elemen seram, komedi dan emosi yang disampaikan menerusi pendekatan penceritaan segar serta dekat dengan budaya masyarakat serantau.

Kejayaan itu sekali gus membuktikan karya animasi tempatan mampu berkembang melangkaui hiburan semata-mata apabila berjaya mengangkat semula kisah-kisah rakyat yang semakin dilupakan dalam bentuk yang lebih moden dan mudah didekati generasi hari ini.

Meneruskan momentum tersebut, Kisah Bawah Tanah bakal kembali menerusi Part 2 yang menampilkan lapan episod baharu bermula sejak 8 Jun hingga 27 Julai depan.

Kesinambungan siri itu dijangka membawa penonton menyelami lebih banyak misteri dari dunia bawah tanah menerusi pengembaraan yang lebih mencabar, kemunculan makhluk-makhluk aneh serta pelbagai konflik baharu yang menanti watak-watak kegemaran ramai.

Populariti yang diraih turut menyaksikan Kisah Bawah Tanah berkembang menjadi sebuah harta intelek tempatan yang mempunyai komuniti peminat tersendiri, selain berjaya memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara francais animasi paling menonjol di bawah Astro.

Dalam usaha memperluaskan lagi pengaruh Kisah Bawah Tanah, Astro turut bekerjasama dengan kumpulan lelaki popular ALPHA menerusi pembikinan video  eksklusif bagi lagu Burn It Down yang diilhamkan daripada dunia animasi berkenaan.

Menampilkan watak-watak kegemaran peminat seperti Sam, Zack dan Ina, penghasilan video  itu menggabungkan dunia muzik dan animasi dalam satu persembahan kreatif yang mencerminkan identiti unik Kisah Bawah Tanah.

Ketua Pemasaran Kumpulan Astro, Benjamin Woo berkata, pihaknya komited dalam memperkasakan karya asli tempatan yang berpotensi berkembang merentasi pelbagai platform kreatif.

“Kisah Bawah Tanah membuktikan bahawa cerita tempatan mempunyai potensi besar untuk diketengahkan dalam bentuk yang segar dan inovatif. Kami mahu terus menyokong pembangunan harta intelek tempatan yang bukan sahaja menghiburkan, malah mampu memperkenalkan cerita rakyat Asia Tenggara kepada generasi baharu.

“Melalui platform Astro, kami akan terus memperkasakan pengkarya tempatan dan membuka lebih banyak ruang kepada bentuk penceritaan kreatif yang mampu menjangkau audiens lebih luas,” katanya.

Dengan sambutan yang terus memberangsangkan serta pengenalan episod baharu, Kisah Bawah Tanah dilihat semakin kukuh sebagai antara jenama animasi tempatan yang berjaya membina pengaruh tersendiri, sekali gus membuktikan potensi besar industri animasi Malaysia untuk terus berkembang pada masa hadapan.

Catat Ulasan

0 Ulasan