5 SUARA BERGEMA DI MALAM QOLBU

Dalam dunia yang semakin sarat dengan hiburan dan tuntutan kehidupan, ruang untuk mengisi jiwa dengan kecintaan kepada Rasulullah SAW menjadi semakin berharga. Menyedari hakikat itu, Konsert Malam Qolbu bakal dianjurkan pada 24 Ogos 2026 di Idea Live Arena, Kuala Lumpur sebagai platform yang menggabungkan seni, dakwah dan penghayatan sirah dalam satu pengalaman kerohanian yang bermakna.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul, konsert berkonsepkan Muzik Islamik Nusantara itu bukan sekadar menampilkan hiburan berteraskan Islam, malah menjadi wadah untuk mengajak masyarakat memperbanyakkan selawat, menghayati perjuangan Nabi Muhammad SAW serta memperkukuh kecintaan terhadap junjungan besar umat Islam itu.

Konsert berkenaan bakal menghimpunkan barisan artis dan kumpulan nasyid terkenal iaitu Opick, Mawi, Rabbani, UNIC serta The Rayhan dalam sebuah persembahan yang disusun dengan elemen penceritaan, visual dan pengisian kerohanian yang menyentuh hati.

Wakil penganjur berkata, penganjuran Konsert Malam Qolbu lahir daripada rasa tanggungjawab dan kecintaan terhadap Rasulullah SAW yang ingin diterjemahkan melalui medium yang dekat dengan masyarakat masa kini.

"Penganjuran ini merupakan satu amanah besar buat kami. Tanpa Rasulullah SAW, kita tidak akan mengenal Islam seperti yang kita nikmati pada hari ini. Justeru, kami berasa bertuah apabila diberi peluang untuk menganjurkan sebuah acara yang mengajak masyarakat berselawat, mengenang sirah Baginda dan menyemarakkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW.

"Mungkin usaha ini kecil, namun jika ia mendapat keredaan Allah SWT dan menjadi asbab memperoleh syafaat Rasulullah SAW, maka itulah nilai yang paling besar buat kami," katanya.

Beliau berkata, masyarakat juga digalakkan melihat kehadiran ke Konsert Malam Qolbu sebagai satu bentuk pelaburan untuk akhirat, selain menjadi ruang mengisi jiwa dengan perkara yang membawa manfaat.

"Dalam kehidupan ini, kita sentiasa berusaha dan melabur untuk urusan dunia. Namun, sesekali marilah kita melabur untuk saham akhirat. Mudah-mudahan setiap selawat, doa, ilmu dan peringatan yang diperoleh pada malam tersebut menjadi amal yang berpanjangan serta memberi ganjaran yang berlipat ganda," katanya.

Mengangkat konsep Muzik Islamik Nusantara, konsert itu turut menampilkan beberapa pengisian khas termasuk pembukaan berteraskan sirah Rasulullah SAW, persembahan pantomim dan puisi visual, sebelum tirai acara dilabuhkan dengan alunan selawat yang menghidupkan suasana penuh penghayatan, ukhuwah dan kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Penganjur berharap Konsert Malam Qolbu dapat membuka lembaran baharu dalam penganjuran hiburan Islamik di Malaysia, selain membuktikan program berteraskan dakwah dan kerohanian mampu mendapat tempat dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan usia, termasuk generasi muda.

"Di negara jiran seperti Indonesia, program dan konsert Islamik mendapat sambutan luar biasa sehingga disiarkan secara langsung di televisyen serta meraih jumlah penonton yang tinggi. Kami percaya Malaysia juga mempunyai masyarakat yang dahagakan pengisian seumpama ini.

"Anak muda hari ini bukan sahaja mampu menganjurkan acara hiburan, malah boleh menjadi penggerak kepada program yang membawa manfaat kepada ummah," katanya.

Konsert Malam Qolbu merupakan hasil kolaborasi antara Duyufurrahman Travel & Tours Sdn Bhd dan Aftermusic Project dengan kerjasama strategik daripada Laskar Entertainment.

Bagi Duyufurrahman Travel & Tours, yang sinonim sebagai syarikat perkhidmatan perjalanan umrah dan riadah, penganjuran konsert itu menandakan langkah baharu dalam memperluaskan peranan mereka sebagai agen penyatuan masyarakat menerusi pendekatan dakwah yang lebih segar dan relevan.

Nama Duyufurrahman yang membawa maksud "Tetamu Allah" mencerminkan komitmen syarikat dalam membantu umat Islam melaksanakan ibadah dengan lebih mudah, teratur dan penuh penghayatan. Seiring dengan visi itu, penganjuran Konsert Malam Qolbu dilihat sebagai usaha mendekatkan masyarakat kepada nilai-nilai Islam melalui pendekatan seni yang santai, moden dan menyentuh jiwa.

Syarikat itu turut diperkuatkan dengan barisan tenaga muda berpengalaman dalam bidang haji dan umrah termasuk Mualim Muda Anas, juara program Mualim Muda musim pertama, serta Mualim Muda Ashraf yang juga finalis program berkenaan.

Konsert itu mendapat sokongan ZAYAN sebagai radio rasmi, manakala Gempak dan Salam Musik sebagai rakan media digital. Royal Chulan The Curve pula tampil sebagai penaja hotel rasmi.

Tiket dijual pada harga antara RM250 hingga RM350, termasuk kategori khas pelajar, dan boleh didapati menerusi platform Ticketmelon serta Fantopia.

Sebagai penganjuran sulung, Konsert Malam Qolbu diharap menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif yang menghubungkan masyarakat dengan nilai-nilai Islam melalui pendekatan seni yang mendidik, menyentuh hati dan memperkukuh kecintaan kepada Rasulullah SAW, sekali gus menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih dekat dengan agama dalam kehidupan seharian.

Catat Ulasan

0 Ulasan