Selepas hampir sedekad membawa haluan seni masing-masing, tiga nama yang pernah meninggalkan impak tersendiri dalam arena rock tempatan kembali ditemukan dalam satu naskhah yang bukan sekadar menyatukan suara, tetapi juga pengalaman, perjuangan dan persahabatan yang terjalin sejak bertahun-tahun lalu.
Aepul Roza, Aweera dan Fiq Halim kini membuka lembaran baharu menerusi Trilogi, sebuah projek muzik yang menjadi simbol penyatuan tiga figura dengan latar perjalanan seni yang berbeza namun berkongsi kecintaan yang sama terhadap muzik rock.
Kemunculan semula mereka diperkenalkan secara rasmi menerusi pelancaran muzik video single terbaharu berjudul Gila di Astana Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, sekali gus menandakan bermulanya sebuah perjalanan yang dijangka membawa dimensi baharu kepada landskap muzik rock tanah air.
Lebih menarik, Trilogi bukan lahir sebagai sebuah kolaborasi sementara yang sekadar memenuhi tuntutan pasaran. Sebaliknya, ia hadir dengan visi yang lebih besar, menggabungkan tiga identiti, tiga karakter dan tiga perjalanan seni dalam sebuah gerakan yang dibina atas kepercayaan, persahabatan serta rasa hormat antara satu sama lain.
Menjadi karya pertama yang diterbitkan di bawah label baharu Aepul Roza Music, Gila memperlihatkan sisi yang lebih matang daripada ketiga-tiga penyanyi tersebut. Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Aepul itu tampil dengan pendekatan rockestra yang menggabungkan tenaga muzik rock bersama elemen sinematik yang dramatik, sekali gus memberikan ruang kepada setiap vokalis menyerlahkan kekuatan dan warna suara masing-masing.
Di sebalik susunan muzik yang megah, Gila membawa naratif tentang kehilangan, kekecewaan dan luka emosi yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Ia menjadi gambaran kepada perasaan yang terlalu berat untuk diluahkan, namun terus menghantui ruang hati seseorang yang sedang bergelut dengan kesakitan dan kerinduan.
Bagi Aepul, Trilogi membawa makna yang jauh lebih mendalam daripada sekadar penerbitan sebuah lagu baharu. Di sebalik projek tersebut tersimpan hasrat peribadinya untuk melihat dua sahabat seperjuangan, Aweera dan Fiq Halim kembali berdiri di pentas yang sewajarnya selepas melalui pelbagai fasa dalam perjalanan seni masing-masing.
Keyakinan itu lahir selepas beliau menyaksikan sendiri sambutan luar biasa peminat terhadap kemunculan Fiq ketika Konsert Drama 15 Tahun pada Januari lalu. Momen penonton menyanyikan lagu Tiga Malam Tanpa Bintang beramai-ramai sehingga membuatkan Fiq terdiam menjadi bukti bahawa nama penyanyi itu masih utuh dalam ingatan peminat.
Buat Aepul, Aweera dan Fiq bukan sekadar penyanyi yang memiliki suara hebat, tetapi antara vokalis terbaik yang pernah dilahirkan oleh industri muzik tempatan. Justeru, Trilogi diwujudkan sebagai platform untuk mengembalikan semula perhatian terhadap kredibiliti dan kualiti yang masih mereka miliki.
Perjalanan Trilogi juga tidak akan terhenti setakat pelancaran Gila. Ketiga-tiga mereka kini sedang menyiapkan sebuah mini album yang bakal memuatkan enam karya baharu, termasuk lagu berkumpulan dan projek solo setiap anggota, sekali gus membuktikan komitmen mereka untuk terus berkembang sebagai sebuah entiti muzik yang serius.
Sebagai pelengkap kepada fasa pertama perjalanan tersebut, Trilogi bakal bertemu peminat menerusi sebuah konsert khas yang dijadual berlangsung pada 18 Julai 2026 di Big Pillars Hall, Astana Putra UPM.
Dengan kapasiti sekitar 1,000 penonton, konsert berkenaan dijangka menjadi medan terbaik untuk menyaksikan sendiri penyatuan tiga suara yang pernah mewarnai perjalanan muzik rock tempatan dalam sebuah persembahan yang sarat emosi, nostalgia dan energi.
Lebih daripada sekadar sebuah kemunculan semula, Trilogi adalah bukti bahawa muzik yang lahir daripada persahabatan, pengalaman dan kejujuran masih mampu menemukan jalannya ke hati pendengar. Dan menerusi Gila, Aepul Roza, Aweera dan Fiq Halim seakan memberi peringatan bahawa rock tempatan masih bernyawa, masih relevan dan masih mempunyai cerita yang belum selesai untuk diceritakan.
%202026%20WAJIB%20TONTON%20POSTING%20-%202026-06-16T105348.730.png)





0 Ulasan