Perjalanan lebih empat dekad di dalam industri muzik dan hiburan tempatan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilalui, apatah lagi untuk terus kekal relevan dalam dunia seni yang sentiasa berkembang mengikut peredaran zaman.
Namun, itulah yang berjaya dibuktikan oleh Ratu Rock Negara, Ella yang sehingga hari ini masih berdiri sebagai antara figura paling berpengaruh dalam sejarah muzik tanah air.
Sebagai meraikan perjalanan seni yang penuh warna dan pencapaian gemilang itu, Ella bakal menghiburkan peminat menerusi konsert istimewa Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru yang dijadual berlangsung pada 22 Ogos depan.
Lebih bermakna, konsert berkenaan bakal membawa penyanyi legenda itu pulang ke negeri kelahirannya, Pulau Pinang, dalam sebuah persembahan yang disifatkan sebagai penghargaan kepada peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan seninya selama lebih 40 tahun.
Menariknya, penganjuran konsert tersebut kini menyaksikan perubahan lokasi apabila Setia SPICE Arena dipilih sebagai lokasi baharu menggantikan Stadium Negeri Pulau Pinang di Batu Kawan yang diumumkan sebelum ini.
Keputusan tersebut dibuat selepas pihak penganjur bersama pasukan produksi melakukan penelitian menyeluruh bagi memastikan pengalaman yang lebih selesa, dekat dan imersif dapat dinikmati oleh para penonton.
Bagi Ella, perubahan lokasi itu dilihat sebagai langkah terbaik demi memastikan peminat dapat menikmati persembahan dalam suasana yang lebih kondusif selain mengelakkan sebarang gangguan yang mungkin berlaku akibat faktor cuaca.
“Bila bercakap mengenai konsert, perkara paling penting bagi saya adalah pengalaman yang bakal dirasai penonton. Saya mahu mereka datang dan pulang dengan kenangan yang indah.
“Apabila kami melihat peluang untuk menjadikan persembahan ini lebih baik, saya menyambut baik cadangan tersebut. Pulau Pinang mempunyai tempat yang cukup istimewa dalam perjalanan seni saya dan saya sangat teruja untuk kembali bertemu peminat di sana,” katanya.
Menurut Ella lagi, walaupun sudah berkali-kali menjayakan konsert berskala besar sepanjang kerjayanya, perasaan gementar tetap hadir setiap kali menjelang hari persembahan.
“Saya sentiasa berdebar sebelum konsert. Banyak perkara yang bermain di fikiran seperti persembahan, tahap kesihatan, pakaian, solekan dan keseluruhan perjalanan acara.
“Tetapi dalam masa sama, perasaan itu menjadikan saya lebih fokus dan kreatif untuk memastikan setiap persembahan mempunyai keistimewaan tersendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ella turut mengakui suaminya, Kapten Azhar Ghazali menjadi individu yang banyak memberikan sokongan dan pandangan sepanjang proses persiapan konsert berkenaan.
Katanya, kehadiran suami di sisi bukan sahaja menjadi sumber kekuatan, malah banyak membantu dalam aspek idea dan perancangan bagi memastikan persembahan yang bakal dipentaskan mencapai standard yang diharapkan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Hitman Group, Rohit Rampal berkata, keputusan memindahkan lokasi konsert ke Setia SPICE Arena dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk keselesaan penonton, keperluan teknikal produksi serta maklum balas yang diterima daripada peminat.
“Konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan biasa, sebaliknya satu penghargaan kepada perjalanan seni Ella yang telah mewarnai industri muzik negara selama puluhan tahun.
“Kami mahu memastikan pengalaman yang diterima peminat benar-benar sepadan dengan status Ella sebagai ikon muzik tanah air. Selepas meneliti pelbagai aspek, kami percaya Setia SPICE Arena adalah lokasi paling sesuai untuk merealisasikan visi tersebut,” katanya.
Menurut Rohit, lokasi baharu itu menawarkan susun atur yang lebih dekat dengan pentas, sistem akustik yang lebih terkawal serta suasana persembahan yang mampu memberikan pengalaman lebih eksklusif kepada penonton.
Lebih istimewa, arena berkenaan turut mempunyai nilai sentimental tersendiri apabila pernah menjadi lokasi konsert besar Ella yang berjaya menghimpunkan ribuan peminat suatu ketika dahulu.
Selain meraikan ulang tahun ke-60 Ella, konsert Homecoming Edisi 60 Permata Biru turut menjanjikan pelbagai momen menarik menerusi penampilan artis jemputan istimewa iaitu Datuk Ramli Sarip dan Ziana Zain.
Pemilihan kedua-dua nama besar itu dilihat cukup signifikan memandangkan mereka mempunyai hubungan tersendiri dengan perjalanan seni Ella sepanjang bergelar anak seni.
Bagi menghidupkan lagi suasana malam konsert, para peminat turut digalakkan tampil mengikut tema rasmi “90's Glam Rock: Battle of The Bands” yang diinspirasikan daripada era kegemilangan muzik rock tempatan sekitar dekad 1990-an.
Melalui tema tersebut, peminat boleh menggayakan penampilan berinspirasikan glam rock menerusi jaket kulit, denim, but dan pelbagai elemen fesyen yang sinonim dengan imej ikonik Ella ketika era kegemilangannya bersama Ella & The Boys.
Dalam masa sama, penganjuran konsert berkenaan turut membawa mesej kemanusiaan menerusi kempen Peace, Love & Rindu apabila sebahagian hasil jualan tiket akan disalurkan kepada badan kebajikan terpilih.
Dengan gabungan elemen nostalgia, persembahan bertaraf premium serta kepulangan istimewa seorang legenda ke negeri kelahirannya, Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru dijangka menjadi antara konsert paling dinantikan tahun ini.
Lebih daripada sekadar sebuah persembahan muzik, ia merupakan sebuah perjalanan pulang yang bakal menyatukan kenangan lama dan mencipta memori baharu antara Ella dan peminat yang setia bersamanya sejak dahulu hingga kini.








0 Ulasan