Lebih tiga dekad selepas pemergiannya, nama Allahyarham Dato' Sudirman Arshad masih kekal terpahat sebagai antara figura paling berpengaruh dalam sejarah muzik tanah air. Lagu-lagunya terus diputarkan, persembahannya masih menjadi rujukan dan pengaruhnya tetap dirasai merentasi generasi.
Membuktikan bahawa karya seorang legenda tidak pernah luput ditelan zaman, EMI Music Malaysia di bawah naungan Universal Music Malaysia hari ini menyerahkan royalti berjumlah RM367,305.19 kepada ahli keluarga Allahyarham menerusi Sudirman Asset Management.
Majlis yang berlangsung di Odeon, Kuala Lumpur itu bukan sekadar simbol penghargaan terhadap jasa besar Penghibur Rakyat tersebut, malah mencerminkan komitmen berterusan syarikat rakaman itu dalam memastikan karya-karya yang ditinggalkan terus dipelihara, diurus dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Royalti berkenaan disampaikan oleh Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim kepada wakil keluarga Allahyarham yang juga anak saudaranya, Razman Azrai Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Atai.
Sebagai antara artis rakaman paling berpengaruh yang pernah dilahirkan negara, karya-karya Allahyarham Sudirman sebelum ini diterbitkan di bawah EMI Records yang kini menjadi sebahagian daripada Universal Music Group. Justeru, EMI Music Malaysia terus memainkan peranan penting dalam menguruskan katalog muzik beliau termasuk aspek pendigitalan, pemulihan audio, penerbitan semula karya-karya ikonik serta peluang pelesenan bagi memastikan legasi seninya terus berkembang dalam era digital.
Menurut Kim, proses penyelarasan royalti tersebut mengambil masa hampir dua tahun berikutan semakan terhadap pelbagai kontrak lama, hak pemilikan katalog muzik serta proses audit yang melibatkan beberapa pihak.
Katanya, ketika Allahyarham masih bersama EMI Records, terdapat beberapa karya yang turut diedarkan menerusi syarikat rakaman lain, sekali gus memerlukan penelitian menyeluruh bagi memastikan segala urusan berkaitan royalti dapat diselesaikan dengan telus dan tepat.
"Allahyarham Dato' Sudirman Hj. Arshad merupakan ikon seni yang telah membentuk landskap muzik Malaysia dan meninggalkan khazanah budaya yang amat bernilai.
"Sebagai pemegang katalog karya beliau, menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan hak royalti terus disalurkan kepada keluarga di samping memelihara serta memperkenalkan semula muzik beliau kepada generasi baharu.
"Kami mahu karya-karya Sudirman terus didengari, dihargai dan kekal relevan merentasi zaman. Legasi beliau bukan sekadar milik industri muzik, tetapi juga sebahagian daripada warisan budaya negara," katanya.
Dalam masa sama, Kim menjelaskan Universal Music Malaysia turut memperkenalkan perjanjian baharu yang lebih relevan dengan perkembangan industri muzik semasa memandangkan kontrak asal Allahyarham telah tamat tempoh.
Perjanjian tersebut merangkumi pelbagai aspek termasuk pengurusan royalti digital, penggunaan karya menerusi platform penstriman serta peluang komersial baharu yang mampu memperluaskan lagi jangkauan muzik Allahyarham kepada khalayak moden.
Beliau turut berkongsi bahawa EMI Music Malaysia sedang merancang pelbagai inisiatif bagi memperkenalkan semula karya-karya Sudirman kepada generasi muda termasuk menerusi kempen digital, penggubahan semula audio ke format terkini, peluang pelesenan kreatif dalam filem, drama dan kandungan digital serta kerjasama bersama bakat-bakat muda.
Sementara itu, Atai menyifatkan penyerahan royalti tersebut sebagai satu penghargaan bermakna terhadap hasil usaha dan karya yang ditinggalkan Allahyarham.
"Kami amat menghargai usaha EMI yang terus menguruskan karya-karya Allahyarham dengan baik dan memastikan hak royalti disalurkan kepada keluarga. Ini membuktikan bahawa legasi beliau masih terus dihargai dan mendapat tempat di hati masyarakat," katanya.
Menurut Atai, keputusan keluarga untuk bekerjasama dengan Universal Music Malaysia dibuat selepas meneliti secara menyeluruh hala tuju serta perancangan yang dibentangkan syarikat tersebut dalam memastikan legasi seni Allahyarham terus berkembang.
"Proses ini mengambil masa agak lama kerana ia melibatkan perbincangan bersama waris, peguam dan beberapa pihak berkaitan. Namun selepas melihat visi yang dikemukakan, kami percaya kerjasama ini adalah langkah terbaik untuk masa depan karya-karya Allahyarham," katanya.
Tambah beliau, sokongan berterusan rakyat Malaysia terhadap Allahyarham merupakan sesuatu yang amat bermakna buat keluarga.
"Walaupun sudah sekian lama beliau meninggalkan kita, kasih sayang masyarakat terhadap Allahyarham masih begitu kuat. Karya-karya beliau bukan sahaja membawa nostalgia kepada mereka yang membesar dengan lagu-lagunya, malah membuka peluang kepada generasi muda untuk mengenali sejarah, budaya dan identiti Malaysia dengan lebih mendalam," ujarnya.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkenalkan legasi Allahyarham kepada generasi muda, majlis tersebut turut menampilkan program Bintang Uni-verse Pencarian Sudirman 2.0 yang menghimpunkan penyertaan daripada lima institusi pengajian tinggi awam.
Program itu memberi peluang kepada bakat-bakat muda untuk menghayati dan mempersembahkan semula karya-karya Allahyarham dalam pendekatan yang lebih segar dan relevan dengan citarasa semasa.
Turut hadir memeriahkan acara ialah Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, bekas Pengerusi FINAS Datuk Kamil Othman, Pengarah Kanan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng, penulis lirik tersohor Datuk Habsah Hassan serta pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi.
Aznil yang turut berkongsi pandangan mengenai pengaruh besar Allahyarham Sudirman terhadap dunia seni tanah air menyifatkan legenda tersebut sebagai antara figura yang banyak memberi inspirasi kepada generasi penggiat seni hari ini.
"Walaupun saya tidak mengenali Allahyarham secara peribadi, saya merupakan peminat tegar beliau sejak dahulu. Banyak nilai kerja yang saya amalkan hari ini adalah hasil daripada pemerhatian terhadap disiplin, kreativiti dan dedikasi beliau.
"Acara penghargaan legasi seperti ini sangat penting agar bakat dan kerja keras Allahyarham dapat terus menjadi kompas kepada generasi baharu," katanya.
Majlis turut diserikan dengan persembahan khas daripada seorang busker dan pencipta kandungan digital yang terkenal kerana memiliki suara yang menyerupai Allahyarham Sudirman, membawakan beberapa lagu ikonik yang pernah menjadi siulan rakyat Malaysia.
Dalam perkembangan lain, keluarga Allahyarham turut berkongsi perkembangan terkini mengenai usaha penerbitan filem biopik yang mengangkat kisah kehidupan dan perjalanan seni Dato' Sudirman Arshad. Projek tersebut kini berada di peringkat pembangunan awal dengan sokongan FINAS, khususnya dalam aspek pembangunan skrip.
Penyerahan royalti bernilai RM367,305.19 ini bukan sekadar penghargaan terhadap sebuah katalog muzik yang masih bernilai tinggi, malah menjadi bukti bahawa legasi Allahyarham Dato' Sudirman Arshad terus hidup dan dihargai. Biarpun figura itu telah lama meninggalkan pentas dunia, karya-karyanya masih bergema, menyatukan generasi lama dan baharu serta kekal menjadi sebahagian daripada khazanah seni yang membanggakan negara.
%202026%20WAJIB%20TONTON%20POSTING%20(2).png)
.png)
.png)


.png)
.png)

0 Ulasan