SPIDER RAIKAN TIGA DEKAD PERJALANAN SENI

Selepas lebih tiga dekad mewarnai industri muzik tanah air, kumpulan Spider bakal mencipta satu lagi sejarah dalam perjalanan seni mereka menerusi penganjuran konsert berskala besar, Spideraya, yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 26 September depan.

Bukan sekadar sebuah konsert, Spideraya diangkat sebagai simbol penghargaan terhadap sokongan peminat yang tidak pernah berbelah bahagi sejak kemunculan Spider menerusi album Ngam Ho pada 1998 sehingga karya terakhir mereka, Ankabut, yang diterbitkan pada 2016.

Dianjurkan oleh B7 Resources Sdn. Bhd., Spideraya bakal menyatukan perjalanan lebih 30 tahun kumpulan yang dianggotai Tam, Aie, Iss dan Pown menerusi sebuah persembahan yang menggabungkan nostalgia, evolusi muzik serta penghargaan buat peminat daripada pelbagai generasi.

Wakil penganjur, Khairul Afizi, berkata pihaknya tidak memerlukan alasan yang lebih besar untuk menganjurkan Spideraya selain melihat kekuatan jenama Spider yang kekal relevan sehingga hari ini.

"Spider merupakan antara kugiran legenda negara yang memiliki katalog lagu malar segar. Walaupun hampir sedekad tidak tampil dengan album baharu, lagu-lagu mereka masih terus menjadi siulan peminat.

"Daripada generasi milenial hinggalah Gen Z, ramai yang membesar dengan lagu seperti Aladin, Relaku Pujuk, Mungkinkah Terjadi, Nazraku dan Kita Satu. Sebab itu kami percaya Spider layak diraikan menerusi sebuah konsert berskala besar seperti Spideraya," katanya pada sidang media pengumuman konsert itu.

Menurut Khairul, nama Spideraya dipilih bagi melambangkan sebuah 'perayaan' yang meraikan keseluruhan perjalanan seni Spider bersama peminat sepanjang lebih tiga dekad berada dalam industri muzik tempatan.

Sementara itu, vokalis Spider, Tam, berkata keputusan untuk menjayakan Spideraya dibuat selepas melihat visi dan misi yang dibawa penganjur, yang menurutnya selari dengan hasrat kumpulan itu untuk terus menghasilkan persembahan berkualiti serta meninggalkan impak kepada industri hiburan.

"Spider sentiasa serius dalam setiap perkara yang kami lakukan. Kami bukan sekadar mahu menghiburkan penonton, tetapi mahu menghasilkan sebuah persembahan yang mampu meninggalkan kenangan dan menjadi sebahagian daripada sejarah industri muzik negara.

"Spideraya bukan sekadar konsert, sebaliknya sebuah perayaan yang kami harap akan dikenang oleh semua yang hadir," katanya.

Sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang terus setia bersama mereka, Spider bakal mempersembahkan 30 buah lagu sepanjang hampir tiga jam persembahan, merangkumi himpunan karya popular sepanjang perjalanan seni mereka.

"Saya rasa sekarang adalah masa kami. Selama ini kami tidak banyak mengadakan konsert berskala besar. Dua tahun kebelakangan ini kami kembali aktif dan inilah peluang terbaik untuk meraikan peminat yang sentiasa berada di belakang kami.

"Konsert ulang tahun ini memang khas untuk peminat," katanya.

Dalam perkembangan sama, Tam turut mengakui sehingga kini beliau masih berdepan rasa gementar apabila perlu berinteraksi dengan penonton ketika membuat persembahan.

Katanya, beliau lebih selesa menyampaikan lagu berbanding berbicara panjang di atas pentas, malah masih berpegang kepada nasihat yang pernah diberikan maestro muzik, Dato' M. Nasir, ketika awal pembabitannya sebagai penyanyi.

"Saya pernah bertanya kepada Dato' M. Nasir bagaimana hendak bercakap di hadapan penonton. Beliau berpesan, kalau tidak pandai bercakap, jangan bercakap, nyanyi sahaja.

"Itulah nasihat yang saya pegang sampai sekarang. Tetapi melalui beberapa konsert sebelum ini, saya cuba belajar bercakap sedikit demi sedikit. Saya takut penonton bosan atau tersalah cakap sehingga menyinggung perasaan orang," katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan kemunculan artis jemputan pada Spideraya, Tam berkata Spider berhasrat menampilkan beberapa rakan seperjuangan yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan seni mereka.

"Kalau ikutkan, kami memang mahu menjemput Dato' M. Nasir kerana beliau antara individu yang banyak memberi inspirasi kepada kami. Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada kesesuaian jadual. Kalau tidak berkesempatan, mungkin kami akan gantikan dengan nyanyian daripada peminat sendiri," katanya berseloroh.

Spideraya akan berlangsung pada 26 September 2026, bermula jam 8.30 malam di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Lebih menarik, sebagai penghargaan kepada peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seni Spider selama tiga dekad, 1,000 pembeli tiket terawal bermula 26 Jun ini akan menerima t-shirt eksklusif edisi terhad Spider, yang diterbitkan khas sempena meraikan ulang tahun ke-30 perjalanan seni kumpulan itu dalam industri muzik tanah air.

Tiket konsert dijual mengikut enam kategori iaitu KITA SATU (RM148), ALADIN (RM158), NGAM HO (RM168), ANKABUT (RM208), BINTANG 12 (RM238) dan NAZRAKU (RM268).

Catat Ulasan

0 Ulasan