Jika generasi hari ini lebih cenderung kepada muzik pop, R&B, rock dan metal, namun bagi komposer, penerbit muzik serta anggota kumpulan Devotees, Halim Ahmad, muzik nasyid dan kerohanian terus menjadi pertaruhannya menerusi pelancaran album terbaharu, Walimatul Urus.
Halim berkata, beliau tidak pernah meletakkan batas terhadap penerokaan genre muzik lain. Malah, jika diberikan peluang untuk menyanyikan karya berirama selain nasyid, beliau terbuka menerimanya selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip, adab dan batas yang perlu dijaga sebagai seorang lelaki Muslim.
Bagaimanapun, kecintaannya terhadap muzik berteraskan nilai Islam mendorong beliau menghasilkan Walimatul Urus, sebuah album yang bukan sekadar menghiburkan, malah membawa mesej keberkatan dan ketenangan buat pendengarnya.
Hadir sebagai pakej lengkap untuk majlis pernikahan dan persandingan, Walimatul Urus menghimpunkan sembilan trek yang menggabungkan doa, selawat serta lagu-lagu bertemakan perkahwinan bagi mewujudkan suasana lebih harmoni, elegan dan sarat dengan nilai kerohanian.
Tidak seperti kebanyakan album komersial di pasaran, karya ini disusun mengikut perjalanan sesebuah majlis, bermula daripada ketibaan pasangan pengantin, perarakan masuk ke pelamin, bacaan doa, sesi santapan hinggalah kepada acara bersama keluarga dan tetamu.
Daripada sembilan trek yang dimuatkan, tiga merupakan bacaan doa dengan iringan piano yang lembut dan mendamaikan, manakala sebuah lagi ialah trek selawat yang membawa mesej keberkatan dalam membina sebuah rumah tangga.
Lima trek selebihnya pula tampil sebagai lagu penuh dengan susunan muzik yang pelbagai bagi mengiringi setiap segmen majlis tanpa menghilangkan elemen sopan dan nilai Islam yang menjadi teras penghasilannya.
Menurut Halim, idea menghasilkan album itu tercetus daripada keperluan menyediakan pilihan muzik yang lebih sesuai untuk majlis perkahwinan Islamik, selain memenuhi permintaan pasangan pengantin, perancang acara dan pengendali majlis yang mahukan kandungan muzik berkualiti serta bertepatan dengan suasana.
Pelancaran Walimatul Urus turut memperlihatkan usaha Halim mengisi ruang yang masih kurang diterokai dalam industri muzik tempatan, khususnya dalam penghasilan album bertemakan perkahwinan yang menampilkan gabungan hiburan, doa dan kerohanian dalam satu pakej lengkap.
Bukan nama asing dalam dunia nasyid, Halim mula dikenali menerusi kumpulan Devotees yang mencipta nama pada awal tahun 2000-an ketika muzik nasyid kontemporari mula berkembang dengan suntikan elemen pop dan susunan muzik yang lebih moden.
Pengalaman luas sebagai penyanyi, komposer, penerbit muzik dan pakar susunan vokal dimanfaatkan sepenuhnya dalam pembikinan album ini, sekali gus memastikan setiap trek mempunyai identiti tersendiri serta sesuai dengan perjalanan sesebuah majlis.
Selain aktif menghasilkan karya, Halim turut mengukuhkan pengaruhnya di platform digital apabila rakaman selawat, zikir dan karya akustik terbitannya meraih jutaan tontonan di YouTube, membuktikan muzik kerohanian masih mempunyai tempat dalam kalangan pendengar masa kini.
Album Walimatul Urus kini boleh distrim menerusi semua platform digital utama dan dijangka menjadi pilihan bukan sahaja pasangan bakal pengantin, malah syarikat perancang perkahwinan, hotel, dewan acara serta deejay yang memerlukan koleksi muzik sesuai sepanjang majlis berlangsung.
%202026%20WAJIB%20TONTON%20POSTING%20-%202026-06-26T175219.474.png)

0 Ulasan