Kesemua 11 peserta Big Stage X Rocketfuel menarik nafas lega apabila tiada penyingkiran diumumkan pada konsert minggu pertama yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam Ahad.
Bagaimanapun, tumpuan terarah kepada Qilo yang muncul peserta terbaik selepas mengungguli kedudukan keseluruhan menerusi persembahan lagu If I Ain't Got You nyanyian asal Alicia Keys.
Sementara itu, Aliff Kimiey, Sufie Rose dan Sabrina berada dalam kelompok tiga peserta dengan markah terendah selepas masing-masing mempersembahkan lagu Di Balik Petanda, Pulang dan Canggung.
Konsert pembukaan musim baharu itu turut merungkai teka-teki mengenai identiti peserta terakhir apabila naib juara Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), Hussain, diumumkan secara rasmi sebagai peserta ke-12 pertandingan berkenaan.
Kemunculan Hussain melengkapkan senarai 11 peserta yang bakal bersaing merebut gelaran juara musim ini bersama Qilo, Sufie Rose, Filo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-Z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina serta duo Adam dan Nazmie.
Hussain membuat penampilan sulung dengan membawakan lagu Lelaki Ini nyanyian asal Anuar Zain sebelum menerima sorakan gemuruh daripada penonton yang memenuhi auditorium.
Selain pengumuman peserta baharu, malam berkenaan turut menyaksikan Azeva, yang menduduki tempat keempat Talk To My Manager musim kedua, diperkenalkan sebagai hos baharu bergandingan dengan Nabil Ahmad bagi mengendalikan segmen Buzz Big Stage.
Kesemua persembahan peserta diadili tiga juri tetap iaitu Hael Husaini, Aisha Retno dan Akim Ahmad, yang akan terus menilai saingan peserta sepanjang musim ini.
Big Stage X Rocketfuel bersiaran secara langsung setiap Ahad, jam 9 malam menerusi Astro Ria dan turut boleh distrim menerusi Astro GO.




0 Ulasan