Tidak semua album mampu bertahan merentasi zaman. Lebih sukar apabila album itu lahir ketika sebuah kumpulan sedang melalui perubahan besar sehingga mengundang pelbagai persepsi dalam kalangan peminat.
Namun, bagi penyanyi rock legenda, Mus, album Biru Mata Hitamku bukan sekadar koleksi lagu yang diterbitkan pada 1996. Sebaliknya, karya itu menjadi saksi kepada satu fasa paling mencabar dalam perjalanan seninya apabila buat pertama kali bergelar vokalis Wings bersama JoBranko, Black dan Eddie.
Selepas hampir tiga dekad, album yang pernah membuka lembaran baharu buat kumpulan rock legenda itu terus menjadi antara karya yang paling dekat di hati peminat, sekali gus bakal diraikan menerusi konsert Biru Mata Hitamku – 30 Tahun Anniversary pada 5 September depan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Mengimbau kembali detik menyertai Wings, Mus mengakui beliau tidak pernah menyangka album yang dihasilkan bersama JoBranko, Black dan Eddie itu masih terus diperkatakan sehingga hari ini.
"Kalau ditanya sama ada saya pernah membayangkan album ini akan diraikan selepas 30 tahun, jawapannya memang tidak pernah terlintas. Ketika itu kami hanya mahu menghasilkan muzik yang terbaik dan ikhlas untuk peminat.
"Alhamdulillah, selepas tiga dekad, lagu-lagu dalam album ini masih dimainkan dan masih ada peminat yang mengingatinya. Sebagai anak seni, itu satu penghargaan yang sangat besar," katanya kepada Wajib Tonton.
Menurut Mus, menyertai Wings ketika itu bukan tugas yang mudah kerana kumpulan tersebut sudah mempunyai identiti yang cukup kukuh serta kelompok peminat yang begitu setia.
Namun, beliau memilih untuk tidak memikirkan soal perbandingan, sebaliknya memberi fokus sepenuhnya terhadap tanggungjawab yang dipikul.
"Saya tidak pernah masuk ke dalam Wings dengan niat untuk menggantikan sesiapa. Saya hanya mahu menjadi Mus dan memberikan apa yang saya mampu kepada kumpulan ini.
"Sudah tentu ada tekanan kerana peminat mempunyai harapan yang tinggi. Tetapi saya percaya, kalau kita jujur dalam berkarya, lambat-laun orang akan menerima hasil kerja kita," katanya.
Menurutnya lagi, kejayaan album Biru Mata Hitamku membuktikan sesebuah kumpulan mampu terus melangkah sekiranya memiliki karya yang berkualiti.
Katanya, sehingga kini beliau masih menerima permintaan daripada peminat untuk menyampaikan lagu-lagu seperti Enigma, Jika Kau Tahu, Makam Kekasih dan lagu judul album itu setiap kali membuat persembahan.
"Itulah yang membuatkan saya rasa terharu. Lagu-lagu ini masih hidup bersama peminat. Mereka bukan sahaja mengingati Biru Mata Hitamku, malah lagu-lagu lain dalam album ini juga terus menjadi pilihan mereka," katanya.
Berkongsi mengenai konsert yang bakal berlangsung September ini, Mus berkata persembahan tersebut mempunyai makna yang cukup istimewa kerana menghimpunkan semula beliau bersama JoBranko, Black dan Eddie selepas sekian lama.
Jelasnya, peluang kembali berdiri di atas satu pentas bersama rakan seperjuangan yang pernah berkongsi sejarah menghasilkan album berkenaan pastinya membangkitkan pelbagai kenangan.
"Setiap kali kami berkumpul, banyak memori lama yang kembali. Kami pernah melalui pelbagai cabaran bersama dan saya rasa peminat juga mahu melihat semula keserasian itu.
"Saya harap mereka datang bukan sekadar untuk menonton konsert, tetapi untuk sama-sama meraikan satu perjalanan seni yang cukup bermakna buat kami," katanya.
Mus berkata, sokongan berterusan daripada peminat menjadi faktor utama mengapa album Biru Mata Hitamku masih kekal relevan selepas 30 tahun.
Beliau menyifatkan konsert ulang tahun itu sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang tidak pernah berhenti mempercayai karya-karya yang dihasilkan sepanjang era tersebut.
"Tanpa peminat, mungkin album ini hanya tinggal kenangan. Tetapi kerana mereka terus mendengar, menyanyikan dan menghargai lagu-lagu ini, ia terus hidup sehingga hari ini.
"Insya-Allah kami akan memberikan persembahan terbaik sebagai hadiah kepada semua yang setia bersama kami sejak dahulu," katanya.
Album Biru Mata Hitamku pernah mencipta sejarah apabila memenangi kategori Kulit Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 1996 (AIM '96), selain lagu judulnya mara sebagai finalis Anugerah Juara Lagu.
Konsert Biru Mata Hitamku – 30 Tahun Anniversary anjuran Icon Entertainment akan berlangsung pada 5 September 2026, jam 8.30 malam di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Tiket berharga antara RM258 hingga RM1,500 akan mula dijual pada 3 Julai, bermula jam 3 petang menerusi Ticket2U.
Bagi Mus, ulang tahun ke-30 Biru Mata Hitamku bukan sekadar meraikan sebuah album, tetapi menghidupkan semula sebuah perjalanan yang pernah membuktikan bahawa sesebuah karya yang lahir daripada keikhlasan akan terus menemukan jalannya ke hati peminat, walau masa terus berlalu.
%202026%20WAJIB%20TONTON%20POSTING%20-%202026-06-30T125706.279.png)






0 Ulasan