ASTRO, DISNEY+ PERKUKUH KERJASAMA

Astro memperkukuh kerjasama strategiknya bersama Disney+ menerusi inisiatif yang membuka lebih banyak pilihan hiburan kepada rakyat Malaysia dengan menggabungkan kandungan antarabangsa dan karya tempatan dalam satu ekosistem yang lebih menyeluruh.

Kerjasama yang diperluaskan itu menyaksikan lebih banyak filem, siri dan kandungan asli Disney+ ditawarkan menerusi platform Astro termasuk Astro TV, Astro GO dan NJOI, sekali gus memudahkan pelanggan mengakses pelbagai judul popular dari seluruh dunia.

Pada masa sama, Disney+ turut memperluaskan koleksi kandungan tempatan menerusi penawaran pelbagai karya terbitan Astro yang akan mula dipaparkan di platform penstriman berkenaan, sekali gus memberi peluang kepada produksi Malaysia menembusi kelompok penonton yang lebih luas.

Menerusi kerjasama itu, pelanggan Astro dan NJOI kini boleh menikmati pelbagai judul terkenal daripada Disney+ termasuk Pirates of the Caribbean, Kingsman: The Secret Service, The Incredible Hulk, Maleficent, Brave dan Monsters University. Turut ditawarkan ialah siri popular seperti Buffy the Vampire Slayer, Scrubs dan New Girl.

Dalam masa sama, Disney+ akan memperkayakan pilihan kandungan tempatan menerusi pelbagai genre termasuk drama, aksi, seram, realiti dan program kanak-kanak. Antara karya yang bakal ditawarkan ialah Zombi Kampung Pisang, Polis Evo 1 dan 2, Ola Bola, Khun:Sa – Che Khun Che Nisa, Takdir Itu Milik Aku, Syurga Itu Bukan Mudah, Travelawak: Projek Bapak Bapak serta animasi popular Didi & Friends.

Ketua Pegawai Kandungan Astro, Agnes Rozario berkata, kerjasama yang diperkukuhkan itu selari dengan perubahan corak tontonan pengguna yang kini lebih mengutamakan pengalaman hiburan merentas platform.

"Kerjasama ini menggabungkan kandungan global Disney+ dengan karya tempatan Astro yang dekat di hati rakyat Malaysia. Pada masa sama, ia membuka peluang lebih luas kepada kandungan tempatan seperti Didi & Friends, Polis Evo dan Travelawak: Projek Bapak Bapak, selain produksi asli Astro yang lain untuk dipersembahkan bersama katalog hiburan antarabangsa Disney+.

"Usaha ini bukan sahaja menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan, malah memberikan pengalaman hiburan yang lebih mudah dan lancar dalam satu ekosistem," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden dan Pengarah Urusan Singapura, Malaysia, Taiwan dan Hong Kong, The Walt Disney Company, Mark Chan berkata, penceritaan sentiasa menjadi tunjang utama syarikat itu dalam menghasilkan kandungan berkualiti.

"Melalui kerjasama bersama Astro, kami teruja dapat membawa kisah-kisah global yang diminati ramai kepada lebih ramai penonton di Malaysia, di samping memperkukuh penawaran kandungan tempatan di Disney+.

"Kami percaya kerjasama ini akan membuka ruang kepada penonton menikmati pelbagai bentuk penceritaan menarik sama ada daripada seluruh dunia mahupun karya yang dihasilkan di negara sendiri," katanya.

Pelanggan Astro kini boleh melanggan Disney+ sebagai tambahan menerusi aplikasi atau laman web My Astro pada harga bermula RM18.30 sebulan.

Bagi pelanggan Movies Pack dan Pek Epic Astro One, akses kepada Disney+ disediakan tanpa sebarang caj tambahan, manakala pelanggan yang mahu menikmati lebih banyak kandungan Bahasa Inggeris boleh melanggan Pek Blockbuster pada harga RM9.99 sebulan yang turut menawarkan empat saluran baharu iaitu Astro Showtime, Astro FAM Time, Rock Action dan Rock X Stream.

Astro turut meneruskan penawaran Pek Astro One yang bermula pada harga RM49.99 sebulan, sekali gus memberikan pelanggan akses kepada pelbagai kandungan hiburan, penstriman dan perkhidmatan dalam satu pakej.

Catat Ulasan

0 Ulasan