Selepas lebih dua dekad menjadi antara francais drama kepolisan paling berpengaruh di Malaysia, Gerak Khas akhirnya kembali menghangatkan industri televisyen tempatan. Lima tahun selepas melabuhkan tirai menerusi Gerak Khas: The Finale pada 2021, siri yang pernah mencipta fenomena itu kini dihidupkan semula menerusi Gerak Khas 2.0 dengan wajah lebih moden, skala produksi yang lebih besar serta jalan cerita yang mengikuti evolusi jenayah masa kini.
Kemunculan semula drama terbitan Skop Productions dengan kerjasama Sarawak Media Group (SMG) itu bukan sekadar mengubat kerinduan peminat setia, malah membuka lembaran baharu kepada sebuah karya yang pernah menjadi simbol drama kepolisan tempatan selama lebih 20 tahun.
Di sebalik keterujaan mengembalikan francais lagenda itu, pengarah dan penerbit tersohor Datuk Dr. Yusof Haslam bagaimanapun menepis tanggapan segelintir pihak yang mendakwa peluang menerbitkan semula Gerak Khas diperoleh kerana mempunyai 'kabel' dengan pihak tertentu.
Sebaliknya, beliau menegaskan kepercayaan yang diberikan TV Sarawak (TVS) lahir daripada rekod kerja, pengalaman lebih empat dekad dalam industri kreatif serta komitmen yang konsisten dalam menghasilkan karya berkualiti.
"Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada saya. Ada yang menganggap saya ada kabel untuk sambung buat Gerak Khas, tetapi hakikatnya tidak.
"Alhamdulillah, semuanya berlaku atas rezeki. Menteri sudah banyak bertukar, Perdana Menteri pun sudah beberapa kali bertukar," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana dan sidang media Gerak Khas 2.0 di TGV Suria KLCC.
Mengimbas kembali detik menerima tawaran itu, Yusof mengakui pada mulanya beliau berbelah bahagi sama ada mahu menghidupkan semula siri yang sudah menutup tirainya lima tahun lalu.
Namun selepas berbincang dengan isterinya, beliau akhirnya yakin untuk kembali menggalas tanggungjawab tersebut kerana menganggap Gerak Khas bukan sekadar sebuah drama, sebaliknya sebahagian daripada perjalanan hidup dan kerjaya seninya.
"Saya memang serba salah pada mulanya sama ada hendak buat atau tidak. Bila saya tanya pendapat isteri, dia kata saya masih larat.
"Gerak Khas adalah semangat perjuangan saya. Dunia kepolisan dan cerita seperti ini sudah begitu dekat dengan diri saya," katanya.
Dilancarkan pada 1999, Gerak Khas mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya bertahan selama 20 musim dengan keseluruhan 1,054 episod, sekali gus melakar nama dalam Malaysia Book of Records sebagai drama waktu perdana paling lama bersiaran di negara ini.
Kini, selari dengan perubahan landskap jenayah global, Gerak Khas 2.0 tampil lebih relevan apabila mengetengahkan ancaman jenayah berteknologi tinggi termasuk serangan siber, penggodaman sistem komunikasi negara dan konspirasi sindiket antarabangsa.
Kali ini, penonton dibawa mengikuti misi berprofil tinggi yang diketuai DCP Datuk Helmi lakonan Yusof Haslam bersama Inspektor Anding (Anding Indrawani) dan Unit Gerak Khas bagi membanteras rangkaian jenayah terancang.
Apa yang bermula sebagai operasi membanteras sindiket dadah bertukar menjadi ancaman keselamatan negara apabila mereka berdepan serangan siber misteri yang melumpuhkan sistem komunikasi nasional.
Siasatan mereka akhirnya membawa kepada kewujudan organisasi jenayah berteknologi tinggi dikenali sebagai Black Hydra, selain membongkar kehilangan seorang pakar komunikasi negara yang menyimpan pelbagai rahsia penting.
Di sebalik aksi, tembak-menembak dan operasi berisiko tinggi, siri itu turut menyelitkan konflik kemanusiaan apabila Inspektor Anding bergelut untuk menyelamatkan adiknya, Erina, daripada dipergunakan sindiket jenayah, sekali gus menjadikan jalan ceritanya lebih emosional dan dekat dengan penonton.
Selain mengekalkan beberapa wajah yang sinonim dengan francais berkenaan seperti Dato' Hans Isaac, Erra Fazira, SAC (B) Datuk Shaharon Anuar, Deen Maidin, Salina Saibi dan Tisha Shamsir, Gerak Khas 2.0 turut memberi ruang kepada barisan pelakon generasi baharu termasuk Nabiha Aimi, Emily Elizabeth, Afiq Muiz, Fezrul Khan, Zen Ng, Meynillen Thamil Selvan serta anak kelahiran Sarawak, Marzella Sigai.
Antara yang mencuri perhatian ialah kemunculan semula Erra Fazira dan Dato' Hans Isaac yang kembali berkongsi layar selepas hampir dua dekad.
Menurut Erra, kali terakhir mereka berlakon bersama adalah menerusi filem Cuci yang ditayangkan pada 2008.
"Saya terkejut apabila nampak nama Hans dalam senarai pelakon. Saya ingatkan dia sudah terlalu sibuk dengan dunia politik, tetapi akhirnya dia sahut juga cabaran ini. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan kami kekal profesional sepanjang penggambaran," katanya.
Hans pula mengakui tidak mengetahui Erra turut membintangi drama itu sehingga hari pertama mereka berada di lokasi penggambaran.
"Saya sampai di lokasi dan terus nampak Erra. Saya sempat bergurau dengannya sebelum kami ketawa bersama.
"Bekerja semula dengannya tiada masalah. Kami saling menghormati kehidupan masing-masing dan apabila selesai penggambaran, masing-masing kembali kepada kehidupan peribadi," katanya.
Untuk rekod, kedua-dua selebriti itu pernah dikaitkan mempunyai hubungan istimewa sekitar 2006 sebelum membawa haluan sendiri.
Meskipun begitu, Erra dan Hans mengakui mereka sentiasa bersikap profesional di lokasi penggambaran dan tidak menolak sekiranya diberi peluang untuk kembali bergandingan dalam mana-mana naskhah pada masa hadapan.
Menariknya, Gerak Khas 2.0 turut mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya menjadikan Sarawak sebagai antara lokasi utama penceritaan, sekali gus memberikan dimensi visual yang lebih segar kepada francais tersebut.
Dengan gabungan elemen nostalgia, teknologi moden, aksi yang lebih sinematik serta barisan pelakon lama dan baharu, Gerak Khas 2.0 dilihat bukan sekadar menghidupkan semula sebuah drama ikonik, sebaliknya membawa legasi Gerak Khas memasuki era baharu yang lebih segar dan relevan untuk dinikmati generasi penonton hari ini.
Menggabungkan legasi yang telah dibina selama lebih dua dekad dengan pendekatan penceritaan yang lebih segar dan kontemporari, Gerak Khas 2.0 bersedia membuka lembaran baharu buat francais ikonik itu. Siri berkenaan akan mula bersiaran pada 3 Julai ini, setiap Jumaat, jam 8.30 malam, secara eksklusif di TVS (Saluran 122 di MYTV, Astro dan Unifi TV) serta menerusi aplikasi TVS Inspire.






0 Ulasan