THE KERIS HIDUPKAN SEMULA LEGASI HANG TUAH

Ketika kebanyakan penerbit memilih kisah komersial sebagai taruhan, Dr. Matheyalagan Thilagavathy mengambil pendekatan berbeza apabila mempertaruhkan The Keris, sebuah filem yang lahir daripada hasrat menghidupkan semula sejarah Hang Tuah dan warisan persilatan Melayu agar terus dikenali generasi masa kini.

Menggabungkan elemen sejarah, aksi, persilatan dan drama, The Keris bukan sekadar tampil sebagai sebuah filem hiburan, malah membawa misi memperkenalkan semula identiti budaya Melayu menerusi kisah yang diolah dalam latar moden tanpa mengabaikan nilai warisan bangsa.

Menurut Dr. Matheyalagan, idea menghasilkan filem itu tercetus selepas beliau melihat semakin ramai generasi muda kurang mengenali tokoh legenda Melayu seperti Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya.

"Saya mendapati hikayat Hang Tuah yang suatu ketika dahulu begitu dekat dengan masyarakat semakin dilupakan. Malah, ada segelintir anak muda hari ini tidak lagi mengenali Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya.

"Daripada situ timbul idea untuk menghasilkan The Keris sebagai usaha membangkitkan semula sejarah lama serta seni persilatan yang wajar diwarisi oleh generasi akan datang," katanya.

Mengangkat kisah pemburuan Keris Tempa Melaka, filem itu mengisahkan seorang ketua mafia dari luar negara yang sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki keris milik Hang Tuah yang dipercayai mempunyai keistimewaan tersendiri dan disimpan oleh seorang individu yang menjadi penjaganya.

Apa yang membezakan The Keris daripada filem lain ialah pendekatan penceritaannya yang menggabungkan dua latar masa berbeza, iaitu era kegemilangan Hang Tuah dan dunia moden.

Selain menampilkan aksi persilatan tradisional, filem itu turut menggabungkan seni bela diri moden serta pelbagai babak lagak ngeri yang menjadi tunjang kepada perjalanan cerita.

Lebih membanggakan, Dr. Matheyalagan berkata, pembikinan filem itu dibiayai sepenuhnya menggunakan dana sendiri tanpa menerima sebarang pembiayaan daripada pihak luar termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Walaupun berbangsa India, beliau menganggap usaha menghasilkan filem bertemakan budaya Melayu sebagai satu tanggungjawab dalam menghargai warisan negara yang dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia.

"Saya membesar bersama rakan-rakan Melayu. Saya makan, minum dan tinggal bersama mereka di kampung. Pengalaman itu menjadikan saya begitu dekat dengan budaya Melayu.

"Sebagai rakyat Malaysia, saya berasa bangga dapat menghasilkan sebuah karya yang mengangkat budaya serta semangat pahlawan Melayu yang cukup bersejarah," katanya.

Sementara itu, pengarah Viknes Perrabu mengakui The Keris membuka lembaran baharu dalam perjalanan kerjayanya selepas lebih 15 tahun berkecimpung dalam industri filem Tamil.

Katanya, kekuatan skrip serta jalan cerita yang menggabungkan sejarah, budaya dan identiti bangsa menjadi faktor utama beliau menerima tawaran mengarahkan filem berkenaan.

"Apabila membaca skrip, saya melihat ia mempunyai potensi yang besar. Kami menjalankan penyelidikan secara mendalam mengenai sejarah keris, adat Melayu serta pelbagai istilah tradisi bagi memastikan setiap elemen dipersembahkan dengan sebaik mungkin," katanya.

Menurut Viknes, filem itu turut mengolah semula legenda pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat dalam latar kehidupan moden sebagai usaha memberi nafas baharu kepada kisah warisan Melayu supaya lebih dekat dengan penonton hari ini.

Beliau berkata, pembangunan skrip dilakukan secara menyeluruh dengan penglibatan Datuk Zulkiflie M. Osman, termasuk menjalankan pelbagai kajian bagi memastikan keseimbangan antara fakta sejarah dan elemen hiburan dapat diterjemahkan dengan baik.

Mengulas cabaran sepanjang penggambaran, Viknes berkata, faktor bahasa menjadi antara perkara yang perlu disesuaikan memandangkan beliau lebih sinonim bekerja dalam industri filem Tamil.

"Selama ini saya lebih banyak memberi arahan dalam bahasa Tamil. Jadi apabila mengarahkan filem Melayu, komunikasi sedikit mencabar terutama ketika memberi penerangan kepada pasukan produksi dan pelakon.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana mendapat kerjasama yang sangat baik daripada pelakon berpengalaman seperti Datuk Jalaluddin Hassan dan Raja Azrey yang banyak membantu melancarkan proses penggambaran," katanya.

Menampilkan barisan pelakon seperti Syazlie Syazz, Julia Larica, Firdaus Luthuffi, Zainal Isa, Nik Ramly, Raja Azrey, Dnesh Murugan, Datuk Jalaluddin Hassan serta pelakon Nigeria, Abbey Abimbola, filem itu turut menyaksikan kemunculan istimewa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menerusi penampilan cameo.

Ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak semalam, The Keris membawa harapan besar untuk mengembalikan kegemilangan kisah kepahlawanan Melayu ke layar perak, sekali gus memastikan legasi Hang Tuah, seni persilatan dan warisan budaya terus hidup dalam ingatan generasi akan datang.

Catat Ulasan

0 Ulasan