M.NASIR CIPTA MAGIS

Selepas hampir lima dekad mewarnai industri muzik tanah air, Dato' M. Nasir sekali lagi membuktikan bahawa karya seorang maestro tidak pernah luput ditelan zaman. Sebaliknya, lagu-lagu ciptaannya terus merentasi generasi, kekal segar dan dekat di hati peminat tanpa mengira usia.

Konsert DATO' M.N47IR CIPTA 4 yang berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada malam Sabtu bertepatan dengan ulang tahun kelahiran beliau yang ke-69, menjadi sebuah malam penuh makna apabila menghimpunkan hampir 13,000 peminat untuk meraikan legasi seni yang telah dibina selama 47 tahun.

Sebaik sahaja lampu arena dipadamkan, sorakan penonton bergema menyambut kemunculan Dato' M. Nasir yang membuka tirai persembahan menerusi Ekspres Rakyat, disusuli Hati Emas, Perjuangan dan Aku Dah Bosan, sekali gus menyemarakkan suasana sejak minit pertama konsert.

Perjalanan muzik malam itu turut membawa penonton mengimbau pelbagai karya malar segar menerusi segmen medley yang menampilkan Sentuhan Kecundang, Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara, Azura dan Milik Siapakah Gadis Ini. Pemilihan lagu-lagu tersebut memperlihatkan keluasan pengaruh Dato' M. Nasir sebagai komposer yang berjaya mencipta karya untuk pelbagai genre serta penyanyi, namun tetap mengekalkan identiti tersendiri.

Diiringi barisan pemuzik berpengalaman di bawah pimpinan pengarah muzik Aznan Alias, setiap lagu diberikan suntikan susunan muzik baharu yang lebih segar tanpa menghilangkan roh dan keaslian karya asal.

Antara detik yang paling mencuri perhatian ialah kemunculan spontan Dato' Sri Siti Nurhaliza. Hadir sebagai tetamu di arena, beliau memenuhi permintaan penonton untuk bersama-sama Dato' M. Nasir di atas pentas mendendangkan Bagaikan Sakti. Gandingan dua figura besar muzik tanah air itu nyata mengundang sorakan gemuruh dan menjadi antara momen paling diingati sepanjang konsert.

Aura nostalgia diteruskan apabila Dato' Awie tampil bergandingan bersama Dato' M. Nasir menerusi Ghazal Untuk Rabiah, sebelum penyanyi rock legenda itu mengambil alih pentas dengan persembahan solo Istana Menanti yang disambut penuh semangat oleh penonton.

Konsert turut menyaksikan penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw, menghangatkan pentas menerusi duet Suatu Masa dan Fantasia Bulan Madu, sekali gus membuktikan karya Dato' M. Nasir bukan sahaja terus dihargai di Malaysia, malah turut merentasi sempadan Nusantara.

Dalam suasana yang penuh penghargaan, persembahan dihentikan seketika bagi meraikan ulang tahun kelahiran Dato' M. Nasir. Pulut kuning dibawa ke pentas sebelum rakan-rakan artis bersama hampir 13,000 penonton menyanyikan lagu Allah Selamatkan Kamu, mencipta sebuah momen yang cukup menyentuh hati buat insan yang diraikan.

Keterujaan penonton bagaimanapun belum berakhir apabila Dato' M. Nasir sekali lagi membuat kejutan dengan menjemput Ziana Zain ke pentas bagi mendendangkan Halaman Asmara. Kemunculan diva tersebut melengkapkan himpunan nama-nama besar industri muzik yang bersama-sama meraikan perjalanan seni seorang legenda.

Menjelang penghujung persembahan, Unifi Arena berubah menjadi lautan suara apabila ribuan penonton bangun menyanyikan setiap lagu bersama Dato' M. Nasir menerusi deretan karya ikonik seperti Kembara, Apokalips dan Raikan Cinta, mewujudkan suasana yang cukup emosional.

Kemuncak konsert diteruskan lagi menerusi Mentera Semerah Padi apabila Dato' M. Nasir meninggalkan pentas untuk berada lebih dekat dengan para peminat. Beliau bukan sahaja menghulurkan tangan dan menyanyi bersama mereka, malah mencipta momen yang memperlihatkan keakraban luar biasa antara seorang legenda dengan pencinta karya-karyanya.

Lebih tiga jam berlangsung, konsert itu bukan sekadar menyaksikan deretan lagu malar segar dipersembahkan, tetapi menjadi sebuah perjalanan emosi yang menghimpunkan kenangan, nostalgia dan penghargaan terhadap legasi seni Dato' M. Nasir yang terus mekar merentasi zaman.

Catat Ulasan

0 Ulasan