Walaupun empat dekad berlalu, kredibiliti penyanyi Dato' Aishah dalam industri muzik tidak pernah pudar. Kehebatannya menguasai pelbagai genre lagu membuktikan anak jati Jempol, Negeri Sembilan itu bukan sekadar memiliki suara yang luar biasa, malah dianugerahkan karisma dan keampuhan vokal yang terus meletakkan namanya sebagai antara figura paling disegani dalam persada muzik Nusantara.
Dalam dunia hiburan yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman, Aishah kekal berdiri teguh dengan identitinya sendiri. Selepas 40 tahun mewarnai industri muzik, aura, kredibiliti dan pengaruhnya masih utuh, manakala karya-karya yang dilahirkan terus merentas generasi, menghubungkan kenangan lama dengan jiwa pendengar hari ini.
Atas penghargaan terhadap perjalanan seni yang cukup panjang itu, Vox Nation Live mempersembahkan konsert Aishah 40 Chapters of Love di Megastar Arena, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Berlangsung selama hampir tiga jam, konsert berkenaan bukan sekadar meraikan himpunan lagu malar segar yang pernah mewarnai perjalanan karier Aishah, sebaliknya menjadi sebuah penghormatan terhadap legasi seni seorang penyanyi yang banyak mencorakkan landskap muzik tanah air.
Lebih bermakna, ribuan peminat dari seluruh negara hadir bagi meraikan perjalanan seni penyanyi itu. Walaupun dipentaskan di sebuah arena berskala besar, suasananya tetap terasa intim apabila hampir setiap lagu dinyanyikan bersama penonton, menggambarkan ikatan yang begitu utuh antara Aishah dan mereka yang setia mengiringi perjalanan seninya sejak dahulu.
Berteraskan konsep penceritaan melalui muzik, setiap segmen persembahan disusun bagai membuka helaian demi helaian sebuah buku kehidupan, membawa penonton mengimbau perjalanan Aishah daripada awal kemunculannya sehingga dikenali sebagai antara penyanyi wanita paling berpengaruh di negara ini.
Tirai persembahan dibuka dengan medley Camar Yang Pulang, Tiada Duka, Never Gave Up On You dan Jari-Jariku Sakit Semua yang pantas membangkitkan sorakan penonton. Momentum itu diteruskan menerusi Kau Sahabat, Kekasih & Teman, Kasih Kita dan Kau Yang Teristimewa, mengembalikan nostalgia terhadap lagu-lagu yang pernah menjadi latar kepada kehidupan ramai peminat.
Konsert kemudian beralih kepada segmen yang memperlihatkan kecintaan Aishah terhadap warisan budaya menerusi medley Tari Silat Melayu, Lambaian Nogori dan Bahtera Merdeka. Beliau seterusnya memukau penonton dengan Fatwa Pujangga sebelum menyentuh emosi hadirin menerusi Di Mana Ku Cari Ganti, Ayah dan Syurga Di Telapak Kaki Ibu, yang menerima tepukan gemuruh sebaik sahaja lagu berakhir.
Suasana terus memuncak apabila Aishah mempersembahkan Bayangan dan You've Got A Friend sebelum pentas diserikan dengan kemunculan istimewa Ara Johari menerusi duet Kemaafan Dendam Yang Terindah. Ara kemudian tampil meneruskan persembahan solo dengan lagu Menjaga Jodoh Orang Lain, sekali gus menyuntik warna baharu kepada keseluruhan konsert.
Memasuki babak seterusnya, penonton dihiburkan dengan medley Melukut Di Tepi Gantang dan Wajah, disusuli Di Antara Cinta & Kasih serta Wanita. Keampuhan vokal Aishah sekali lagi menyerlah ketika membawakan One Moment In Time sebelum meneruskan persembahan dengan medley Sensation, Call Me, I Feel Love dan Don't Let Me Fall Alone, yang membuktikan beliau masih memiliki kemampuan vokal luar biasa meskipun telah empat dekad berkarya.
Saat Aishah mengalunkan Janji Manismu, karya yang mengukir sejarah sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-5, seluruh ruang Megastar Arena seolah-olah disatukan dalam satu rasa. Ribuan penonton mengiringi setiap bait lirik tanpa perlu dipelawa, menjadikan dewan bergema dengan suara, nostalgia dan penghargaan terhadap sebuah karya yang kekal hidup merentasi zaman. Detik itu bukan sahaja menjadi kemuncak persembahan, malah melambangkan eratnya hubungan antara seorang legenda dengan peminat yang tidak pernah berhenti menghargai perjalanan seninya.
Sorakan yang bergema seusai lagu berakhir seolah-olah belum bersedia mengucapkan selamat tinggal kepada malam yang cukup bermakna itu. Aishah kemudian kembali ke pentas untuk menghadiahkan dua persembahan terakhir menerusi Pulanglah dan Setitis Cahaya Di Aidilfitri, sekali gus menutup tirai konsert dengan penuh emosi dan meninggalkan kenangan yang akan terus terpahat di hati para peminat.
Keseluruhan persembahan diperkukuhkan dengan sentuhan Pengarah Muzik Sharon Paul yang berjaya memberikan nafas baharu kepada setiap karya tanpa mengorbankan identiti asalnya. Susunan muzik yang segar, dinamik dan penuh karakter melengkapkan sebuah persembahan yang bukan sahaja menghiburkan, malah meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa setiap yang hadir.
Sebagai penghargaan kepada peminat yang setia bersama sepanjang empat dekad perjalanan seninya, Vox Nation Live turut memperkenalkan vinyl edisi terhad yang menghimpunkan beberapa lagu popular Aishah sebagai koleksi eksklusif buat pencinta muzik dan pengumpul karya fizikal.
Mengulas mengenai konsert itu, Aishah menyifatkan malam berkenaan sebagai antara detik paling bermakna sepanjang bergelar anak seni.
"Empat puluh tahun adalah satu perjalanan yang panjang, penuh suka, duka dan kenangan yang membentuk diri saya sebagai seorang anak seni. Melihat begitu ramai peminat yang masih bersama saya hingga hari ini benar-benar menyentuh hati.
"Saya amat bersyukur dapat berkongsi malam yang begitu indah bersama mereka. Setiap tepukan, setiap nyanyian dan setiap senyuman yang saya lihat malam ini akan saya simpan sebagai kenangan paling berharga. Terima kasih kerana terus menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup dan muzik saya," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, Shawn Chang berkata, penganjuran Aishah 40 Chapters of Love bukan sekadar menganjurkan sebuah konsert, sebaliknya menjadi penghormatan terhadap legasi seorang legenda yang telah banyak mencorakkan landskap muzik Malaysia.
Beliau berkata, sambutan luar biasa yang diberikan peminat membuktikan nama Aishah terus terpahat dalam hati pencinta muzik, manakala karya-karyanya akan terus hidup, dikenang dan diraikan oleh generasi hari ini serta masa hadapan.
%202026%20WAJIB%20TONTON%20POSTING%20-%202026-07-06T183207.758.png)


0 Ulasan