DARI 'SAYAP' KE 'HUJUNG INDAH', UMAIRAH TERUS TERBANG TINGGI

Setelah setahun muncul dengan single Sayap, penyanyi muda berbakat besar, Umairah kini kembali mempertaruhkan Hujung Indah, sebuah karya balada yang mengetengahkan kematangan vokal dan emosinya menerusi ciptaan komposer muda yang semakin meningkat naik, Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh.

Lebih membanggakan, Hujung Indah turut dipilih sebagai lagu tema drama bersiri Viu, Bidadari Tanpa Syurga, yang mula ditayangkan sejak 11 Jun lalu. Dibintangi Dato' Aaron Aziz, Nadiya Nisaa, Syad Mutalib dan Lorenzo Irmann, drama itu turut mencuri perhatian apabila menemukan semula gandingan Aaron dan Nadiya selepas 14 tahun sejak fenomena Adam & Hawa.

Bagi Umairah atau nama sebenarnya Ummi Umairah Saiful Anuar, 15, peluang menggalas tanggungjawab mendendangkan lagu tema drama berkenaan menjadi satu lagi titik penting dalam perjalanan seninya, apatah lagi karya itu menuntut penghayatan emosi yang lebih mendalam selain memerlukan kawalan vokal yang mantap.

Walaupun mempunyai pertalian saudara dengan Biduanita Negara, Dato' Sri Siti Nurhaliza, Umairah menegaskan hubungan kekeluargaan itu bukan tiket mudah untuknya meraih tempat dalam industri muzik. Sebaliknya, setiap peluang yang hadir perlu dibalas dengan usaha, disiplin dan kerja keras bagi membuktikan kemampuan sendiri sebagai seorang penyanyi.

Katanya, proses menghasilkan Hujung Indah bukan sesuatu yang mudah apabila dia terpaksa memasuki studio rakaman sebanyak tiga kali berikutan masalah kesihatan.

"Rakaman lagu ini agak mencabar. Kali pertama saya tidak sihat, kali kedua keadaan saya bertambah teruk dan hanya pada sesi ketiga barulah semuanya berjalan lancar.

"Pada mulanya, lagu ini menggunakan 'key' yang lebih tinggi. Namun selepas Mak Iti mendengarnya, beliau mencadangkan supaya nadanya diturunkan dan cara nyanyian dilembutkan supaya lebih sesuai dengan usia serta karakter vokal saya," katanya.

Menurut Umairah, dia terus jatuh hati terhadap Hujung Indah sebaik sahaja mendengar versi demonya kerana tertarik dengan kekuatan melodi dan mesej yang ingin disampaikan.

"Melodinya terus meresap ke dalam jiwa. Lagu ini memerlukan kawalan vokal daripada nada rendah hingga tinggi, selain memberi ruang kepada saya menyampaikan emosi menerusi setiap bait lirik," katanya.

Walaupun karya itu berkisar tentang seseorang yang bangkit selepas dikhianati cinta dan dibelenggu janji-janji palsu, Umairah mengakui dia tidak mempunyai pengalaman peribadi untuk dijadikan rujukan kerana masih belum mengenali alam percintaan.

Sebaliknya, penyanyi remaja itu menjadikan adiknya, Amad, sebagai sumber inspirasi utama dalam menghidupkan emosi lagu berkenaan.

"Lagu ini mengingatkan saya kepada Amad. Setiap kali menyanyikannya, saya pasti terbayangkan dirinya.

"Saya melihat sendiri bagaimana dia melalui pelbagai cabaran sejak menyertai program Talk To My Manager. Ada ketika dia hilang keyakinan terhadap diri sendiri dan berasa kecewa dengan apa yang berlaku.

"Sebab itu saya dedikasikan lagu ini buat Amad. Saya mahu dia tahu bahawa apa juga dugaan yang datang, jangan sesekali berputus asa," katanya.

Mengangkat tema ketabahan dan pemerkasaan diri, Hujung Indah membawa mesej bahawa setiap luka bukan noktah kepada sebuah kehidupan, sebaliknya mampu menjadi titik permulaan untuk seseorang bangkit dengan lebih kuat dan berani menghadapi masa depan.

Dalam perkembangan lain, Umairah turut berkongsi keterujaannya apabila bakal tampil dengan album mini sulung yang disifatkannya sebagai pencapaian terbesar sepanjang bergelar penyanyi.

Katanya, album itu akan memuatkan tujuh lagu termasuk beberapa versi dalam bahasa Mandarin, selain menampilkan variasi genre yang lebih luas berbanding karya-karya terdahulunya.

"Saya benar-benar terkejut apabila Mak Iti memaklumkan mahu menghasilkan album mini untuk saya. Pada mulanya saya rasa ia terlalu awal, tetapi saya percaya ini adalah rezeki dan penghargaan terhadap segala usaha yang saya lakukan sejak kecil.

"Beberapa lagu sudah selesai dirakam. Saya harap album ini dapat memperkenalkan sisi baharu Umairah kepada peminat," katanya.

Dalam masa sama, Umairah turut menyimpan impian untuk melihat Hujung Indah melangkah lebih jauh sehingga berjaya menempatkan diri di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL), sekali gus menjadi penanda aras baharu dalam kerjayanya.

Menyedari dirinya sering dibandingkan dengan penyanyi lain, termasuk ibu saudaranya sendiri, Umairah memilih untuk menerima perkara itu secara positif.

"Sejak kecil saya sudah biasa dibandingkan dengan ibu saudara saya. Bagi saya, setiap penyanyi mempunyai identiti dan kelebihan tersendiri.

"Saya tidak boleh mengawal apa yang diperkatakan orang. Apa yang mampu saya lakukan ialah terus belajar, memperbaiki diri dan memberikan yang terbaik dalam setiap lagu yang saya nyanyikan," katanya.

Hujung Indah terbitan SN Legacy Sdn. Bhd. dan diedarkan Universal Music Malaysia kini boleh distrim di semua platform penstriman digital. Dengan kematangan yang semakin terserlah, selain peluang menggalas lagu tema drama berskala besar dan kemunculan album mini sulung dalam masa terdekat, Umairah dilihat semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai antara bakat muda paling menyerlah yang bakal mewarnai landskap muzik tempatan pada masa hadapan.

Catat Ulasan

0 Ulasan