SABHI SADHI KEMBALI DENGAN 'ROMANSA'

Selepas mencipta fenomena menerusi lagu Cinta Sesungguhnya, penyanyi kelahiran Sabah, Sabhi Sadhi kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan single baharu berjudul Romansa, sebuah karya romantik yang mengangkat nilai cinta, kesetiaan dan pengorbanan.

Sabhi berkata, kemunculan Romansa bukanlah sesuatu yang dirancang dalam tempoh singkat, sebaliknya melalui proses pemilihan karya yang teliti bagi memastikan setiap lagu yang diterbitkan benar-benar mencerminkan identiti seninya.

"Saya memang seorang yang sangat memilih lagu. Saya mengambil masa mencari komposer, penulis lirik dan karya yang benar-benar sesuai dengan diri saya.

"Sebab itu saya jarang muncul dengan beberapa lagu dalam tahun yang sama. Kebiasaannya saya mengambil masa antara dua hingga tiga tahun sebelum tampil dengan karya baharu," katanya.

Menurut Sabhi, beliau turut menitikberatkan mesej yang ingin disampaikan menerusi setiap lagu kerana percaya muzik mempunyai pengaruh besar terhadap emosi dan pemikiran pendengar.

"Saya mahu setiap karya memberi impak positif. Walaupun lagu itu berkisar tentang kekecewaan atau percintaan, saya pastikan mesejnya tidak terlalu negatif sehingga boleh mempengaruhi pendengar membuat keputusan yang tidak baik," katanya.

Penyanyi itu mengakui kejayaan Cinta Sesungguhnya meletakkan harapan tinggi terhadap setiap karya yang bakal diterbitkan selepas ini.

"Saya sentiasa memikirkan lagu yang mampu menandingi atau sekurang-kurangnya menyamai impak Cinta Sesungguhnya. Saya tidak membandingkan karya saya dengan orang lain, tetapi mahu menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada karya saya sendiri," katanya.

Mengulas tanggapan segelintir pihak yang menggelarnya sebagai penyanyi lagu perkahwinan, Sabhi berkata beliau tidak pernah melihat label itu sebagai sesuatu yang negatif.

"Saya tidak kisah orang nak kata apa. Yang penting saya menerima banyak jemputan membuat persembahan di majlis perkahwinan.

"Kalau ada pasangan memilih lagu saya untuk mengiringi hari bahagia mereka, itu satu rezeki dan penghargaan yang sangat bermakna," katanya.

Bagi menghasilkan Romansa, Sabhi bergandingan dengan komposer Farouk Roman dan penulis lirik Senna, yang menurutnya mempunyai hala tuju muzik yang seiring.

"Hasil kerjasama ini menjadi lebih mudah kerana kami berkongsi visi yang sama untuk menghasilkan karya berkualiti dan mampu menyentuh hati pendengar.

"Saya juga banyak berbincang mengenai konsep lagu ini. Saya mahukan elemen keceriaan, kebahagiaan dan mesej positif, malah menjadikan Cinta Sesungguhnya sebagai antara rujukan untuk mendapatkan 'mood' yang diinginkan," katanya.

Dari segi penceritaan, Romansa mengisahkan perjalanan cinta sepasang kekasih yang diuji pelbagai dugaan sebelum kembali bersatu.

"Melodinya sangat romantis dan liriknya indah. Lagu ini menceritakan perjalanan dua insan yang berdepan pelbagai cabaran sebelum akhirnya dipertemukan semula," katanya.

Menurut Sabhi, walaupun konsep Romansa mempunyai persamaan dengan Cinta Sesungguhnya, karya terbaharu itu lebih memfokuskan perjalanan sebuah hubungan berbanding tema perkahwinan.

Single berkenaan dirakamkan di SIFI Records pada 2023 dan proses rakaman berjalan lancar tanpa berdepan cabaran besar.

Farouk mahu sentuh emosi pendengar
Cabaran arah muzik video

Sementara itu, Farouk Roman berkata idea menghasilkan Romansa tercetus daripada keinginan menghasilkan karya yang dekat dengan realiti kehidupan, khususnya mengenai penghargaan terhadap insan tersayang.

"Tema cinta dan kehilangan sangat dekat dengan kehidupan masyarakat. Saya percaya karya yang lahir daripada emosi yang jujur lebih mudah menyentuh hati pendengar," katanya.

Farouk berkata inspirasi lagu itu turut dipengaruhi pengalaman peribadi serta pemerhatian terhadap kisah kehidupan sekeliling.

"Mesej utama lagu ini ialah menghargai cinta dan setiap momen bersama seseorang sebelum semuanya berubah. Kadang-kadang kita hanya sedar nilai sesuatu hubungan apabila ia mula menjauh atau hilang," katanya.

Beliau turut menyifatkan Sabhi sebagai penyanyi paling sesuai untuk menyampaikan karya berkenaan kerana berjaya menghidupkan emosi lagu dengan penuh penghayatan.

"Saya meneliti karakter vokalnya sebelum menghasilkan melodi. Sabhi berjaya membawa emosi dan jalan cerita lagu ini dengan sangat baik," katanya.

Selain menyanyikan Romansa, Sabhi turut menggalas tanggungjawab sebagai pengarah muzik video lagu berkenaan.

Beliau mengakui cabaran terbesar adalah membimbing pelakon yang tidak mempunyai pengalaman berlakon di hadapan kamera.

"Saya memilih bakat baharu yang tiada pengalaman berlakon. Jadi saya perlu membimbing mereka daripada segi ekspresi dan emosi, sama ada babak gembira, sedih mahupun bahagia," katanya.

Muzik video Romansa memaparkan perjalanan cinta sepasang kekasih yang berpisah sebelum dipertemukan semula sehingga mendirikan rumah tangga.

Sabhi berharap Romansa mampu mengulangi kejayaan Cinta Sesungguhnya dan terus mendapat tempat di hati pencinta muzik tanah air.

"Saya berharap lagu ini dapat pergi lebih jauh dan mencipta kejayaan seperti Cinta Sesungguhnya. Saya juga mahu pendengar dapat mengaitkan kisah dalam lagu dan muzik video ini dengan pengalaman hidup mereka sendiri kerana cinta sentiasa hadir bersama pengorbanan," katanya.

Diterbitkan AJ Productions, Romansa kini boleh didengari di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.

Catat Ulasan

0 Ulasan