ASTRO X3 DIPERKENAL, PENSTRIMAN LEBIH FLEKSIBEL

Astro terus memperkukuh kedudukannya dalam landskap hiburan digital menerusi pelancaran Astro X3, penawaran penstriman terbaharu yang membolehkan pelanggan menikmati kandungan hiburan dan sukan secara lebih mudah tanpa memerlukan dekoder atau pemasangan.

Direka khas untuk memenuhi keperluan pengguna yang semakin mengutamakan penstriman, Astro X3 turut menawarkan pengalaman tontonan yang lebih fleksibel dengan pilihan langganan tanpa kontrak yang akan diperkenalkan bermula Disember depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan, berkata pelancaran Astro X3 mencerminkan komitmen syarikat untuk terus berinovasi selaras dengan perubahan corak tontonan pengguna yang kini semakin beralih kepada platform digital.

"Melalui Astro X3, pelanggan hanya perlu mendaftar menggunakan telefon pintar sebelum boleh terus menikmati kandungan kegemaran mereka dalam hanya beberapa minit.

"Tanpa dekoder, tanpa pemasangan dan mulai Disember 2026, tanpa kontrak, Astro X3 memberikan pelanggan lebih kebebasan serta fleksibiliti untuk menikmati Astro mengikut keperluan mereka sendiri," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Henry, Astro X3 dibangunkan khusus untuk pelanggan yang mengutamakan penstriman menerusi aplikasi Astro pada televisyen pintar (Smart TV) yang serasi, selain boleh diakses di pelbagai peranti melalui Astro GO bagi memastikan pengalaman tontonan lebih lancar di mana sahaja.

Melalui Astro X3, pelanggan boleh menikmati pelbagai kandungan premium merangkumi drama Astro Originals, program Signature Live serta siaran langsung acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Liga Perdana Inggeris (Premier League), Liga Juara-Juara AFC dan UEFA, Formula 1, MotoGP, Wimbledon serta kejohanan badminton antarabangsa. Penawaran itu turut dilengkapi kandungan hiburan global yang boleh distrim menerusi satu platform yang lebih ringkas dan mudah diakses.

Bermula 20 Julai ini, Astro X3 ditawarkan menerusi dua pakej kontrak selama 12 bulan iaitu Entertainment 12 Pack pada harga RM39.99 sebulan dan Sports 12 Pack yang merangkumi kandungan hiburan pada harga RM89.99 sebulan.

Bagi pelanggan yang mahukan lebih fleksibiliti, Astro akan memperkenalkan pilihan langganan tanpa kontrak mulai Disember 2026, dengan pakej Entertainment pada harga RM59.99 sebulan, manakala Sports pula ditawarkan pada RM109.99 sebulan. Pelanggan juga boleh melanggan, menghentikan sementara atau membatalkan perkhidmatan mengikut keperluan mereka.

Selain menawarkan akses kepada lebih 65 hingga 80 saluran bergantung kepada pakej yang dipilih, Astro X3 turut menyediakan akses kepada Astro GO, beIN SPORTS CONNECT dan Sun NXT Lite bagi pakej tertentu. Platform itu juga menyokong resolusi sehingga 4K UHD serta integrasi dengan pelbagai aplikasi penstriman popular termasuk Disney+, Prime Video, HBO Max, Viu, iQIYI, WeTV, TVBAnywhere+, ZEE5 dan Qalbox by Muslim Pro.

Dalam perkembangan sama, Astro turut mengumumkan barisan kandungan baharu yang bakal menghiburkan penonton menerusi filem Terbang, Kudrat 1968 dan HAK: Tuntut atau Tunduk.

Turut mencuri perhatian ialah pelbagai drama baharu seperti Bulan Henti Bicara, Sumpahan Mencintai, Love of My Life, Jutawan Ekspres 2, Premier League: I Love You, WOLONG: The Mastermind, Maara dan Marmadesam yang bakal mengisi platform berkenaan.

Astro pada masa sama meneruskan komitmennya memperkasa industri hiburan tempatan menerusi penerbitan pelbagai program siaran langsung seperti Big Stage Rocketfuel, Astro Star Quest 2026 – The Next Wave, Astro Classic Golden Melody Singing Competition 2026 dan Kilauan Emas Selebriti, sekali gus menawarkan pilihan kandungan yang lebih pelbagai kepada rakyat Malaysia.

Dengan pengenalan Astro X3, syarikat media dan hiburan itu dilihat terus menyesuaikan penawarannya dengan perubahan landskap hiburan digital, selain memberikan lebih kebebasan kepada pelanggan untuk menikmati kandungan mengikut gaya hidup dan keperluan mereka.

Catat Ulasan

0 Ulasan