Selepas mencipta nama menerusi program realiti popular Indonesia, Indonesian Idol musim ke-13, dan tampil dengan beberapa single yang mendapat perhatian, penyanyi Fajar Noor kini melangkah ke fasa baharu dalam kerjaya seninya apabila mempertaruhkan album sulung berjudul Sementara, Selamanya.
Disifatkan sebagai karya paling peribadi pernah dihasilkannya, album itu mengangkat perjalanan emosi sebuah hubungan cinta yang bermula dengan kebahagiaan, berdepan konflik, kehilangan, patah hati dan akhirnya meninggalkan harapan yang masih berbaki.
Menurut Fajar, setiap lagu dalam album berkenaan lahir daripada pengalaman serta emosi yang pernah dilaluinya sendiri, sekali gus menjadikan Sementara, Selamanya sebagai naskhah yang paling dekat dengan dirinya.
"Cabaran terbesar adalah untuk jujur dengan diri sendiri. Banyak lagu dalam album ini datang daripada pengalaman dan emosi yang sangat dekat dengan saya. Saya harap setiap lagu bukan sahaja mewakili kisah saya, tetapi juga dapat dirasai oleh sesiapa yang pernah melalui fasa cinta, kehilangan dan penyesalan," katanya.
Mengangkat konsep cycle of love, album itu membawa pendengar menyusuri pelbagai fasa dalam sesebuah hubungan, daripada detik pertama jatuh cinta, saat hubungan mula diuji, episod perpisahan, sehinggalah kepada perasaan yang masih terpendam walaupun kisah tersebut sudah berakhir.
Bagi merealisasikan konsep itu, Fajar bergandingan dengan penerbit Arsy Widianto dan Iqbal Siregar dalam menghasilkan susunan muzik pop balada moden yang tampil ringkas, namun sarat dengan emosi.
Gabungan melodi yang kuat bersama aransemen yang kemas menyerlahkan kematangan Fajar sebagai penyanyi dan pencerita, sekali gus menjadikan setiap lagu mudah dihayati oleh pendengar yang pernah melalui pengalaman serupa.
Dalam perkembangan sama, Fajar turut mengumumkan bakal mengadakan siri promosi album sulungnya di Malaysia, sekali gus memenuhi hasrat peminat tempatan yang sekian lama mengikuti perjalanan seninya.
Pengumuman itu dibuat ketika sesi temu bual secara langsung bersama ERA Sabah, ERA Sarawak dan Gempak, yang turut mendedahkan perancangannya mengadakan persembahan khas bagi memperkenalkan lagu-lagu daripada Sementara, Selamanya kepada peminat di negara ini.
"Terima kasih kepada semua peminat di Malaysia yang sentiasa menyokong muzik saya. Saya sangat teruja untuk akhirnya bertemu kalian buat kali pertama. Saya harap persembahan album secara langsung ini akan menjadi momen yang istimewa buat kita semua dan saya tidak sabar membawakan lagu-lagu daripada album ini secara langsung serta berkongsi pengalaman itu bersama kalian," katanya.
Maklumat lanjut mengenai tarikh, lokasi dan butiran persembahan berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat menerusi saluran media sosial rasmi Fajar Noor serta Universal Music Malaysia.
Album Sementara, Selamanya kini boleh distrim di semua platform penstriman digital dan diharapkan menjadi teman kepada pendengar dalam setiap fasa kehidupan, selain membawa mesej bahawa setiap pengakhiran sentiasa membuka ruang kepada sebuah permulaan yang baharu.
%202026%20WAJIB%20TONTON%20POSTING%20-%202026-07-13T114434.736.png)




0 Ulasan