BIOPIK SUDIRMAN SASAR TEMUI PENONTON 2028

Lebih empat dekad selepas mencipta fenomena dalam dunia hiburan, nama Allahyarham Dato'  Sudirman Haji Arshad terus terpahat sebagai antara ikon seni paling berpengaruh negara. Kini, legasi penghibur yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa itu bakal dihidupkan semula menerusi sebuah filem biopik yang dijadual menemui penonton seawal 2028.

Lebih istimewa, penerbitan filem berkenaan bukan sekadar mengangkat perjalanan hidup Sudirman, sebaliknya membawa misi lebih besar iaitu mengembalikan semula kegemilangan industri muzik Malaysia yang pernah mencuri perhatian dunia pada era 1980-an.


Anak saudara Allahyarham, Razman Azrai Zainuddin atau Atai, berkata filem itu diharap menjadi medium memperkenalkan semula budaya, semangat perpaduan dan identiti rakyat Malaysia kepada generasi muda melalui kisah kehidupan figura seni yang disifatkannya tiada galang ganti.

"Kami bukan hanya mahu menghasilkan sebuah filem mengenai Sudirman, tetapi mengimbau semula zaman kegemilangan muzik negara yang pernah mendapat pengiktirafan antarabangsa.

"Kami mahu generasi hari ini menghayati bagaimana muzik pernah menjadi wadah menyatukan rakyat pelbagai kaum, selain mengangkat nama Malaysia hingga dikenali di persada antarabangsa," katanya ketika ditemui pada Majlis Penghargaan Legasi Dato' Sudirman Arshad, di sini, baru-baru ini.

Menurut Atai, idea menghasilkan filem biopik itu mula dicetuskan kira-kira lima tahun lalu dan kini memasuki fasa pembangunan awal dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), khususnya dalam pembangunan skrip.

Beliau berkata, beberapa nama pengarah berpotensi sudah dikenal pasti, manakala usaha mendapatkan rakan kerjasama strategik serta dana penerbitan sedang giat dijalankan.

Malah, sesi uji bakat turut akan diadakan bagi mencari bakat baharu yang benar-benar mampu menghidupkan semula karakter penghibur legenda berkenaan di layar perak.

Dalam perkembangan sama, keluarga Allahyarham menerima khabar menggembirakan apabila berjaya memperoleh bayaran royalti melebihi RM360,000 daripada EMI Music Malaysia yang kini berada di bawah naungan Universal Music Malaysia.

Menurut Atai, pembayaran itu membabitkan hasil karya Allahyarham sejak era 1970-an berdasarkan hak cipta serta perjanjian rakaman yang dimeterai ketika beliau masih aktif berkarya.

Katanya, proses tuntutan royalti berkenaan mengambil masa hampir dua tahun kerana membabitkan audit akaun, semakan dokumen serta perbincangan antara waris, peguam keluarga dan syarikat rakaman bagi memastikan segala urusan dilakukan secara telus.

"Sebelum ini agak sukar untuk menguruskan royalti kerana tiada sistem pentadbiran yang diwujudkan selepas pemergian Allahyarham.

"Selepas segala urusan kewangan terdahulu diselesaikan oleh adik-beradik beliau, kami menubuhkan Sudirman Asset Management pada 2015 bagi menyelaras semua urusan berkaitan legasi Sudirman, termasuk penggunaan imej, karya serta hak harta intelek beliau," katanya.

Beliau berkata, penubuhan entiti itu bukan sahaja memudahkan pengurusan royalti, malah menjadi pusat rujukan rasmi bagi mana-mana pihak yang ingin mendapatkan kebenaran menggunakan karya atau identiti Allahyarham pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, penyelarasan pembayaran royalti berkenaan bukanlah proses yang mudah memandangkan beberapa kontrak lama ketika Allahyarham masih bersama EMI Music Malaysia memerlukan penelitian secara terperinci.

Katanya, proses audit dan semakan penyata royalti mengambil masa hampir dua tahun sebelum segala urusan dapat dimuktamadkan.

"Penyerahan royalti ini bukan sekadar memenuhi tanggungjawab kami kepada waris, malah menjadi penghargaan terhadap sumbangan besar Allahyarham Sudirman yang banyak membentuk landskap muzik Malaysia," katanya.

Menurut Kim, susulan tamatnya kontrak lama, Universal Music Malaysia turut memeterai perjanjian baharu bersama keluarga Allahyarham yang merangkumi usaha pendigitalan katalog lagu, pemulihan rakaman audio, penerbitan semula karya ikonik termasuk dalam format piring hitam serta pembayaran royalti digital secara lebih menyeluruh.

Beliau berkata, syarikat itu juga sedang merancang pelbagai inisiatif komersial bagi memperkenalkan semula karya Sudirman kepada generasi muda menerusi platform penstriman digital, kempen promosi dan penghasilan barangan cenderamata rasmi.

Sebagai sebahagian daripada usaha berkenaan, Universal Music Malaysia bersama Sudi Production turut memperkenalkan program Bintang Uni-verse Pencarian Sudirman 2.0 yang bakal menjelajah lima universiti awam terpilih bagi mencari bakat baharu dalam bidang nyanyian dan lakonan.

Jelas Kim, program itu bukan bertujuan mencari individu yang mampu menggantikan Sudirman, sebaliknya melahirkan generasi pelapis yang mendapat inspirasi daripada seni dan perjuangan beliau.

"Kami tidak mencari replika Sudirman kerana beliau tidak mungkin dapat digantikan. Apa yang kami cari ialah bakat muda yang mampu membawa semangat, nilai dan karya beliau kepada generasi hari ini menerusi pendekatan yang lebih segar," katanya.

Catat Ulasan

0 Ulasan