WESTLIFE 25 PILIH KUALA LUMPUR BUKA TIRAI JELAJAH ASIA TENGGARA

Sempena meraikan ulang tahun ke-25 penubuhan mereka, kumpulan pop lelaki terkenal dunia, Westlife, memilih Kuala Lumpur sebagai pembuka tirai jelajah Asia Tenggara menerusi konsert Westlife 25: The Anniversary World Tour yang akan berlangsung di Unifi Arena pada 14 Januari 2027.

Konsert anjuran Live Nation Malaysia itu menjadikan ibu negara sebagai destinasi pertama dalam siri jelajah Asia Tenggara 2027 sebelum kumpulan berkenaan meneruskan persembahan di Singapura, Filipina, Indonesia, Thailand dan Hong Kong sepanjang Januari tahun depan.

Menerusi konsert berkenaan, Westlife bakal mempersembahkan himpunan lagu hit yang mewarnai perjalanan seni mereka sepanjang suku abad, daripada balada malar segar hinggalah lagu-lagu yang pernah mengungguli carta muzik antarabangsa.

Dalam perkembangan sama, Westlife turut melancarkan single terbaharu berjudul Your Love Amazes Me pada 8 Mei lalu, yang menjadi antara karya dimuatkan dalam album istimewa 25 – The Ultimate Collection, sempena ulang tahun ke-25 penubuhan kumpulan itu.

Lagu berkenaan diterbitkan oleh Jamie Scott, Daniel Bryer dan Martin Hannah, yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan artis seperti Niall Horan, One Direction dan Tom Grennan. Dengan lirik yang menyentuh perasaan serta harmoni vokal yang menjadi identiti Westlife, lagu itu mengisahkan kekuatan cinta yang membawa harapan, kejelasan dan makna dalam kehidupan.

Sebelum itu, kumpulan berkenaan turut memperkenalkan single Chariot, hasil ciptaan Ed Sheeran, Johnny McDaid dan Will Reynolds, selain diterbitkan bersama penerbit terkenal, Steve Mac. Lagu itu disifatkan sebagai karya yang meraikan nilai kasih sayang, kekeluargaan dan detik-detik paling bermakna dalam kehidupan.

Kedua-dua lagu itu dimuatkan dalam album 25 – The Ultimate Collection, yang menghimpunkan 21 lagu popular Westlife termasuk You Raise Me Up, Uptown Girl dan Flying Without Wings, selain menampilkan beberapa lagu baharu yang dirakamkan oleh keempat-empat anggotanya, iaitu Shane Filan, Nicky Byrne, Kian Egan dan Mark Feehily.

Mengulas sambutan ulang tahun ke-25 itu, Westlife menyifatkan perjalanan seni mereka sebagai satu pengalaman luar biasa yang tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan padu peminat di seluruh dunia.

"Tahun ini genap 25 tahun sejak kami memulakan perjalanan luar biasa ini bersama. Sokongan daripada peminat amat luar biasa dan kami berasa sangat istimewa dapat meraikannya menerusi jelajah dunia, muzik baharu serta album baharu. Kami tidak sabar untuk bertemu semua peminat dan berkongsi babak baharu perjalanan ini bersama," kata mereka.

Bagi pemegang kad Mastercard, jualan tiket prajual eksklusif akan dibuka pada 20 Julai, bermula jam 11 pagi hingga 11.59 malam. Pemegang World Mastercard dan World Elite Mastercard pula berpeluang mendapatkan tiket pilihan bermula 22 Julai, jam 11 pagi.

Sementara itu, ahli Live Nation boleh menikmati akses prajual pada 21 Julai, dari jam 11 pagi hingga 11.59 malam, manakala jualan tiket kepada orang ramai dibuka pada 22 Julai, jam 11 pagi menerusi platform rasmi penganjur.

Sepanjang 25 tahun berkarya, Westlife terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara kumpulan pop paling berjaya di dunia. Mereka merekodkan lebih 3 bilion penstriman di platform digital, memiliki 36 album nombor satu di seluruh dunia serta 14 single nombor satu di United Kingdom, sekali gus hanya berada di belakang Elvis Presley dan The Beatles dari segi jumlah lagu yang menduduki tangga teratas carta negara itu.

Selain menjual lebih 55 juta naskhah album, Westlife turut merekodkan lebih 1 bilion tontonan di YouTube serta menjual lebih 6 juta tiket konsert di seluruh dunia. Jelajah The Wild Dreams Tour sahaja mencatat jualan melebihi 1.2 juta tiket, manakala sejak kembali aktif pada 2019, mereka telah mengadakan lebih 200 persembahan di 30 negara.

Sehingga kini, Westlife kekal sebagai kumpulan dengan jualan album tertinggi di United Kingdom dan Ireland bagi abad ke-21, sekali gus membuktikan pengaruh serta populariti mereka terus utuh dalam industri muzik antarabangsa.

Catat Ulasan

0 Ulasan