Separuh kedua tahun 2026 bakal menjadi lebih menarik buat pencinta drama tempatan apabila Viu tampil dengan deretan kandungan Viu Original yang menjanjikan pelbagai cerita segar merangkumi genre romantik, komedi, kekeluargaan, thriller psikologi dan seram.
Sebagai pembuka tirai barisan kandungan baharu itu, Viu mempertaruhkan Cinta Dalam Sekam bersama empat lagi Viu Original yang bakal menghiburkan penonton sepanjang separuh kedua tahun ini.
Mendahului senarai ialah Cinta Dalam Sekam (Embers Of The Heart), drama romantik 12 episod yang mula distrim secara eksklusif di Viu bermula 16 Julai 2026.
Diarahkan oleh Feroz Kader, drama ini mengisahkan Uwan, seorang warga emas yang menghidap demensia. Walaupun ingatannya terhadap kehidupan hari ini semakin hilang, memorinya masih kekal pada tahun 1988 apabila dia sering memanggil nama seorang gadis kampung bernama Laila.
Keadaan itu mendorong ahli keluarganya menyelongkar kisah silam Uwan sehingga terbongkar sebuah kisah cinta tiga segi yang dipenuhi rasa cemburu, pengorbanan dan rahsia yang akhirnya mengubah kehidupan semua yang terlibat.
Menampilkan gandingan Siti Khadijah Halim, Amir Ahnaf, Haidar Hasanudin, Riz Amin dan Husna Mustaffa, drama ini menjanjikan sebuah naskhah yang sarat dengan emosi dan misteri.
Selain itu, Viu turut mempertaruhkan Ate Kome I Love You! (Hey You, It's Just Love!) yang kini sedang menemui penonton. Drama komedi romantik itu menggabungkan Aniq Suhair dan Bella Dowanna sebagai teraju utama, selain dibantu Amy Mastura, Ieda Moin dan Nurel Baharin.
Mengangkat kisah dua individu yang memiliki personaliti berbeza, drama tersebut membuktikan bahawa cinta boleh hadir pada waktu dan situasi yang paling tidak disangka.
Bagi menghargai sokongan penonton, Viu bersama POKKA turut mengadakan sesi Meet & Greet bersama barisan pelakon pada 17 Julai 2026 di Blue Concourse, Sunway Pyramid, Petaling Jaya.
Dalam pada itu, drama Bidadari Tanpa Syurga (When Grace Ends) kini menghampiri episod penamat selepas berjaya mencuri perhatian penonton menerusi kisah kekeluargaan yang menyentuh emosi.
Diterajui Dato' Aaron Aziz, Nadiya Nisaa dan Syad Mutalib, drama itu mengetengahkan konflik poligami, pengorbanan serta ketabahan sebuah keluarga dalam mengharungi pelbagai ujian kehidupan.
Tidak terhenti di situ, Ogos nanti bakal menyaksikan kemunculan Cela (Broken), sebuah thriller psikologi yang menemukan Nabila Huda, Hun Haqeem dan Zarif Ghazzi.
Sarat dengan elemen suspens, siri itu membawa penonton menyelami sisi gelap emosi manusia apabila setiap watak terperangkap dalam permainan manipulasi, trauma dan keputusasaan yang semakin mencengkam.
Manakala pada September pula, Viu bakal mempersembahkan Dia Perempuan Sialan (The Hidden Hand), sebuah siri seram-thriller premium hasil kolaborasi produksi Malaysia dan Indonesia.
Drama berkenaan menggandingkan Meerqeen dan Hannah Delisha bersama pelakon Indonesia, Caitlin Halderman, dalam sebuah kisah yang menggabungkan elemen seram, misteri dan konflik psikologi yang dijangka membuatkan penonton terus tertanya-tanya sehingga ke penghujung episod.
Dengan lima Viu Original yang hadir dalam genre berbeza, Viu dilihat terus memperkukuhkan portfolio kandungan tempatan dan serantaunya menerusi naskhah yang bukan sahaja menghiburkan, malah menawarkan jalan cerita yang dekat dengan jiwa penonton.
Bagi yang belum mengikuti siri-siri ini, Cinta Dalam Sekam kini boleh distrim secara eksklusif di Viu, manakala Cela dan Dia Perempuan Sialan pula bakal menemui penonton pada Ogos dan September ini.
%202026%20WAJIB%20TONTON%20POSTING%20-%202026-07-16T163424.528.png)



0 Ulasan