Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM25) tampil dengan nafas baharu apabila memperkenalkan dua kategori baharu, iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik, sebagai usaha memperluaskan pengiktirafan terhadap kepelbagaian karya muzik tempatan serta meraikan kekayaan budaya Malaysia.
Pengumuman itu dibuat sempena pelancaran AIM25 yang turut menyaksikan penganjuran edisi Jubli Perak bakal berlangsung buat julung kali di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada 26 September depan.
Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM25, Rosmin Hashim, berkata pengenalan kategori baharu itu dibuat berdasarkan perkembangan semasa industri muzik dan keperluan untuk memberi ruang kepada lebih banyak karya berkualiti menerima pengiktirafan.
"Sebelum ini kami tidak pasti kategori yang sesuai untuk Lagu Perayaan. Jadi, bagi memudahkan proses pencalonan, kami memperkenalkan kategori khas ini.
"Kategori ini akan dikekalkan pada edisi akan datang, kecuali jika jumlah pencalonannya terlalu sedikit. Sebagai contoh, sebelum ini kami mempunyai kategori Lagu Dangdut Terbaik, namun ia digugurkan apabila hanya tiga pencalonan diterima kerana semakin kurang syarikat menghasilkan lagu dangdut," katanya pada sidang media AIM25 di Volume KL, hari ini.
Menurut Rosmin, kategori Lagu Borneo Terbaik diwujudkan bagi mengiktiraf karya yang mengetengahkan identiti budaya, bahasa, tradisi dan warisan unik masyarakat Sabah dan Sarawak, manakala Lagu Perayaan Terbaik pula memberi penghormatan kepada lagu-lagu yang menjadi sebahagian daripada sambutan pelbagai perayaan di negara ini, sekali gus memupuk semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum.
Beliau berkata, AIM25 juga menjadi edisi paling signifikan dalam sejarah penganjurannya apabila menerima sokongan lebih besar daripada kerajaan dan rakan strategik.
Bagi memperkukuh pembangunan industri muzik tempatan, Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang diuruskan MyCreative Ventures meningkatkan peruntukan kepada RM950,000, berbanding RM700,000 pada AIM24.
Daripada jumlah itu, pemenang bagi 15 kategori termasuk Lagu Terbaik, Artis Baharu Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Rock Terbaik dan Video Muzik Terbaik masing-masing akan menerima geran DKK sebanyak RM50,000, manakala pemenang Album Terbaik bakal membawa pulang geran bernilai RM200,000.
Dalam pada itu, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) turut menyalurkan geran sebanyak RM1 juta sebagai sokongan terhadap penganjuran AIM25, sekali gus memperkukuh usaha menjadikan Sarawak sebagai hab penganjuran acara seni, budaya dan hiburan bertaraf antarabangsa.
Rosmin berkata, sokongan padu daripada kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak serta rakan penyiar memberi suntikan baharu kepada penganjuran AIM yang memasuki usia 25 tahun.
"AIM25 amat bermakna kerana kita meraikan Jubli Perak anugerah muzik paling berprestij di Malaysia. Sepanjang 24 edisi lalu, AIM terus mengiktiraf bakat, kreativiti dan dedikasi penggiat muzik tempatan sambil berevolusi mengikut perubahan landskap industri.
"Kami merakamkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi atas sokongan menerusi Dana Kandungan Kreatif, MTCP Sarawak atas geran pelancongan, TVS sebagai Penyiar Rasmi dan Rakan Kongsi Penganjur serta CATS FM selaku Rakan Radio Rasmi. Kerjasama ini akan membantu menjayakan sambutan Jubli Perak AIM serta terus merancakkan pertumbuhan industri muzik negara," katanya.
Sebanyak 33 kategori dipertandingkan pada AIM25 merangkumi kategori utama, anugerah khas dan kategori pra-anugerah.
Dalam perkembangan sama, komposer terkenal Ajai sekali lagi diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Juri AIM25 yang akan mengetuai panel penilai terdiri daripada pengamal industri muzik dan pakar pelbagai disiplin.
Penerima Anugerah Sri Wirama pula akan diputuskan oleh Ahli Majlis RIM, manakala senarai lima calon akhir bagi setiap kategori dijangka diumumkan pada September.
Pencalonan AIM25 dibuka kepada lagu dan album dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa India yang diterbitkan di Malaysia sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2025.
Proses penyerahan pencalonan bermula hari ini sehingga 6 Ogos menerusi laman sesawang rasmi AIM.
Selain penganjuran bersejarah di Kuching, edisi Jubli Perak itu turut menyaksikan TVS dilantik sebagai Penyiar Rasmi dan Rakan Kongsi Penganjur, manakala CATS FM berperanan sebagai Rakan Radio Rasmi bagi mempromosikan sambutan AIM25 kepada peminat muzik di seluruh negara.
%202026%20WAJIB%20TONTON%20POSTING%20-%202026-07-16T173058.914.png)

0 Ulasan