HIJJAZ UMUM KONSERT 3 DEKAD

Dalam dunia muzik yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman, hanya segelintir nama mampu bertahan dan terus mekar di hati peminat. Selepas hampir tiga dekad mengalunkan irama yang sarat dengan mesej dakwah dan kemanusiaan, kumpulan nasyid legenda, Hijjaz, kembali mencipta detik bermakna apabila tampil dengan album studio terbaharu berjudul Akhir Bersamamu, sekali gus mengumumkan penganjuran Konsert Hijjaz 3 Dekad Rindu Sumayyah yang bakal berlangsung di Istana Budaya pada 16 dan 17 Oktober depan.

Pengumuman istimewa itu dibuat pada sidang media khas yang turut menjadi simbolik kepada perjalanan seni Hijjaz yang kekal utuh selepas hampir 30 tahun mewarnai industri muzik tanah air.

Lebih menggembirakan, kemunculan album Akhir Bersamamu bukan sekadar menandakan lahirnya enam karya baharu, malah menjadi hadiah paling bermakna buat peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan seni kumpulan nasyid yang dianggotai Isman Isam, Munif Ahmad, Faizal Osman dan Ariffin Rahim.

Dilancarkan di semua platform penstriman digital bermula 10 Julai lalu, album terbitan Inteam Records Sdn. Bhd. itu mengekalkan identiti harmoni vokal yang sinonim dengan Hijjaz, namun diperkayakan dengan susunan muzik yang lebih segar tanpa menghilangkan roh nasyid yang menjadi kekuatan mereka sejak dahulu.

Istimewanya, kesemua enam lagu dalam album itu dihasilkan menerusi sentuhan anggota Hijjaz sendiri sebagai komposer, manakala lirik pula ditulis oleh tokoh-tokoh berpengaruh seperti Datuk Habsah Hassan, Ahmad Fedtri Yahya, Lukhman S, Atie, Isman Isam dan Abai Os.

Album berkenaan memuatkan lagu Salam Maulidur Rasul, Mati Itu Pasti, Inang Cinta Memuji, Akhir Bersama-MU, Seiring Seganding serta Rufaidah Al-Aslamiyah, yang masing-masing membawa mesej kehidupan, kecintaan kepada Rasulullah SAW, sirah serta nilai kemanusiaan yang sentiasa menjadi teras perjuangan Hijjaz.

Dalam masa sama, kumpulan yang pernah melahirkan pelbagai karya malar segar itu turut memenuhi impian peminat apabila bakal menganjurkan Konsert Hijjaz 3 Dekad Rindu Sumayyah, sebuah persembahan yang disifatkan sebagai penghargaan kepada penyokong setia yang sentiasa bersama mereka sejak awal penubuhan.

Wakil penganjur daripada Inteam Records, Muhammad Hazamin Harun, berkata keputusan membawa Hijjaz ke pentas Istana Budaya dibuat selepas melihat kebangkitan semula industri nasyid yang kini kembali mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

"Atas keyakinan terhadap penerimaan peminat muzik nasyid, kami tampil menganjurkan konsert ini kerana Hijjaz sendiri adalah satu nama besar yang sudah bertapak selama 30 tahun dalam industri. Insya-Allah, ini adalah sesuatu yang sangat ditunggu-tunggu oleh peminat."

Menurutnya, konsert itu bakal menyajikan sekitar 30 lagu, merangkumi karya ikonik yang membesarkan nama Hijjaz, lagu-lagu nostalgia serta beberapa buah lagu baharu daripada album Akhir Bersamamu.

Lebih menarik, persembahan itu tidak hanya mengetengahkan Hijjaz, malah turut menghimpunkan legasi yang pernah dibentuk mereka menerusi kemunculan Inteam, Mustika dan Ae-Man, sekali gus menggambarkan kesinambungan perjuangan dakwah melalui muzik yang diteruskan oleh generasi pelapis.

Bagi Isman Isam, memilih lagu untuk dipersembahkan di pentas berprestij seperti Istana Budaya bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi Hijjaz memiliki khazanah seni yang cukup luas hasil penghasilan 28 album sepanjang perjalanan mereka.

"Sesuai dengan konsep persembahan di Istana Budaya, kami mahu memberikan sesuatu yang istimewa untuk dibawa pulang sebagai kenangan oleh peminat.

"Dengan 28 album yang kami hasilkan, proses memilih lagu memang sangat mencabar. Kami mahu memastikan setiap lagu yang dipersembahkan benar-benar mempunyai nilai dan mampu menghidupkan nostalgia sepanjang tiga dekad perjalanan Hijjaz," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Johan Cruyff @ Mohd Johari Md Nordin, menyifatkan pementasan Hijjaz sebagai antara acara yang dinanti-nantikan selepas Panggung Negara itu kembali beroperasi susulan kerja-kerja naik taraf selama lebih dua tahun.

Katanya, daripada ratusan permohonan yang diterima sebaik sahaja Istana Budaya dibuka semula, penganjuran konsert oleh Hijjaz menjadi antara pilihan kerana reputasi besar kumpulan itu dalam landskap muzik nasyid negara.

Tiket Konsert Hijjaz 3 Dekad Rindu Sumayyah akan mula dijual kepada orang ramai bermula 24 Julai ini, sekali gus membuka peluang kepada peminat untuk kembali menyelusuri perjalanan seni sebuah kumpulan yang selama hampir tiga dekad tidak pernah jemu menyampaikan dakwah melalui bahasa muzik.

Lebih daripada sekadar sebuah konsert, pementasan ini menjadi medan menyatukan kembali Hijjaz dengan peminat yang setia mengiringi perjalanan seni mereka, sekali gus mengimbau nostalgia, menyuburkan kerinduan dan meraikan legasi yang terus mekar merentas zaman.

Catat Ulasan

0 Ulasan