AMY MASTURA UMUM MAHU BEREHAT

 

Kesungguhan Aniq Suhair menghidupkan watak Mamat dalam drama romantik komedi Ate Kome, I Love You terserlah apabila beliau sanggup mengikuti kelas intensif dialek Perak sebelum penggambaran bermula, selain bertutur menggunakan loghat tersebut setiap hari sepanjang hampir sebulan berada di lokasi.

Walaupun dilahirkan di Taiping, Perak, Aniq mengakui cabaran yang dihadapi bukanlah sesuatu yang mudah kerana setiap daerah di negeri itu mempunyai identiti bahasa, sebutan dan lenggok pertuturan yang berbeza.

Bagi memastikan wataknya tampil lebih autentik sebagai anak jati Kuala Kangsar, pelakon itu menjalani latihan intensif selama lima hari sebelum penggambaran dan meneruskan latihan berkenaan sepanjang tempoh 30 hari penggambaran.

"Ramai menyangka semua orang Perak bercakap dengan loghat yang sama. Hakikatnya, terdapat banyak perbezaan mengikut kawasan dan latar masyarakat. Walaupun saya berasal dari Taiping, saya sudah lama menetap dan bekerja di Kuala Lumpur.

"Dialek Taiping pula lebih dipengaruhi loghat utara yang hampir dengan Kedah dan Pulau Pinang, sedangkan dialek Kuala Kangsar lebih beralun, lembut dan mempunyai banyak perkataan yang saya sendiri tidak biasa gunakan seperti 'raban teben' dan 'tumpor'.

"Saya mahu memastikan sebutan dan cara percakapan yang digunakan dalam drama ini benar-benar tepat dan tidak kedengaran dibuat-buat," katanya.

Selain menghadiri kelas intensif, Aniq turut membuat kajian sendiri dengan menonton pelbagai kandungan digital, filem dan karya yang menggunakan dialek Perak, termasuk karya-karya Allahyarham Mamat Khalid yang disifatkannya berjaya merakam budaya serta identiti masyarakat negeri itu.

Menurut Aniq, beliau mengambil tanggungjawab tersebut dengan serius kerana percaya penonton kini semakin peka terhadap keaslian sesuatu watak, terutama apabila melibatkan budaya dan bahasa tempatan.

"Saya tidak mahu sekadar bercakap dalam loghat itu. Saya mahu orang Perak sendiri merasakan watak ini benar-benar hidup dan dekat dengan mereka.

"Apabila saya mula bertutur dalam dialek Perak setiap hari sepanjang penggambaran, saya semakin memahami keunikan bahasa tersebut. Sampai ada masa saya terbawa-bawa loghat Perak di luar set.

"Saya tak berani kata saya berjaya sepenuhnya, tetapi saya memang sudah cuba yang terbaik. Kalau ada kekurangan, saya harap orang Perak boleh memaafkan saya. Kalau menjadi, itu adalah hasil bantuan semua yang membimbing saya sepanjang penggambaran," katanya.

Lebih bermakna buat Aniq apabila drama itu turut menemukan beliau dengan antara figura seni yang dikaguminya sejak kecil, Amy Mastura.

Menurutnya, peluang berkongsi set bersama pelakon dan penyanyi versatil itu bukan sahaja satu penghormatan, malah menjadi pengalaman berharga dalam perjalanan seninya.

"Saya membesar dengan karya-karya Kak Amy. Beliau seorang anak seni yang sangat merendah diri dan baik.

"Kak Amy juga banyak membantu saya memahami budaya dan penggunaan dialek Perak sepanjang penggambaran. Beliau sangat profesional dan sentiasa mewujudkan suasana kerja yang positif di set," katanya.

Sementara itu, Amy Mastura atau nama sebenarnya Amy Mastura Suhaimi mengumumkan beliau kini mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia nyanyian bagi memberi tumpuan kepada pengajian agama dan aktiviti kerohanian.

Pelakon dan penyanyi yang telah mewarnai industri hiburan tanah air selama hampir tiga dekad itu berkata, keputusan berkenaan dibuat secara berperingkat sejak beberapa tahun lalu sehingga mendorongnya menolak semua tawaran persembahan, termasuk konsert.

"Dari segi nyanyian, saya bercuti buat masa ini. Saya nekad mahu belajar mengenai agama, kumpulkan ilmu yang perlu dan lihatlah nanti ke mana hala tuju saya selepas ini.

"Keputusan ini datang secara perlahan-lahan. Saya mahu belajar semula perkara asas seperti fardu ain. Selama ini saya datang daripada latar belakang industri yang sentiasa menyanyi, jadi sekarang masanya untuk memberi ruang kepada diri sendiri mendalami ilmu agama," katanya.

 

Amy turut mengakui pandangan bahawa suara wanita sering dikaitkan sebagai aurat menjadi antara faktor yang mendorong beliau berehat daripada dunia nyanyian, namun memilih untuk tidak mengulas perkara itu secara panjang lebar.

"Lebih kurang begitulah sebabnya saya mengambil keputusan untuk tidak menyanyi buat masa ini. Tetapi saya tidak berani mengulas lebih lanjut kerana bimbang disalah tafsir. Berilah peluang kepada saya untuk belajar sedikit demi sedikit," katanya.

Menurut Amy, sepanjang tempoh tersebut beliau telah menolak pelbagai undangan persembahan dan konsert, namun berharap peminat terus memberikan sokongan.

"Kepada peminat yang merindui saya, bolehlah terus mendengar lagu-lagu saya di platform penstriman. Saya masih ada, tidak ke mana. Kalau rindu, kita masih boleh berjumpa di majlis atau pertemuan kelab peminat," katanya.

Walaupun berehat daripada dunia nyanyian, Amy menegaskan beliau akan terus aktif dalam bidang lakonan. Dalam Ate Kome, I Love You, beliau memegang watak Jenab, seorang ibu yang memerlukan beliau bertutur sepenuhnya menggunakan dialek Perak.

 

"Ini kali pertama saya berlakon menggunakan loghat Perak yang pekat. Walaupun berasal dari Perak, saya sudah lama menetap di luar negeri itu, jadi dialek saya sudah bercampur-campur.

"Syukur, kru produksi banyak membantu mengingatkan saya semula cara pertuturan orang Perak. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar," katanya.

Turut dibintangi Bella Dowanna, Nurel Baharin, Ieda Moin, Usop Wilcha, Reza Hasbi dan Aidit Noh, Ate Kome, I Love You mengangkat kisah cinta, kekeluargaan dan persahabatan yang berlatarbelakangkan masyarakat Perak, sekali gus meraikan keunikan bahasa serta budaya tempatan menerusi 12 episod yang kini boleh distrim di platform Viu.

Catat Ulasan

0 Ulasan