Sebanyak 65 filem dari 35 negara bakal memeriahkan Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) 2026 yang berlangsung dari 18 hingga 25 Julai, sekali gus menjadikan Kuala Lumpur sebagai medan pertemuan pembikin filem, penggiat industri dan pencinta sinema dari seluruh dunia.
Festival yang memasuki edisi kesembilan itu turut mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan ASEAN Records atas kejayaannya membangunkan platform serantau menerusi ASEAN On Screen dan Malaysia Golden Global Awards (MGGA), sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara hab sinema yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.
Bertemakan Resonance, MIFFest 2026 mengangkat kekuatan penceritaan sebagai medium yang menghubungkan masyarakat merentasi budaya, bahasa dan generasi, selain mengetengahkan pelbagai program termasuk tayangan perdana, forum industri, kelas induk serta sesi perkongsian bersama pembikin filem antarabangsa.
Majlis pembukaan festival yang berlangsung di MyTOWN Shopping Centre malam tadi diserikan dengan kehadiran pembikin filem, pelakon, penerbit, pengkritik filem serta penggiat industri kreatif dari dalam dan luar negara sebelum diteruskan dengan Tayangan Perdana Dunia filem pembukaan, BAGA: Tomorrow Belongs To No One, di GSC MyTOWN, Kuala Lumpur.
Presiden dan Pengasas MIFFest, Joanne Goh, berkata tema Resonance dipilih bagi mencerminkan kekuatan sesebuah karya yang bukan sahaja menyentuh emosi penonton, malah terus meninggalkan kesan walaupun selepas tayangan berakhir.
"Resonance ialah gema yang kekal daripada sesebuah cerita. Ia merupakan emosi yang terus hidup lama selepas tayangan berakhir, perbualan yang berterusan di luar pawagam, serta hubungan yang dicipta oleh filem merentasi budaya, generasi dan sempadan.
"Setiap filem mungkin mempunyai penamatnya, namun impak sebenar sesebuah karya terletak pada empati, perbualan dan hubungan yang terus kekal dalam diri penonton," katanya.
Menurut Joanne, MIFFest tahun ini menampilkan karya dalam 27 bahasa, merangkumi dua Tayangan Perdana Dunia, satu Tayangan Perdana Antarabangsa, tiga Tayangan Perdana Asia, 12 Tayangan Perdana Asia Tenggara serta 28 Tayangan Perdana Malaysia.
Beliau berkata, antara tarikan utama festival kali ini ialah kembalinya segmen A-Lister yang mengetengahkan karya pengarah terkenal dunia, Neon, menerusi filem dokumentari Manifesto, selain segmen Malaysian Dispatch yang memberi ruang kepada filem tempatan berkualiti untuk diperkenalkan kepada penonton antarabangsa.
"MIFFest bukan sekadar festival tayangan filem, sebaliknya menjadi ruang pertemuan budaya yang menghubungkan masyarakat melalui bahasa universal sinema," katanya.
Majlis pembukaan turut dimeriahkan dengan kehadiran delegasi filem BAGA: Tomorrow Belongs To No One, diketuai penerbit eksekutif Shafiq Yusof, pengarah Ariff Zulkarnain, pelakon Amir Ahnaf dan ramai lagi.
Turut memeriahkan acara karpet merah ialah Duta MIFFest, Bront Palarae, Daiyan Trisha dan Jack Tan, selain Nam Ron, June Lojong, Jojo Goh serta barisan pembikin filem dan tetamu festival dari Malaysia serta luar negara.
Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil, serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato' Azmir Saifuddin Mutalib, yang menyatakan sokongan terhadap usaha MIFFest memperkukuhkan industri kreatif negara serta mengangkat Malaysia sebagai destinasi sinema bertaraf antarabangsa.
Menerima pengiktirafan ASEAN Records, Joanne berkata, ASEAN On Screen diperkenalkan bagi mewujudkan platform berterusan untuk meraikan, memperkenalkan dan berkongsi kisah-kisah dari Asia Tenggara kepada penonton global.
"Melalui sinema, kami berharap dapat terus menghubungkan kepelbagaian suara di rantau ini dengan penonton antarabangsa serta memberi inspirasi kepada generasi pembikin filem akan datang," katanya.
ASEAN On Screen diperkenalkan ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025 dan kini berkembang sebagai program tahunan MIFFest menerusi tayangan filem, forum industri serta kerjasama rentas sempadan, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai platform sinema serantau.
Sejurus selesai majlis pembukaan, tetamu menghadiri Tayangan Perdana Dunia BAGA: Tomorrow Belongs To No One, arahan Ariff Zulkarnain, yang dipilih sebagai filem pembukaan MIFFest 2026.
Diilhamkan daripada pengalaman hidup pengarah sendiri, filem itu mengisahkan Jani dan Melur, dua anak muda yang bergelut dengan kemiskinan, kehamilan tidak dirancang serta ancaman penyalahgunaan dan pengedaran dadah dalam sebuah perkampungan pesisir pantai di Pantai Timur.
Mengangkat tema cinta, ketabahan, penebusan dan harapan, BAGA dilihat mencerminkan tema Resonance, yang menekankan bagaimana sesebuah kisah mampu terus meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
Sementara itu, filem Yellow Letters arahan pengarah Turki, Ilker Catak, dipilih sebagai filem penutup festival menerusi Tayangan Perdana Dunia.
MIFFest 2026 turut memberi penghormatan kepada pengarah tersohor Korea Selatan, Lee Chang-dong, apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat sebagai mengiktiraf sumbangan besarnya kepada dunia perfileman antarabangsa.
Sempena pengiktirafan itu, dua karya ikonik beliau, Peppermint Candy dan Oasis, turut ditayangkan sepanjang festival.
Selain tayangan filem antarabangsa, MIFFest 2026 turut menampilkan pelbagai program lain termasuk Russian Film Week, Hong Kong Cinema in Flux, New Rhythms of Indian Cinema, Open Air Cinema, kelas induk serta forum industri yang mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara festival filem paling berpengaruh di Asia Tenggara.
Festival yang berlangsung sehingga 25 Julai itu menawarkan tiket pada harga RM15 bagi setiap tayangan, sekali gus membuka peluang kepada orang ramai menikmati karya-karya terbaik dari seluruh dunia sambil meraikan kepelbagaian budaya melalui medium filem.
.png)






0 Ulasan