Selepas menghasilkan Kami Histeria (2014), Rembat (2015) dan Rahsia (2023), pengarah Shamyl Othman kembali dengan karya keempatnya menerusi Khadam, sebuah filem seram psikologi yang bukan sahaja mengangkat elemen mistik masyarakat Melayu, malah menyelami trauma generasi, beban perkahwinan dan pengorbanan seorang ibu dalam mempertahankan keluarganya.
Dalam landskap filem seram tempatan yang sering bergantung kepada kemunculan makhluk menakutkan dan kejutan bunyi yang mengejutkan penonton, Khadam memilih laluan yang berbeza. Ia lebih dekat dengan pendekatan filem-filem seram moden dari Indonesia, Thailand dan Filipina yang menjadikan emosi manusia sebagai sumber ketakutan utama. Menonton Khadam mengingatkan saya kepada karya-karya seram Nusantara yang meletakkan trauma, rasa bersalah dan konflik keluarga sebagai teras penceritaan, bukannya semata-mata hantu yang muncul secara tiba-tiba di hadapan kamera.
Berlatarbelakangkan era 1950-an, filem ini mengikuti perjalanan Melor, seorang wanita bisu yang hidup bersama suami dan dua orang anak di sebuah perkampungan terpencil. Selepas kematian ibunya, Nek Mak, Melor berdepan hakikat bahawa dia perlu mewarisi Khadam keluarganya, seekor saka yang diwarisi turun-temurun oleh keturunannya.
Namun Melor enggan menerima warisan tersebut.
Keengganannya menyebabkan entiti itu mula mengganggu keluarganya, khususnya anak perempuannya, Puteh, yang bakal menjadi pewaris seterusnya. Demi melindungi anak-anaknya, Melor akhirnya akur menerima saka tersebut. Tetapi seperti kebanyakan perjanjian dengan kegelapan, harga yang perlu dibayar jauh lebih besar daripada yang disangkakan.
Apa yang menjadikan Khadam menarik ialah bagaimana filem ini menampilkan saka bukan sekadar sebagai makhluk ghaib yang mengganggu manusia. Sebaliknya, ia menjadi metafora kepada beban warisan, trauma keluarga dan kitaran penderitaan yang diwariskan dari satu generasi ke generasi berikutnya.
Dalam konteks ini, Khadam sebenarnya lebih hampir kepada drama psikologi berbanding filem seram konvensional.
Tidak ketinggalan, penampilan Jun Lojong sebagai Nek Mak turut mencuri perhatian penonton setiap kali beliau muncul di layar. Solekan kesan khas hasil sentuhan Ella Sandera berjaya menghasilkan imej yang mengganggu dan menambahkan lagi atmosfera seram yang menyelubungi filem ini. Malah, proses solekan yang mengambil masa berjam-jam itu jelas memberikan impak visual yang signifikan terhadap watak berkenaan.
Umum mengetahui Jun Lojong merupakan antara pelakon wanita terbaik negara yang sentiasa memberikan komitmen tinggi terhadap setiap watak yang dibawakan. Kredibiliti beliau sebelum ini terbukti menerusi penampilannya dalam filem-filem seperti Redha, Roh dan Polong. Dalam Khadam, kehadirannya mungkin tidak mendominasi keseluruhan naratif, namun cukup meninggalkan kesan yang kuat dan sukar dilupakan.
Lakon layar tulisan Fariza Azlina Isahak memberi ruang yang luas kepada konflik dalaman watak. Melor bukan sekadar bertarung dengan makhluk ghaib, tetapi juga dengan rasa takut, rasa bersalah dan tanggungjawab yang dipikul sebagai seorang ibu. Watak yang bisu ini menjadi simbol kepada ramai wanita yang hidup dalam budaya patriarki, tidak mempunyai suara untuk mempertahankan diri, namun terpaksa memikul segala beban keluarga.
Keputusan Shamyl menjadikan Melor sebagai watak yang tidak bersuara merupakan antara kekuatan terbesar filem ini. Kekurangan dialog memaksa penonton membaca emosi melalui bahasa tubuh, ekspresi wajah dan visual yang dipaparkan. Dalam banyak keadaan, kesunyian itu sendiri menjadi elemen yang lebih menyeramkan daripada bunyi jeritan atau kemunculan hantu.
Kehadiran pelakon Indonesia, Aghniny Haque sebagai Melor pula memberikan dimensi antarabangsa kepada filem ini. Bagi peminat filem seram Indonesia, nama Aghniny bukanlah asing kerana beliau pernah membintangi beberapa karya penting seperti KKN di Desa Penari, Qorin, Pemandi Jenazah, Perempuan Tanah Jahanam dan Selepas Tahlil.
Dalam Khadam, beliau berjaya membawa penderitaan Melor dengan penghayatan yang cukup meyakinkan. Tanpa bergantung kepada dialog panjang, Aghniny berjaya menterjemahkan ketakutan, kekeliruan dan rasa putus asa Melor hanya melalui ekspresi wajah serta bahasa tubuh yang penuh emosi.
Datuk Remy Ishak pula tampil cemerlang sebagai Awang, suami Melor yang panas baran dan sarat dengan ego lelaki Melayu tradisional. Hubungan antara Melor dan Awang menjadi antara elemen paling menarik dalam filem ini kerana ia memperlihatkan bagaimana tekanan rumah tangga dan jangkaan sosial boleh menjadi "hantu" yang lebih menakutkan daripada saka itu sendiri.
Dari sudut teknikal, Khadam menunjukkan tahap pembikinan yang jarang dilihat dalam filem seram tempatan. Usaha produksi memindahkan sebuah rumah kampung dari Raub ke Gopeng semata-mata untuk mewujudkan suasana kampung era 1950-an membuktikan kesungguhan pasukan produksi dalam membina dunia filem yang autentik.
Perincian produksi seperti penggunaan daun nipah menggantikan bumbung zink, bahasa isyarat yang direka khas untuk dunia Khadam serta penggambaran dalam lokasi sebenar seperti gua dan hutan memberikan lapisan realisme yang memperkukuhkan pengalaman menonton.
Malah, reka bentuk bunyi merupakan antara aspek terbaik filem ini.
Banyak bunyi yang didengari sepanjang filem dihasilkan secara manual menggunakan objek sebenar seperti pintu kayu, tingkap, beras, periuk dan hentakan kaki di lantai kayu. Hasilnya, setiap bunyi terasa hidup dan organik. Ia mewujudkan suasana tidak selesa yang sentiasa menghantui penonton walaupun ketika tiada adegan seram berlaku.
Muzik latar yang menggunakan dua biola, viola, cello dan double bass pula berjaya membina ketegangan secara perlahan tanpa perlu bergantung kepada bunyi mengejut yang berlebihan.
Walaupun begitu, kekuatan sebenar Khadam bukan terletak pada hantu atau saka yang dipaparkan di layar. Sebaliknya, ia terletak pada persoalan yang cuba diketengahkan oleh filem ini: siapakah sebenarnya yang jahat?
Adakah saka yang diwarisi turun-temurun itu?
Atau manusia yang memilih untuk terus memelihara dan mempertahankannya?
Persoalan tersebut menjadikan Khadam lebih daripada sekadar sebuah filem seram. Ia merupakan refleksi terhadap hubungan keluarga, trauma yang diwariskan dari generasi ke generasi dan bagaimana kasih sayang kadangkala boleh bertukar menjadi bentuk pengorbanan yang memusnahkan diri sendiri.
Secara keseluruhannya, Khadam ialah antara filem seram tempatan paling matang yang pernah dihasilkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Ia tidak cuba menakutkan penonton melalui kejutan murahan, sebaliknya membina rasa tidak selesa yang perlahan-lahan meresap ke dalam fikiran.
Menemui penonton di pawagam bermula 11 Jun, Khadam mempertaruhkan gandingan mantap Aghniny Haque, Datuk Remy Ishak, Siti Khadijah Halim, Zarra Zaff, Karl El dan Jun Lojong yang berjaya menghidupkan naratif penuh misteri serta emosi. Lebih daripada sekadar filem seram, Khadam mengangkat kisah trauma, kasih sayang dan pengorbanan seorang wanita yang terperangkap dalam warisan mistik yang mengancam masa depan keluarganya.
Apabila lampu pawagam kembali menyala, ketakutan yang dibawakan tidak berakhir di skrin. Sebaliknya, ia terus hidup dalam persoalan tentang keluarga, cinta, warisan dan harga yang perlu dibayar apabila manusia memilih untuk bersekutu dengan kegelapan, sekali gus menjadikan Khadam antara filem seram tempatan yang wajar diberi perhatian tahun ini.
Rating: 4/5 bintang


0 Ulasan