Selepas lebih dua dekad tidak tampil dengan karya solo baharu, penyanyi, pelakon dan pengarah terkenal, Yusry Abdul Halim kembali mengubat kerinduan peminat menerusi single terbaharunya berjudul Jiwa & Raga.
Kehadiran Jiwa & Raga membawa makna yang cukup besar buat pemilik nama penuh Yusry Abdul Halim itu. Lagu berkenaan hadir sebagai simbol fasa baharu dalam perjalanan seninya, memperlihatkan sisi lebih matang seorang penghibur yang terus relevan dan disenangi peminat merentasi generasi.
Lebih istimewa, kemunculan karya terbitan Sony Music Entertainment Malaysia itu hadir ketika namanya kembali mencuri perhatian menerusi watak Dato’ Muzaffar dalam drama bersiri popular Dendam Seorang Mentua, sekali gus membuktikan pengaruh dan karisma yang dimilikinya masih utuh dalam industri hiburan tanah air.
Menurut Yusry, keinginan untuk kembali aktif sebagai penyanyi solo tercetus selepas kejayaan Konsert GenKRU tahun lalu yang memberikan pengalaman berbeza buat dirinya bersama dua lagi anggota KRU, Norman dan Edry Abdul Halim.
Katanya, selepas sekian lama menguruskan pelbagai aspek penganjuran persembahan sendiri, mereka mula menikmati peranan sebagai penghibur yang hanya perlu memberi fokus kepada nyanyian dan persembahan di atas pentas.
“Selepas Konsert GenKRU tahun lalu, saya, Norman dan Edry ada berbincang bahawa kami mahu menyanyi sahaja dan tidak lagi memikirkan soal penganjuran seperti sebelum ini.
“Bila kembali membuat persembahan, kami rasa seronok pula. Dari situlah datang idea untuk bernaung di bawah pengurusan dan memberi fokus kepada nyanyian,” katanya.
Yusry berkata, beliau kini dalam fasa memperkenalkan album EP solo yang memuatkan enam lagu baharu, dengan Jiwa & Raga dipilih sebagai single pertama untuk dilancarkan kepada peminat.
Menariknya, perancangan asal album berkenaan adalah untuk mengetengahkan karya daripada bakat-bakat baharu industri muzik tempatan.
Daripada pencarian tersebut, beliau dipertemukan dengan penyanyi rap dan komposer muda, Luca Sickta yang menghasilkan Jiwa & Raga, sebuah balada moden yang mengangkat tema cinta, kesetiaan dan pengorbanan.
Menurut Yusry, perkara pertama yang menarik perhatiannya ketika mendengar demo lagu berkenaan adalah kekuatan emosi yang terkandung dalam melodi dan liriknya.
“Bila saya dengar demo lagu ini buat kali pertama, saya terus rasa ada sesuatu yang sangat jujur dalam lagu ini. Ia bukan sekadar lagu cinta biasa, tetapi membawa rasa kehilangan, pengorbanan dan ketulusan yang dekat dengan kehidupan sebenar.
“Bagi saya, lagu ini menggambarkan seseorang yang mencintai dengan sepenuh hati. Apabila seseorang sanggup memberi jiwa dan raganya kepada insan yang dicintai, itu adalah tahap cinta yang paling mendalam,” katanya.
Walaupun sudah lama berkecimpung dalam dunia muzik, Yusry mengakui cabaran terbesar ketika merakamkan Jiwa & Raga bukanlah daripada sudut teknikal nyanyian, sebaliknya bagaimana untuk menyampaikan emosi lagu tersebut secara jujur dan meyakinkan.
“Lagu ini tidak memerlukan nyanyian yang terlalu besar atau berlebihan. Cabaran sebenar adalah untuk membuatkan pendengar percaya kepada setiap rasa yang disampaikan.
“Kadang-kadang emosi yang paling perlahan itulah yang paling kuat,” katanya.
Bagi Yusry, mesej yang dibawa menerusi Jiwa & Raga bersifat universal kerana hampir setiap insan pernah melalui pengalaman mencintai, merindui atau kehilangan seseorang dalam kehidupan mereka.
“Siapa sahaja yang tidak pernah melalui pengalaman mencintai, merindui atau kehilangan seseorang? Saya rasa itulah yang menjadikan lagu ini dekat dengan ramai orang.
“Emosi yang ada dalam lagu ini bukan milik seorang individu sahaja, tetapi sesuatu yang boleh dirasai oleh sesiapa sahaja,” katanya.
Dalam masa sama, Yusry turut memuji kemampuan Luca Sickta menghasilkan karya yang bukan sahaja mudah melekat di ingatan, malah sarat dengan emosi dan penceritaan yang mendalam.
“Luca mempunyai kelebihan menghasilkan melodi yang terus melekat apabila kita dengar. Pada masa sama dia sangat bijak bermain dengan emosi dalam penulisan lirik. Itu yang menjadikan Jiwa & Raga lebih istimewa,” katanya.
Luca pula mengakui beliau sememangnya membayangkan suara Yusry sejak awal proses penciptaan lagu berkenaan kerana percaya penyanyi itu memiliki kematangan dan kejujuran yang diperlukan untuk menghidupkan emosi karya tersebut.
“Saya mahu Jiwa & Raga kedengaran jujur dan dekat dengan kehidupan sebenar. Lagu ini berkisar tentang cinta, kesetiaan dan pengorbanan yang ramai pernah lalui.
“Sejak awal lagi saya dapat membayangkan Yusry menyampaikan emosi itu dengan cara yang sangat tulus dan bermakna,” katanya.
Selain kemunculan semula dalam dunia muzik, Yusry turut menikmati perhatian luar biasa menerusi watak Dato’ Muzaffar dalam drama bersiri Dendam Seorang Mentua yang kini menjadi antara drama paling diperkatakan penonton.
Selepas lebih sedekad memberi tumpuan kepada bidang pengarahan, beliau mengakui sudah lama merindui pengalaman berada di hadapan kamera sebagai pelakon.
“Saya mula berasa jemu menjadi pengarah dan perlukan angin baharu. Bertahun-tahun melakukan perkara yang sama sedikit sebanyak meletihkan jiwa.
“Tahun lalu saya berhenti mengarah seketika untuk memberi tumpuan kepada konsert dan daripada situ timbul keinginan untuk kembali berlakon,” katanya.
Lebih mengejutkan, Yusry tidak menyangka masih diberikan peluang memegang watak utama pada usia 53 tahun.
“Saya ingatkan mereka mahu menawarkan watak seorang bapa. Tetapi apabila diberitahu saya akan memegang watak utama yang berkahwin dengan heroin, saya rasa ia satu peluang yang cukup istimewa.
“Selama ini ramai pelakon senior mengadu tidak diberikan peluang memegang watak utama. Jadi apabila peluang itu datang kepada saya, takkan saya mahu menolaknya,” katanya.
Sambutan luar biasa terhadap Dendam Seorang Mentua turut membuatkan Yusry terkejut apabila wataknya menjadi tular dalam kalangan penonton, khususnya generasi muda.
“Mungkin ini kali pertama saya benar-benar tular dalam drama bersiri sepanjang lebih 35 tahun berada dalam industri hiburan.
“Zaman saya dahulu, ukuran populariti ialah apabila kita turun padang dan dikerumuni peminat. Hari ini semuanya berlaku di media sosial,” katanya.
Kini, ketika namanya kembali menjadi perhatian menerusi bidang lakonan dan muzik secara serentak, Yusry melihat fasa ini sebagai satu peluang untuk terus berkarya dan mendekati generasi baharu tanpa melupakan peminat yang sentiasa setia menyokong perjalanan seninya sejak awal pembabitan dalam industri.
Mengakhiri perkongsian, Yusry berharap Jiwa & Raga dapat menjadi teman kepada mereka yang sedang melalui pelbagai fasa emosi dalam kehidupan.
“Saya harap lagu ini dapat menemani mereka yang sedang melalui rasa kehilangan, kesetiaan atau pengorbanan dalam cinta.
“Kadang-kadang kita cuma perlukan sebuah lagu untuk memahami bahawa apa yang kita rasa pernah dilalui oleh orang lain,” katanya.
Single Jiwa & Raga kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube.


.png)
.png)
.png)
.png)

.png)


0 Ulasan