Selepas dua dekad mewarnai industri muzik tanah air dengan karya yang sarat mesej, emosi dan keberanian bersuara, Faizal Tahir bakal mengabadikan perjalanan seninya menerusi sebuah konsert istimewa, Faizal Tahir: Suara Rakyat yang akan berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 3 Oktober depan.
Dianjurkan oleh Hitman Solutions dengan kerjasama Faithful Music, konsert tersebut hadir bukan sekadar sebagai sebuah persembahan berskala besar, sebaliknya menjadi simbol penghargaan terhadap perjalanan seorang karyawan yang telah membina identitinya menerusi karya-karya yang dekat dengan masyarakat.
Bagi peminat yang mengikuti perjalanan seni Faizal sejak kemunculannya menerusi program realiti One In A Million pada 2006, Suara Rakyat boleh dianggap sebagai sebuah himpunan memori yang merangkumkan pelbagai fasa dalam karier penyanyi, komposer dan penerbit berusia 48 tahun itu.
Menariknya, di sebalik keterujaan peminat menantikan konsert berkenaan, Faizal mengakui beliau mengambil masa yang agak panjang sebelum membuat keputusan untuk menerima tawaran tersebut.
Menurutnya, selepas beberapa tahun memberi tumpuan kepada kehidupan yang lebih tenang dan menjauhkan diri daripada persembahan berskala besar, idea untuk kembali mengisi sebuah arena bukanlah sesuatu yang mudah untuk dipersetujui.
“Sudah lama saya berada dalam fasa yang lebih selesa dengan persembahan-persembahan kecil. Saya tidak lagi terlalu memikirkan tentang konsert besar seperti dahulu.
“Jadi apabila cadangan ini datang, saya perlu berfikir panjang. Bukan kerana tidak mahu, tetapi saya mahu benar-benar memahami mengapa konsert ini perlu dilakukan dan apakah maknanya kepada saya serta peminat,” katanya.
Bagaimanapun, konsep Suara Rakyat yang diketengahkan oleh pihak penganjur akhirnya berjaya menarik minatnya untuk kembali ke pentas besar.
Bagi Faizal, tema tersebut sangat dekat dengan perjalanan seninya yang selama ini banyak dipengaruhi oleh kisah kehidupan masyarakat, pemerhatian terhadap sekeliling serta pengalaman yang diterjemahkan menerusi lagu-lagu ciptaannya.
“Sepanjang 20 tahun ini, apa yang saya hasilkan bukan semata-mata tentang diri saya. Banyak lagu yang lahir daripada apa yang berlaku dalam masyarakat dan apa yang saya lihat di sekeliling.
“Sebab itu apabila konsep Suara Rakyat dibentangkan, saya rasa ia mewakili perjalanan seni saya dengan sangat baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal menyifatkan Faizal sebagai antara figura penting yang banyak menyumbang kepada perkembangan muzik tempatan menerusi karya-karya yang bukan sahaja popular, malah mempunyai nilai dan mesej yang kekal relevan merentasi generasi.
Menurut Rohit, konsert berkenaan bukan sekadar meraikan seorang penyanyi, tetapi turut mengangkat legasi seorang karyawan yang telah memberi impak besar kepada industri sepanjang dua dekad.
“Faizal bukan hanya seorang penyanyi yang mempunyai banyak lagu hit. Beliau merupakan seorang pengkarya yang sentiasa berani membawa idea, mesej dan kelainan dalam setiap karya yang dihasilkan.
“Justeru, Suara Rakyat adalah sebuah penghormatan terhadap perjalanan seni tersebut dan pada masa yang sama menjadi hadiah kepada peminat yang sentiasa menyokong beliau selama ini,” katanya.
Menyentuh mengenai persiapan menjelang konsert itu, Faizal mengakui aspek kesihatan dan kecergasan menjadi fokus utama memandangkan beliau sudah agak lama tidak menjayakan persembahan dalam skala sebesar itu.
Namun, beliau optimis pengalaman serta komitmen yang dimiliki akan membantunya memberikan persembahan terbaik buat peminat yang hadir.
Sebagai pelengkap kepada konsert tersebut, Faizal turut merancang untuk memperkenalkan karya-karya baharu menerusi sebuah EP yang dijangka dilancarkan sebelum Oktober ini.
Pada malam penuh bersejarah itu nanti, peminat bakal dibawa menyusuri perjalanan seni Faizal menerusi rangkaian lagu-lagu yang telah membentuk identitinya sebagai antara penghibur paling berpengaruh negara.
Lebih daripada sekadar sebuah konsert, Faizal Tahir: Suara Rakyat hadir sebagai perayaan terhadap karya, memori dan hubungan yang terjalin antara seorang pengkarya dengan peminatnya selama 20 tahun.
Tiket konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat kini boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi Hitman Live.
%202026%20WAJIB%20TONTON%20POSTING%20(98).png)






0 Ulasan