Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato' Hans Isaac, memaklumkan bahawa Dana Supertelefilem Bintang Veteran (STAR) yang diperkenalkan baru-baru ini menerima sambutan luar biasa daripada kalangan penerbit tempatan.
Menurut beliau, pihak FINAS kini berada di fasa ‘pitching’ dan penilaian, yang dikendalikan oleh jawatankuasa khas bagi mengenal pasti penerbit paling layak menyertai inisiatif tersebut.
“Seterusnya, jawatankuasa itu akan menilai dan melantik syarikat-syarikat yang akan melaksanakan supertelefilem ini seperti yang dirancang,” katanya.
Hans menjelaskan, beliau sendiri tidak terlibat secara langsung dalam proses pemilihan bagi memastikan ketelusan dan keadilan dalam setiap keputusan yang dibuat.
“Kalau tanya saya syarikat mana yang dapat, saya sendiri tak tahu. Saya tak masuk campur dalam pemilihan itu. Ia sepenuhnya terpulang kepada jawatankuasa yang dilantik. Bila mereka sudah sahkan siapa yang berjaya, barulah kita akan umumkan dan teruskan langkah seterusnya.
“Kita nak lebihkan lagi projek untuk STAR. Antara yang kita bincangkan dengan persatuan industri ialah memastikan penerbit mematuhi tanggungjawab membayar artis, kru dan pihak terlibat. Kata kuncinya ialah jangan gagal bayar. Mereka perlu tunjuk baucar bayaran secara jelas. Kalau ada transaksi, kita mahu lihat bukti itu juga,” tegasnya.
Dana STAR diwujudkan bagi membantu penggiat seni veteran menjana pendapatan melalui penglibatan dalam penerbitan supertelefilem. Inisiatif ini menetapkan 60 peratus daripada tenaga kerja produksi perlu terdiri daripada individu berusia 55 tahun ke atas, termasuk pelakon utama dan pembantu yang digalas oleh pelakon berpengalaman.
“Saya sebenarnya teruja kerana ini projek rintis (pilot project). Kalau ia berjaya, kita akan teruskan dan mungkin tahun depan bajet dapat ditingkatkan,” ujarnya.
Hans turut menegaskan, pihaknya komited memastikan pelaksanaan projek STAR dijalankan dengan penuh tanggungjawab, khususnya dalam aspek pembayaran kepada semua tenaga kerja produksi.
Tambah beliau, FINAS tidak mahu wujud situasi di mana baucar bayaran diserahkan tanpa jumlah nilai yang sah atau hanya mengandungi tandatangan artis semata-mata.
“Pasukan kami akan bekerja keras bagi meneliti setiap dokumentasi projek yang diberikan,” katanya.
Program STAR dilihat sebagai satu langkah proaktif FINAS dalam memperkasa penggiat seni veteran, di samping mengangkat martabat karya tempatan melalui produksi yang bukan sahaja menghargai legasi, tetapi juga menjanjikan nilai estetika dan profesionalisme dalam industri perfileman negara.





0 Ulasan