Antara Syariat, Luka dan Tafsir Cinta
Filem ini berpusat pada Alfa (Mikha Tambayong) dan Darian (Kevin Ardilova), pasangan suami isteri yang karam dalam badai perpisahan. Lafaz talak yang terucap bukan sekadar meruntuhkan rumah tangga, tetapi mengunci jalan pulang mereka. Syarat agama menuntut Alfa menikahi lelaki lain terlebih dahulu ; syarat yang melahirkan kehadiran Zainun (Ibrahim Risyad), sosok tampan, berilmu, dan penyayang. Apa yang pada awalnya dirancang sebagai formaliti rujuk, perlahan-lahan berubah menjadi hubungan yang sarat makna.
Darian, dengan api cemburu yang tidak pernah padam, cuba meraih kembali cinta yang hilang, meski kehadiran Intan (Tissa Biani), pemilik kedai kaca antik, membawanya ke ruang tafsir lain, bahawa cinta tidak semestinya harus berpatah balik ke masa lalu, tetapi mampu lahir semula dari serpihan yang retak.
Bahasa Filem: Antara Intim dan Simbolik
Benni Setiawan menggubah naratif ini dengan penghayatan visual yang intim. Kamera kerap ditempatkan dekat, menyorot wajah-wajah yang resah, seakan menjadi saksi bisu kepada konflik yang tak mampu disuarakan. Close-up terhadap mata Alfa, misalnya, mengungkapkan lebih banyak daripada dialog panjang – ia memantulkan dilema seorang perempuan yang tubuh dan hatinya sering dijadikan medan perebutan.
Mise-en-scène pula sarat dengan simbolisme. Kehadiran rumah sebagai ruang domestik – berulang kali ditampilkan sebagai ruang rapuh, tempat di mana cinta tidak lagi memberi teduh, sebaliknya mencipta sesak. Kedai kaca antik milik Intan menjadi metafora penting: kaca rapuh yang mudah pecah, tetapi sekaligus mampu dibentuk menjadi sesuatu yang indah. Ia menyiratkan bahawa perkahwinan dan cinta adalah struktur rapuh yang sentiasa menuntut kebijaksanaan dalam menanganinya.
Skrip Garin Nugroho tetap setia dengan lapisan puitis. Dialog-dialognya tidak sekadar informatif, tetapi sarat makna. Kehadiran Zainun tidak semata-mata sebagai “suami teknikal”, melainkan simbol kepada harapan - sebuah ujian kepada Alfa dan penonton: jika kesempurnaan hadir di depan mata, adakah kita berani melepaskan masa lalu yang sarat luka?
Cinta Sebagai Pertarungan
Dilanjutkan Salah, Disudahi Perih menolak romantisme klise. Cinta di sini bukan kisah manis dua insan, tetapi gelanggang pertarungan – antara cinta dan syariat, antara ego dan iman, antara masa lalu dan kemungkinan baharu. Alfa digambarkan bukan sekadar watak isteri, tetapi representasi perempuan dalam masyarakat yang sering dijadikan alat tawar-menawar antara lelaki dan hukum.
Filem ini berlapis: di satu sisi, ia boleh ditonton sebagai melodrama rumah tangga; di sisi lain, ia memancing bacaan kritis tentang tubuh, agama, dan kuasa. Pertanyaan paling mendasar yang diajukan: dalam sebuah ikatan, apakah cinta semata sudah memadai, atau restu agama tetap menjadi penentu terakhir?
Menghimpunkan Kevin Ardilova (Autobiography), Mikha Tambayong (Sewu Dino), Tissa Biani (KKN di Desa Penari) dan Ibrahim Risyad (Sijjin), filem ini menampilkan generasi pelakon muda dengan intensiti lakonan yang segar.
Diterbitkan oleh Soex Entertainment dan diedarkan oleh Horizon Film Entertainment, Dilanjutkan Salah, Disudahi Perih akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 2 Oktober.
Namun lebih daripada sekadar hiburan, ia hadir sebagai sebuah alegori luka – sebuah tafsir visual tentang cinta, syariat, dan manusia yang sentiasa mencari rumah dalam kasih, meski yang ditemui hanyalah perayaan perpisahan.


0 Ulasan