SINETRON 'CINTA SEPENUH JIWA' SATUKAN MUZIK DUA NEGARA

Rumah produksi terkemuka Indonesia, MNC Pictures, kembali menyerikan layar kaca dengan karya terbaharu berjudul Cinta Sepenuh Jiwa, yang kini ditayangkan secara eksklusif di RCTI. Mengangkat kisah cinta yang sarat emosi dan makna, sinetron ini menampilkan gandingan pelakon muda berbakat Cut Syifa, Ibrahim Risyad, dan Kenny Austin, yang masing-masing menyerlah dengan keintiman lakonan dan pesona tersendiri.

Menambah keistimewaan naskhah ini, lagu berjudul Menamakanmu Cinta, ciptaan Ade Govinda dan dinyanyikan oleh Dato’ Sri Siti Nurhaliza, dipilih sebagai lagu tema rasmi sinetron tersebut. Keindahan melodi dan kemerduan suara emas Siti membawa dimensi baharu kepada kisah cinta yang diangkat, memperkukuh nuansa romantik dan getir emosi yang menjadi inti utama Cinta Sepenuh Jiwa.

Sejak dilancarkan, Menamakanmu Cinta terus mencipta fenomena tersendiri di kalangan pencinta muzik Nusantara. Video lirik rasmi yang diluncurkan pada 18 Julai 2025 kini telah mencecah lebih 3.3 juta tontonan, manakala video muzik rasmi yang dimuat naik pada 12 September 2025 turut meraih lebih 4 juta tontonan di YouTube.

Di platform penstriman pula, lagu ini merekodkan lebih 4.9 juta mainan di YouTube Music dan 2.1 juta strim di Spotify, sekali gus membuktikan kekuatan karya tersebut dalam menembusi sempadan geografi dan budaya.

Menurut Ade Govinda, pemilihan lagu ini bukan sekadar pelengkap kepada sinetron, tetapi juga sebagai gema perasaan yang sejiwa dengan maksud di sebalik judulnya.

“Selaras dengan judulnya, Menamakanmu Cinta adalah ungkapan rasa cinta sepenuh jiwa terhadap insan tersayang. Kadang-kadang kita mencintai sepenuh hati, namun tidak selalu mampu mengungkapkannya. Itu yang ingin saya sampaikan melalui lagu ini,” ujar Ade.

Menurut pelantun bersuara emas yang menjadi kesayangan jutaan peminat di dua negara, Biduanita Negara Dato’ Sri Siti Nurhaliza menyifatkan pemilihan lagu tersebut sebagai sesuatu yang cukup istimewa dan bermakna dalam perjalanan seninya.

“Siti cukup teruja dengan pemilihan lagu ini. Keindahan melodi dan lirik ciptaan Ade membuktikan bahawa muzik bukan sekadar soal suara semata-mata, tetapi turut mencerminkan keperibadian serta nuansa seni yang diterjemahkan dengan penuh jiwa,” ujar Siti penuh rendah hati.

Dengan penceritaan yang menyentuh emosi dan iringan lagu yang meresap ke jiwa, Cinta Sepenuh Jiwa dijangka menjadi antara sinetron paling berkesan tahun ini, bukan sahaja kerana lakonannya yang kuat, tetapi juga kerana magis suara Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang menyalakan nyawa pada setiap detik kisah cinta itu.

Cinta Sepenuh Jiwa, arahan Gita Asmara, mula ditayangkan di RCTI sejak 25 September lalu dan hadir dalam 12 episod penuh emosi serta konflik yang menguji erti cinta dan pengorbanan.

Catat Ulasan

0 Ulasan