Buat julung kalinya, empat figura tersohor dunia muzik tanah air bakal bergabung di pentas yang sama menerusi Konsert EMPAT Live in Kuala Lumpur, yang dijadualkan berlangsung pada 18 Oktober ini.
Memilih Mega Star Arena, Kuala Lumpur sebagai destinasi persembahan, konsert berskala besar ini menemukan dua generasi daripada dua era muzik berbeza , Ziana Zain dan Anuar Zain, dua nama ikonik yang membina legasi gemilang sejak era 90-an, bersama pasangan suara hebat generasi baharu, Ernie Zakri dan Syamel.
Namun EMPAT bukan sekadar pertembungan dua generasi atau pertemuan empat bintang di satu pentas. Ia adalah lambang kesinambungan cinta terhadap seni muzik, manifestasi keikhlasan dan tanda penghargaan buat para peminat yang setia mendukung perjalanan karier mereka selama ini.
Gabungan empat nama besar ini juga bukan hadir secara kebetulan. Ia lahir daripada hasrat bersama untuk meraikan muzik, persahabatan dan peminat dalam satu persembahan yang menyatukan keindahan nostalgia dengan denyut tenaga baharu.
Menariknya, semangat dan identiti konsert ini turut dizahirkan melalui pelancaran sebuah lagu kolaborasi berjudul “Jangan Henti”, ciptaan Edry Abdul Halim dengan lirik oleh Syamel, Ernie Zakri dan Edry sendiri. Lagu ini menjadi nadi dan simbol perjuangan EMPAT sebagai satu pesanan halus agar mereka dan seluruh peminat, tidak pernah berhenti melangkah, bermimpi dan mencintai seni.
Bagi Anuar Zain, lagu ciptaan Edry Abdul Halim itu memiliki kekuatan tersendiri kerana lirik dan melodinya menyentuh realiti kehidupan seorang anak seni yang tidak pernah sunyi daripada cabaran.
“Lagu ini dekat dengan hati kami kerana ia berkisar tentang perjuangan dalam dunia seni yang penuh warna dan ujian. Sebagai penyanyi, kami teruja dapat mengalunkan ‘Jangan Henti’ yang kini boleh dinikmati di semua platform muzik digital,” katanya.
Tambah Anuar, pengalaman merakam dan menyanyikan lagu itu menjadi sesuatu yang amat bermakna, bukan sahaja buat dirinya tetapi juga buat Ziana, Syamel dan Ernie.
“Mereka menulis dengan penuh keikhlasan. ‘Jangan Henti’ bagi saya bukan sekadar sebuah lagu, tetapi lambang perjalanan kami sebagai penghibur. Ia mengingatkan kami supaya tidak pernah berhenti melangkah, walau apa pun dugaan yang datang,” ujarnya penuh makna.
Anuar Zain, dengan reputasi yang sudah lama terpahat sebagai antara vokalis paling disegani negara, melihat kolaborasi dalam Konsert EMPAT sebagai satu peluang berharga. Ianya bukan sekadar untuk berkongsi pentas, tetapi juga untuk menyalurkan pengalaman dan inspirasi kepada generasi pelapis.
Baginya, dunia muzik kini bukan lagi medan saingan, sebaliknya wadah untuk menghidupkan semula makna kejujuran dalam persembahan.
“Apabila kita sudah lama berada dalam bidang ini, kita tidak lagi mengejar siapa yang paling hebat. Apa yang penting ialah memberi yang terbaik kepada mereka yang telah lama menyokong dan percaya pada karya kita,” katanya lagi dengan nada tenang tetapi penuh makna.
Sementara itu, Ernie Zakri, penyanyi muda yang semakin mencipta ruang kukuh dalam industri, menganggap konsert ini sebagai detik penghargaan dan pembelajaran yang tidak ternilai.
“Berkongsi pentas dengan nama besar seperti Kak Ziana dan Abang Anuar bukan sesuatu yang mudah. Saya banyak belajar tentang disiplin dan ketulusan mereka terhadap muzik. Ia satu penghormatan besar buat saya,” ujarnya dengan nada rendah hati, jelas menzahirkan rasa kagum terhadap dua ikon yang menjadi rujukan kariernya.
Namun di sebalik kemeriahan dan persiapan menjelang konsert, terselit kisah yang jauh lebih peribadi dan menyentuh jiwa, ianya kisah Ziana Zain, penyanyi bersuara emas yang kini melangkah ke pentas besar dengan hati yang sarat rindu.
Buat pertama kalinya, Ziana bakal berdiri di bawah cahaya sorotan tanpa insan yang selama ini menjadi tulang belakang, penasihat dan sumber kekuatannya, arwah bapanya.
Dalam nada perlahan tetapi penuh makna, Ziana berkongsi perasaan itu dengan jujur.
“Dulu setiap kali saya hendak naik pentas, ayah akan telefon. Dia pesan supaya jangan takut, nyanyi dengan ikhlas. Kali ini, tiada lagi suara itu,” katanya, cuba menahan sebak.
Sesaat selepas kata-kata itu diungkapkan, senyumannya sedikit terhenti, seolah-olah menahan gelombang rindu yang datang tiba-tiba. Rasa kehilangan itu jelas masih hidup, bersemadi dalam setiap bait lagu yang bakal dinyanyikan pada malam konsert nanti.
“EMPAT bagi saya bukan sekadar persembahan. Ia adalah hadiah buat peminat dan juga tanda cinta saya untuk ayah. Saya akan menyanyi seolah-olah beliau masih di situ ; memerhati dan mendoakan dari jauh,” tambahnya lagi, dengan mata yang redup namun sarat ketabahan.
Konsert EMPAT akhirnya bukan sekadar sebuah projek kolaborasi antara empat nama besar industri. Ia menjelma sebagai tanda penyatuan dua era muzik , era suara lantang dan jujur milik Ziana Zain dan Anuar Zain, berpadu harmoni dengan kehangatan generasi baharu Ernie Zakri dan Syamel. Dalam arus hiburan yang sentiasa berubah, keempat-empat figura ini membuktikan bahawa keindahan seni masih berpaut pada keikhlasan, persaudaraan dan cinta terhadap penonton.
Apabila tirai konsert EMPAT dibuka kelak, pentas itu tidak lagi sekadar menjadi ruang untuk bernyanyi. Ia akan menjadi pentas rindu dan pengharapan , tentang cinta yang diabadikan melalui melodi, tentang perjuangan yang diteruskan tanpa henti, dan tentang empat jiwa seni yang percaya bahawa muzik mampu menyatukan apa sahaja termasuk antara mereka yang telah pergi dan mereka yang masih terus menyanyi.








0 Ulasan