KRU THE FINALE: ONE MORE TIME YANG TERAKHIR?

Selepas mencipta fenomena dengan empat malam berturut-turut semasa Konsert GenKRU di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Mei lalu, trio adik-beradik paling berpengaruh dalam industri muzik tanah air, KRU sekali lagi bersiap sedia untuk menggoncang pentas dengan persembahan berskala besar, GenKRU The Finale: One More Time, yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 22 November depan.

Dianjurkan oleh Icon Entertainment, konsert penutup jelajah ini dijangka menghimpunkan lebih 12,000 peminat dari seluruh negara. Ia bukan sekadar konsert ulangan, sebaliknya satu bentuk penghormatan terhadap warisan muzik KRU yang telah merentas lebih tiga dekad, dari era Canggih hingga Kaset.

Menurut Pengasas Icon Entertainment Sdn. Bhd., Iman Tang, idea meneruskan siri konsert ini hadir selepas lima pementasan GenKRU, termasuk di Singapura, mencatat sambutan luar biasa.

“Ramai peminat minta kami teruskan jelajah ke negeri lain. Namun, faktor nilai produksi membuatkan ia lebih praktikal di Kuala Lumpur. Nama One More Time dipilih kerana ia judul trek album baharu KRU, Kaset, dan pada masa sama membawa makna simbolik, ‘satu kali lagi’,” katanya ketika sidang media pelancaran konsert itu.

Stadium Hoki Nasional dipilih sebagai lokasi kali ini bagi memberikan dimensi persembahan yang berbeza dengan ruang terbuka yang memungkinkan visual, piroteknik dan interaksi pentas lebih luas direalisasikan.

“Jika sebelum ini diadakan secara tertutup, kali ini kami ingin re-imagine pengalaman KRU dalam suasana terbuka dengan elemen yang tak dapat dilakukan sebelum ini,” kata Dato' Norman Abdul Halim yang mewakili KRU.

Beliau menambah, ini juga menjadi kali pertama artis solo menggunakan Stadium Hoki Nasional sebagai lokasi persembahan berskala besar, suatu langkah berani yang menggambarkan keyakinan KRU terhadap kekuatan jenama mereka sendiri.

Sejarah Kejayaan Pentas KRU: Dari Arena ke Legenda

Sejak Konsert Gergasi KRU pada 1998 di Stadium Merdeka, kumpulan ini sudah sinonim dengan produksi pentas berskala mega. Persembahan mereka sering dianggap perintis dalam gabungan teknologi, visual futuristik dan naratif sinematik dalam konsert tempatan.

Pada tahun 2016, Konsert KRU 24 di Istana Budaya menjadi bukti kematangan artistik kumpulan ini, diikuti Konsert KRU 25 di Axiata Arena pada 2017 yang menyaksikan sambutan luar biasa , di mana tiket habis terjual dalam masa singkat dan lautan peminat memenuhi arena, menjadikan KRU antara artis tempatan pertama menakluki ruang sebesar itu dengan produksi setanding antarabangsa.

Kini, dengan GenKRU The Finale: One More Time, persoalannya mampukah KRU sekali lagi mencipta sejarah seperti yang mereka lakukan di Arena Bukit Jalil dan Stadium Merdeka dahulu?.

Kejayaan empat malam berturut-turut GenKRU pada Mei lalu yang diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR) sebagai “Persembahan Terbanyak Dalam Satu Siri Konsert” serta “Penjualan Tiket Terpantas Dalam Tempoh 1 Jam” membuktikan bahawa nostalgia KRU masih hidup dan mungkin lebih kuat daripada sebelumnya.

Dengan lebih tiga dekad pengalaman, reputasi produksi bertaraf dunia dan barisan peminat yang kekal setia, GenKRU The Finale: One More Time bukan sekadar konsert penutup, ianya mungkin menjadi bab terakhir paling epik dalam kisah KRU sebagai ikon muzik pop moden Malaysia.


Tiket konsert ini sudah pun dijual  dengan harga antara RM188 hingga RM558 boleh di beli di laman ticket2u. 

Catat Ulasan

0 Ulasan