GANJARAN RM1 JUTA MENANTI FILEM TERBAIK DI FFM34

Pemenang kategori Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) bakal menerima geran Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta.

Pengumuman berprestij itu dibuat oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, pada majlis perasmian dan pengumuman Top 5 FFM34 yang berlangsung di sini, malam tadi.

Menurut Nie Ching, insentif tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem perfileman tempatan serta mengangkat karya unggul Malaysia ke pentas antarabangsa.

“Ini bukan sekadar ganjaran kewangan, tetapi tanda komitmen kerajaan untuk memastikan karya unggul Malaysia terus melangkah lebih jauh. Karya yang diiktiraf bukan hanya untuk dikenang, tetapi turut disokong agar terus berkembang dan mencapai penonton global,” katanya.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Nik Kamaruzaman Nik Husin; Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato' Hans Isaac; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato' Azmir Saifuddin Mutalib; serta Presiden Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA), Pansha.

Pada edisi kali ini, lima calon bagi kategori Filem Terbaik yang diumumkan ialah Blood Brothers: Bara Naga, Soloz: Game of Life, Takluk: Lahad Datu, Reversi dan Babah.

Tahun lalu, filem Imaginur dinobatkan sebagai Filem Terbaik dan menerima DKK bernilai RM500,000.

Sementara itu, filem terbitan Skop Productions dan Primeworks Studios, Blood Brothers: Bara Naga, mendominasi pencalonan dengan 13 kategori pada malam pengiktirafan berprestij itu.

Filem arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra itu tersenarai dalam kategori utama seperti Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, selain tiga pencalonan bagi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Ia turut dicalonkan dalam kategori Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Lagu Tema Terbaik dan Rekaan Kostum/Busana Terbaik.

Filem yang mengetengahkan tema aksi dan drama persaudaraan itu mencipta fenomena apabila mencatat kutipan pecah panggung RM76 juta selepas ditayangkan pada 10 April lalu.

Turut cemerlang dengan 12 pencalonan ialah Takluk: Lahad Datu, diikuti Soloz: Game of Life (11), Kahar: Kahar Kapla High Council (10), serta Reversi dan Babah yang masing-masing menerima sembilan pencalonan.

Kategori Pelakon Lelaki Terbaik pula menjanjikan saingan sengit antara Beto Kusyairy (Reversi), Qi Razali (Babah), Sharnaaz Ahmad (Blood Brothers: Bara Naga), Aeril Zafrel (Laknat) dan Tony Eusoff (Mencari Ramlee).

Bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik, persaingan melibatkan Nabila Huda (Telaga Suriram), Datin Sofea Jane (Mencari Ramlee), Khatijah Tan (Jangan Pandang Belakang, Aku Tahu Asal Usul Mu), Maya Karin (Telaga Suriram) dan Sweet Qismina (Babah).

Sempena penganjuran FFM34, empat bintang legenda, Dato' Rosnani Jamil, Rominah Sedik, Dato' Rahim Razali dan Othman Hafsham akan diraikan menerusi program penghargaan khas yang berlangsung di FINAS pada 9 Oktober 2025 dan 16 Oktober 2025 menerusi Program Tribute  : Tokoh-Tokoh Perfileman Veteran Negara yang diadakan secara diskusi dan tayangan filem Melayu Klasik dan menariknya program tersebut menampilkan secara eksklusif empat bintang veteran lagenda tersebut. 


Malam kemuncak FFM34 akan disiarkan secara langsung dari Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri pada 1 November depan, dengan RTM menerusi saluran TV2 sekali lagi bertindak sebagai rakan strategik dan penyiar rasmi.

Dato' Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim akan menggalas tugas sebagai hos utama anugerah berprestij itu, sementara Malam Perasmian dan Pengumuman Top 5 FFM34 malam tadi dihoskan oleh Fiza Frizzy. 

Catat Ulasan

0 Ulasan